Enam tahun jadi saksi kemelut rumah tangga orang tua

Enam tahun jadi saksi kemelut rumah tangga orang tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap anak mempunyai impian untuk mempunyai sebuah keluarga bahagia. Seorang bapa yang menjadi pelindung, dan seorang ibu yang sentiasa menghidupkan dengan kasih sayang.

Namun apabila rumah tangga dilanda masalah, ia bukan sahaja memberi kesan kepada pasangan, tetapi juga anak-anak yang menjadi saksi. Anak-anak mungkin tidak mampu menyelesaikan konflik yang berlaku, namun jauh di sudut hati menyimpan harapan agar keluarga yang mereka sayang dahulu kembali pulih.

Ika, (bukan nama sebenar) adalah seorang daripada anak yang menjadi saksi ujian dalam keluarga apabila bapa menjalinkan hubungan dengan wanita lain.

Kata Ika, kisah dikongsikan bukan untuk mengaibkan sesiapa, tetapi sebagai pengajaran, bagaimana perbuatan bapa menduakan ibu telah mengubah banyak perkara dan meninggalkan kesan yang masih dirasai sehingga ke hari ini .

Dalam pertemuan diatur baru-baru ini Ika berkata, dia tidak berniat untuk mengungkit kisah lama, tetapi berkongsi sebuah realiti kehidupan yang mungkin sedang dilalui oleh ramai orang dalam diam.

Hari ini kata Ika, dia melihat perubahan yang lebih baik dalam hidup mereka sekeluarga. Selepas kejadian kemalangan yang berlaku pada awal Mei lalu, banyak perkara dalam keluarga mereka berubah.

Peristiwa itu menjadi titik tolak kepada perubahan dalam hidup bapanya, Idzham, (bukan nama sebenar). Buat pertama kalinya, selepas bertahun-tahun, lelaki itu mula melihat kembali tujuan dan perjalanan kehidupannya.

Bapa yang dahulunya lupa diri, sudah insaf dan semakin sedar tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

“Alhamdulilah, perlahan-lahan bapa mula mendekati keluarga, memperbaiki hubungan yang pernah renggang dan berusaha menjadi insan lebih baik,” ujarnya penuh syukur.

Sebagai anak dia tidak mengharapkan kesempurnaan dalam sebuah keluarga, sebaliknya hanya sebuah keluarga bahagia dan saling melengkapi. Menurut Ika, dia juga bersyukur kerana ibunya, Linda, (bukan nama sebenar) tetap memilih untuk memaafkan dan terus mempertahankan perkahwinan yang dibina hampir 23 tahun itu.

Mengimbas kisah lalu, kata Ika, hampir enam tahun dia menyaksikan ibu berjuang mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama bapa. Enam tahun bukanlah tempoh singkat.

Dalam tempoh itu terlalu banyak air mata dan kesedihan yang dipendam ibu. Sebagai anak sulung, dia menyaksikan perubahan itu dengan matanya sendiri.

“Kecurangan membuatkan bapa semakin jauh daripada keluarga bukan sahaja memberi kesan kepada ibu, bahkan kepada saya dan adik-adik. Kami benar-benar kehilangan ketenangan dan rasa selamat,” ujarnya yang ketika itu baru sahaja berusia 17 tahun.

Tambah Ika, dia berkongsi cerita bukan untuk menjatuhkan maruah bapa. Apa yang penting, perkongsian itu untuk orang lain lebih memahami bahawa apabila berlakunya kecurangan dalam rumah tangga, bukan hanya pasangan yang terluka, tetapi juga anak-anak yang menjadi saksi dalam diam.

Menceritakan lebih lanjut kata Ika, dia masih ingat ketika mengetahui bapa mempunyai hubungan dengan wanita lain. Ketika itu kata Ika, dia berharap agar semua itu segera berakhir dan bapa cepat sedar.

Namun hari berganti minggu, minggu bertukar bulan dan bulan beralih tahun. Sepanjang tempoh itu juga dia menjadi saksi kepada satu perkara yang tidak semua orang mampu faham.

Kesabaran seorang wanita bernama isteri untuk terus mempertahankan perkahwinan. Dalam diam ibu tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri. Menurut Ika, sebagai anak dia tidak membenci bapanya.

Tetapi dia tidak mampu menafikan rasa kecewa yang ada dalam hati.

“Saya benar-benar kecewa melihat seorang bapa yang dahulunya menjadi contoh, lupa diri dan tanggungjawab hanya kerana seorang wanita,” katanya.

Menyambung cerita, kata Ika, pekerjaan bapanya sebagai pemandu lori. Satu pekerjaan yang bukan mudah. Berhari-hari berada di jalan raya , berjauhan daripada keluarga, berdepan keletihan dan risiko demi mencari rezeki.

Menurut Ika, dia sangat kagum dengan bapa yang sanggup memandu ratusan kilometer untuk memastikan keperluan keluarga dipenuhi. Namun sejak kehadiran wanita lain dalam hidup bapa, dia mula melihat sesuatu yang berbeza.

Bapanya sudah jarang menghubungi ibu setiap kali keluar bekerja. Apabila pulang, layanan bapa kepada ibu dan anak-anak tidak semesra biasa.

Pada awalnya, ibu dan anak-anak cuba memahami keadaan bapa yang mungkin terlalu penat atau berdepan tekanan di tempat kerja. Tetapi akhirnya kebenaran yang selama ini cuba disembunyikan terbongkar. Rupa-rupanya bapa ada wanita lain di belakang ibu.

“Sebagai anak saya tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan ketika itu. Marah, sedih, kecewa silih berganti,” ujarnya.

Menurut Ika, yang paling menyakitkan adalah melihat keadaan ibu. Dia melihat sendiri bagaimana ibu yang ceria, menjadi seorang yang banyak termenung dan tidak banyak bercakap.

Walaupun kecewa, ibu tetap memilih untuk bertahan dan menjaga keharmonian keluarga. Menurut Ika, hari ini mereka memilih untuk terus memandang ke hadapan, membina sebuah keluarga yang lebih kuat.

Selepas apa yang berlaku kata Ika, kesabaran dan doa ibu ternyata tidak pernah sia-sia.

“Sebagai anak saya menyaksikan sendiri, bagaimana ibu tidak pernah berhenti berdoa agar bapa sedar dan kembali ke pangkuan keluarga. Alhamdulilah, Allah makbulkan doa ibu,” ujarnya penuh makna.

Kisah ibu Ika menjadi bukti kepada makna sabar yang sebenar melalui seorang wanita bergelar isteri. Sepanjang tempoh ujian dalam rumah tangga, ibu Ika tidak memilih untuk membalas, tetapi memaafkan dan mendoakan suami kembali ke pangkal jalan.

Sesungguhnya, kesabaran itu sangat dituntut dalam Islam. Sebagaimana Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar) (Surah Al-Baqarah ayat 153)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN