Memilih maaf daripada sengketa keluarga angkat

Memilih maaf daripada sengketa keluarga angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi seorang anak, kasih sayang ibu bapa angkat adalah satu anugerah sangat berharga. Mereka bukan daripada darah daging, tetapi memilih untuk menerima, membesar dan diberi peluang sama serta mendapat tempat dalam keluarga.

Tetapi hubungan dengan adik beradik angkat mungkin agak berbeza. Walaupun membesar bersama, berkongsi kenangan, tidak semua hati manusia serupa dan mampu mengekalkan kasih sayang yang sama apabila diuji dengan harta.

Kadang kala, selepas pemergian kedua ibu bapa angkat, perkara yang dahulu tidak pernah difikirkan mula menjadi persoalan.

Demikian jugalah kisah hidup Khai, (bukan nama sebenar) yang diuji selepas kematian kedua ibu bapa angkat.

Setelah puluhan tahun hidup sebagai seorang anak angkat dalam keluarga itu, ujian paling berat bukan ketika menjaga kedua ibu bapa angkat yang uzur tetapi selepas mereka tiada.

Rumah pusaka yang dahulunya penuh dengan gelak tawa, tempat dia membesar bersama dua adik angkat, akhirnya menjadi tempat yang meninggalkan luka di hati.

Ini selepas adik angkatnya, Zarul dan Sham (bukan nama sebenar) sepakat untuk menjual rumah dan tanah peninggalan kedua ibu bapa mereka.

Mereka melihatnya sebagai harta yang perlu dibahagikan, sedangkan bagi Khai rumah itu adalah lambang sebuah keluarga yang membesarkannya.

Lebih menyakitkan, dua beradik itu mula berusaha untuk membuatkannya meninggalkan rumah itu secara perlahan-lahan. Bukan dengan kekerasan, tetapi dengan kata-kata, sikap dan layanan. Ini membuatkan Khai faham, tempatnya bukan di situ .

Kisah Khai dikongsikan oleh sahabat baiknya, Mirul (bukan nama sebenar) dalam kiriman emel baru-baru ini.

Mirul tidak berniat untuk mengungkit apa lagi memburukkan sesiapa, tetapi kisah sahabatnya itu dikongsikan sebagai sebuah pengajaran.

Bukan sahaja tentang pengorbanan dan kasih sayang tetapi bagaimana seseorang itu memilih memaaf untuk hidup lebih tenang berbanding pertikaian.

Menurut Mirul, sahabatnya itu akhirnya memilih untuk keluar dari rumah pusaka itu selepas dia sedar kehadirannya tidak lagi diterima keluarga itu.

Khai kini tinggal di sebuah rumah sewa di hujung kampung sejak lapan tahun lalu.

Usianya sudah mencecah 60 tahun, masih bujang dan menjalani kehidupan lebih tenang.

Meneruskan cerita. kata Mirul, sahabatnya itu dibesarkan sebagai anak angkat dalam sebuah keluarga sederhana.

Takdir membawanya bertemu dengan sepasang suami isteri , Arifin dan Zainun (bukan nama sebenar) yang membuka pintu hati dan rumah mereka untuk menerimanya sebagai anak angkat.

Sahabatnya itu bukan sekadar dibesarkan, tetapi diberi kasih sayang, ruang dan peluang yang sama dalam keluarga itu.

Dua tahun selepas Khai menjadi sebahagian daripada keluarga itu, lahirlah Zarul dan Sham. Kehadiran mereka melengkapkan lagi keluarga tersebut.

Walaupun Khai hanya anak angkat, adik-adik tidak pernah melihat dan melayannya seperti orang luar.

Bagi mereka, Khai adalah abang sulung. Khai membesar bersama mereka, bermain bersama, dan menjadi tempat mereka bergantung.

Bagi ibu bapa angkatnya, Khai adalah anak yang mereka sayangi. Bagi adik-adiknya pula, dia adalah abang yang mereka hormati.

Tiada jarak antara anak angkat dan anak kandung kerana kasih sayang telah menghapuskan perbezaan itu.

Ibu bapa angkatnya sentiasa menanamkan kasih sayang dan berusaha memberikan pendidikan terbaik kepada setiap anak termasuk Khai. Berkat doa dan usaha, Khai berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading. Setelah tamat belajar, Khai mendapat pekerjaan yang baik di bandar.

Namun dalam kejayaan itu, Khai tidak pernah melupakan kedua-dua insan yang membesarkannya. Dalam emel itu lagi, Mirul turut mengimbas, apabila usia kedua-dua ibu bapa angkatnya semakin meningkat dan kesihatan mula merosot, sahabatnya itu membuat keputusan besar dalam hidupnya.

Dia memilih untuk pulang ke kampung. Ketika itu menurut Mirul, sahabatnya itu sudah mempunyai kehidupan dan pekerjaan yang baik di bandar. Namun jauh di sudut hati, dia teringat kepada dua insan yang pernah menjaga dan membesarkannya.

Dia tidak sanggup membiarkan ibu bapa angkat dalam keadaan tidak terurus.

Tanpa banyak pertimbangan, dia mengambil keputusan untuk kembali ke kampung. Dua adik angkatnya, walaupun mengetahui keadaan ibu bapa, atas pelbagai alasan mereka tidak dapat bersama menjaga seperti diharapkan.

Bercerita lanjut, tulis Mirul kehidupan sahabatnya berubah sejak memilih untuk menjaga kedua ibu bapa angkat.

Siang malam dia mengurus dan menjaga kedua ibu bapa angkatnya itu sehingga ke penghujung usia mereka.

Dia tidak melihatnya sebagai beban, sebaliknya sebagai peluang untuk membalas jasa mereka.

Dia sempat menjaga mereka hampir tiga tahun. Selang enam bulan selepas pemergian bapa angkat, ibu angkatnya pula menyusul.

Konflik yang muncul tiga bulan selepas kematian ibu angkatnya itu bukan berlaku secara tiba-tiba. Jika sebelum itu, rumah pusaka tinggalan mereka dipenuhi dengan rasa hormat dan kenangan.

Namun apabila dua insan itu tiada, ikatan yang selama ini tergantung kepada kasih sayang mula diuji.

Puncanya selepas Zarul dan Sham sepakat mahu menjual rumah dan tanah peninggalan ibu bapa mereka.

Khai sedih apabila adik-adik angkat yang pernah dianggap seperti keluarga mula memperlakukan dengan cara tidak dijangka. Apatah lagi jika sudah banyak berkorban, tetapi akhirnya tidak dihargai.

Adik-adik yang pernah memanggil dan menganggapnya abang, mula berubah dan menjadi renggang. Namun dia tidak memilih untuk membalas dengan kebencian.

Dia percaya kasih sayang yang diberikan dengan ikhlas tidak pernah sia-sia di sisi Allah.

Kisah Khai membawa banyak pengajaran antaranya harta boleh menjadi ujian paling besar dalam hubungan keluarga.

Bukan sahaja dalam keluarga angkat, bahkan dalam keluarga kandung sekalipun.

Keputusan Khai untuk memaafkan adik-adik angkatnya, bukan bermaksud melupakan, tetapi memilih untuk tidak lagi membiarkan kesedihan mengawal hidupnya.

Apabila dia memilih untuk memaafkan, kehidupannya kini menjadi lebih tenang. Dalam al-Quran turut mengalakkan umatnya untuk memaafkan kesalahan orang lain.

Sebagaimana firman Allah SWT, “Barang siapa yang memaafkan dan berdamai, maka pahalanya atas tanggungan Allah.” (As-Syura:40)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN