Seni tekstur serlah kreativiti Syahidatul

Seni tekstur serlah kreativiti Syahidatul

Nur Syahidatul Nazirah mempelajari sendiri seni tekstur menggunakan platform media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minat terhadap seni dan aktiviti kreatif sejak kecil membawa Nur Syahidatul Nazirah Mohd Aris, 31, menemui dunia seni tekstur, satu bentuk seni yang kini menjadi sebahagian penting dalam kehidupannya.

Anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan itu merupakan graduan Diploma Akauntansi dari Politeknik Port Dickson dan kini bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran di Bank Negara Malaysia.

Perjalanannya dalam bidang seni tekstur bermula sekitar tahun 2023 apabila mula mencubanya sebagai hobi sebelum diberi peluang menyertai Bazar Seni anjuran Bank Negara Malaysia Museum and Art Gallery.

Walaupun tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang seni, minat terhadap lukisan dan kraf tangan sudah lama wujud sejak zaman kanak-kanak.

“Saya memang meminati seni, lukisan dan kraf tangan sejak kecil walaupun tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang seni.

“Apabila melihat hasil seni tekstur di media sosial, saya tertarik untuk mencubanya sendiri kerana saya juga merupakan peminat dekorasi rumah,” katanya kepada Seri.

Menurutnya, inspirasi awal banyak diperoleh daripada hasil karya artis-artis di media sosial selain minat terhadap seni hiasan dalaman.

Nur Syahidatul Nazirah akan merancang konsep terlebih dahulu sebelum menyediakan bahan-bahan yang diperlukan.

Daripada sekadar mengagumi hasil karya yang dilihat di platform digital, dia mula memberanikan diri mencuba menghasilkan karya sendiri dan menjadikan aktiviti tersebut sebagai hobi pada waktu lapang.

Masih mengingati karya pertama yang dihasilkan, Nur Syahidatul Nazirah berkata, ia merupakan rekaan abstrak sederhana menggunakan tekstur asas dan warna pastel biru.

Lebih menarik, karya tersebut dihasilkan atas permintaan seorang pelanggan dari Filipina yang berminat terhadap hasil seninya ketika Bazar Seni dijalankan pada tahun 2023.

“Saya berasa sangat gembira dan bangga kerana berjaya menghasilkan sesuatu dengan tangan sendiri dan orang sangat berpuas hati,” katanya.

Pengalaman itu bukan sahaja memberikan kepuasan tersendiri, malah menjadi antara detik yang menguatkan keyakinannya untuk terus meneroka dan mengembangkan minat dalam dunia seni tekstur.

Belajar sendiri melalui media sosial

Minat yang semakin mendalam terhadap seni tekstur mendorong Nur Syahidatul Nazirah untuk mempelajari pelbagai teknik bagi memperbaiki kemahirannya.

Tanpa mengikuti kelas atau latihan formal, dia memilih untuk belajar secara sendiri dengan memanfaatkan pelbagai platform media sosial sebagai sumber rujukan utama.

Platform seperti TikTok, Instagram, Pinterest dan YouTube menjadi rujukan utama untuk memahami teknik dan proses menghasilkan karya.

Menurutnya, tempoh untuk menguasai teknik asas bergantung kepada individu, namun ia boleh dipelajari dalam beberapa minggu sekiranya latihan dilakukan secara konsisten.

Cabaran terbesar pada peringkat awal adalah menghasilkan tekstur yang kemas, seimbang dan konsisten.

Namun, dia terus berlatih dan memperbaiki kemahiran dari semasa ke semasa.

Dalam menghasilkan sesebuah karya, Nur Syahidatul Nazirah akan merancang konsep terlebih dahulu sebelum menyediakan bahan-bahan yang diperlukan.

Antara bahan asas yang digunakan ialah kanvas, texture paste, pisau palet, cat akrilik dan bahan kemasan.

Selepas konsep ditentukan, tekstur akan dibentuk pada permukaan kanvas sebelum dibiarkan kering dan disempurnakan dengan sentuhan akhir.

Kebiasaannya, satu karya mengambil masa antara satu hingga tiga hari untuk disiapkan bergantung kepada saiz dan tahap kerumitannya.

Menurutnya, bahagian paling mencabar dalam proses tersebut adalah menghasilkan tekstur yang kemas dan memastikan keseluruhan komposisi karya kelihatan seimbang.

“Bagi saya, elemen paling penting ialah kekemasan, keseimbangan tekstur dan ketahanan hasil karya,” katanya.

Bagi Nur Syahidatul Nazirah, waktu malam merupakan masa yang paling sesuai untuk menghasilkan karya seni tekstur.

Suasana yang lebih tenang membolehkannya memberi fokus sepenuhnya terhadap setiap karya yang dihasilkan.

Idea dan inspirasi pula diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk alam semula jadi, dekorasi dalaman dan rujukan yang ditemui di media sosial.

Idea-idea tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam karya mengikut gaya dan pendekatan yang menjadi pilihannya.

Dia lebih cenderung menghasilkan rekaan minimalis dan abstrak kerana ia kelihatan elegan serta sesuai dengan pelbagai konsep ruang rumah.

Malah, rekaan minimalis dengan tona warna neutral dan elemen abstrak merupakan antara karya yang paling mendapat sambutan.

Walaupun mempunyai kecenderungan tersendiri, dia sentiasa terbuka untuk meneroka teknik dan pendekatan baharu dalam penghasilan karya.

“Saya suka bereksperimen dengan kombinasi warna, corak dan teknik baharu untuk menghasilkan karya yang lebih unik,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga keadaan apabila hasil yang dihasilkan tidak menjadi seperti yang dirancang.

Namun, dia memilih untuk memperbaikinya atau menjadikannya sebagai peluang untuk mencuba idea baharu.

Dalam setiap karya yang dihasilkan, Nur Syahidatul Nazirah lebih menekankan rekaan yang minimalis, kemas dan sesuai dijadikan dekorasi rumah moden pada masa kini.

Sumber pendapatan

Baginya, perkara yang paling menyeronokkan dalam menghasilkan seni tekstur adalah melihat idea yang hanya berada dalam imaginasi bertukar menjadi karya sebenar.

Kepuasan terbesar pula dirasai apabila karya yang dihasilkan siap dengan hasil yang memuaskan dan menepati apa yang dibayangkannya.

Selain menjadi ruang untuk mengekspresikan kreativiti, seni tekstur turut memberi manfaat dari sudut emosi.

“Seni tekstur banyak membantu saya mengurangkan stres dan memberi ketenangan selepas waktu bekerja,” katanya.

Menurutnya, proses menghasilkan karya bukan sahaja memberi peluang untuk berkreativiti, malah menjadi ruang untuk berehat seketika daripada rutin harian.

Perasaan gembira dan terharu juga dirasai setiap kali mengetahui hasil tangannya menjadi sebahagian daripada hiasan ruang kediaman pelanggan.

“Saya berasa sangat gembira kerana hasil tangan saya menjadi sebahagian daripada hiasan rumah mereka,” katanya.

Sokongan keluarga dan rakan-rakan turut menjadi pendorong untuknya terus aktif berkarya. Mereka sentiasa memberi galakan dan sokongan terhadap minat yang diceburinya.

Media sosial pula memainkan peranan yang sangat besar dalam memperkenalkan hasil karyanya kepada lebih ramai orang.

Dia mula menerima tempahan selepas berkongsi hasil karya di media sosial dan menerima maklum balas yang positif daripada orang ramai.

Sehingga kini, dia masih menerima tempahan daripada pelanggan yang berminat dengan hasil seni yang dihasilkan.

“Pengalaman melihat hobi bertukar menjadi sumber pendapatan sampingan merupakan sesuatu yang sangat bermakna kerana saya tidak pernah menyangka minat ini mampu menjana pendapatan,” katanya.

Walau bagaimanapun, cabaran terbesar untuk terus konsisten adalah membahagikan masa antara kerjaya sepenuh masa dan penghasilan karya buatan tangan.

Pada masa hadapan, Nur Syahidatul Nazirah berharap dapat mengembangkan lagi jenama seni tekstur miliknya, menyertai pameran seni dan berkongsi ilmu dengan lebih ramai peminat seni.

Baginya, seni tekstur bukan sekadar hobi atau sumber pendapatan sampingan.

Sebaliknya, ia merupakan medium untuk mengekspresikan kreativiti, mencari ketenangan dan menghasilkan sesuatu yang memberi kegembiraan kepada orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN