Daripada seorang gadis tomboi yang gemar aktiviti lasak sehingga bergelar cef persendirian dan usahawan katering, perjalanan hidup Aidan Natasya Ahmad Kamarulzaman penuh pelbagai kisah yang membentuk dirinya hari ini.
DAPUR TERBAKAR SEMAI MINAT MEMASAK
Di sebalik imej anggun dan lembut seorang cef wanita, tersimpan kisah seorang gadis yang pernah menyebabkan dapur rumahnya terbakar ketika berusia 12 tahun gara-gara terlalu obses bereksperimen dengan masakan.
Namun daripada kegagalan kecil itulah lahirnya semangat luar biasa yang akhirnya membentuk dirinya sebagai seorang cef persendirian sepenuh masa, usahawan katering dan wanita muda yang kini semakin dikenali dalam dunia kulinari tempatan.
Bagi Aidan Natasya atau mesra disapa Aidan, memasak bukan sekadar kerjaya, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya sejak kecil lagi.
Minat itu mula bercambah ketika dia sering mengikut neneknya masuk ke dapur dan membantu menyediakan makanan untuk keluarga.
Malah, neneknya menjadi individu paling besar mempengaruhi perjalanan hidupnya sehingga dia jatuh cinta terhadap dunia masakan tradisional.

“Sejak umur 10 tahun saya memang suka memasak sebab selalu ikut nenek ke dapur. Saya tengok cara dia masak, urus keluarga, jahit baju dan buat macam-macam kerja sendiri. Saya kagum dengan dia,” katanya kepada Seri.
Menurutnya, walaupun ibunya seorang bekas pramugari dan bapanya pula memiliki syarikat sendiri, dia lebih banyak belajar tentang kehidupan daripada neneknya.
Katanya, wanita warga emas itu mengajar dirinya menjadi kuat, berdikari dan tidak takut mencuba sesuatu yang baharu.
TIDAK PERNAH BAYANG JADI CEF
Menariknya, ketika kecil Aidan sebenarnya tidak pernah membayangkan dirinya menjadi seorang cef.
Sebaliknya, dia menyimpan cita-cita untuk menjadi anggota polis kerana meminati aktiviti lasak dan cabaran ekstrem.
“Saya dulu memang tomboi. Saya suka warna biru, suka aktiviti mendaki dan mencabar. Saya memang tak suka benda-benda terlalu feminin,” katanya.
Disebabkan itu juga, dia sering berasa berbeza daripada adik-beradiknya yang lebih gemar perkara bersifat kewanitaan.
Namun seiring peningkatan usia, dirinya mula berubah sedikit demi sedikit dan belajar menerima sisi feminin dalam diri sendiri.
Dalam masa sama, minat terhadap dunia masakan semakin kuat apabila dia sering menonton rancangan dokumentari masakan dan pengembaraan di televisyen.

Daripada situlah wanita berusia 28 tahun itu mula menyimpan impian untuk mengembara ke luar negara sambil memasak dan membuka perniagaan sendiri suatu hari nanti.
“Saya suka tengok rancangan memasak di AFC dan AXN. Saya tengok banyak cef pergi macam-macam negara dan saya fikir, satu hari nanti saya nak jadi macam mereka,” katanya.
Ketika di bangku sekolah, Aidan mengakui dia pernah berasa malu apabila guru bertanyakan tentang cita-cita.
Rakan-rakannya mahu menjadi doktor, peguam dan model, tetapi dia sendiri masih keliru tentang masa depan.
Akhirnya, dia memilih untuk menjawab mahu menjadi seorang penghibur kerana hanya tahu dia mahu berjaya dalam hidup.
“Saya cuma tahu saya suka memasak dan suka berniaga. Saya tak pasti saya akan jadi apa, tapi saya memang nak jadi orang berjaya,” katanya.
KERJA SAMBILAN BANTU IBU
Sikap berdikari Aidan terbentuk sejak usia remaja apabila dia mula bekerja sambilan untuk membantu ibunya.
Dia mula berniaga kecil-kecilan ketika berusia 18 tahun dengan menjual brownies, nasi lemak dan pelbagai jenis makanan dari rumah.
Namun sebelum itu lagi, seawal usia 14 tahun, dia sudah mula bekerja dalam bidang katering secara sambilan tanpa pengetahuan bapanya.
Katanya, bapanya seorang yang sangat tegas dan tidak bersetuju dia bekerja ketika masih bersekolah.
Tetapi anak sulung dari empat beradik itu nekad kerana tidak sanggup melihat ibunya bersusah payah membesarkan keluarga seorang diri.
Pengalaman bekerja sejak muda membuatkan Aidan belajar banyak perkara tentang kehidupan.
Dia pernah bekerja sebagai barista, pembantu dapur, kru bankuet, pekerja kedai kasut dan pelbagai lagi demi mencari pengalaman serta pendapatan sendiri.
Menurutnya, semua pengalaman itu membuka matanya tentang kepentingan pendidikan dan kemahiran dalam dunia pekerjaan.
SAMBUNG PENGAJIAN
Disebabkan itu, dia akhirnya menyambung pengajian dalam bidang hospitaliti dan kulinari di Management and Science University (MSU).
Di situ, dia memperoleh diploma sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang teknologi perkhidmatan makanan.
Malah, dia juga pernah menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang nutrisi sebelum terpaksa menangguhkannya.
Keputusan itu dibuat selepas bapanya diserang strok dan memerlukan penjagaan sepenuh masa.

“Saya korbankan kerja dan pengajian sebab nak jaga ayah. Saya percaya setiap ujian itu membentuk kita jadi lebih kuat,” katanya.
Menurut Aidan, keluarganya menjadi tulang belakang terbesar dalam perjalanan hidup dan kerjayanya.
Dia juga sangat rapat dengan adiknya yang kini bergelar artis, Adam Nuqris.
Katanya, mereka saling membantu antara satu sama lain termasuk dalam mengembangkan perniagaan katering keluarga.
JADI CEF PERSENDIRIAN
Daripada pengalaman bekerja dengan syarikat katering dan hotel, Aidan mula belajar tentang pengurusan dapur, operasi makanan dan layanan pelanggan.
Dia kemudian mengambil keputusan untuk bergerak sendiri sebagai cef persendirian sepenuh masa.
Menurutnya, menjadi cef persendirian memerlukan disiplin tinggi kerana setiap pelanggan mempunyai kehendak berbeza.
Ada pelanggan mahukan sajian sihat, menu diet gim, makanan vegetarian sehinggalah hidangan eksklusif untuk acara korporat dan keluarga.

“Kami akan buat semua persediaan di dapur pusat sebelum bawa ke lokasi pelanggan untuk dimasak secara segar,” katanya.
Aidan berkata, tempahan biasanya perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bergantung kepada jenis menu dan kuantiti makanan.
Selain memasak untuk pelanggan biasa, dia juga pernah menyediakan hidangan untuk kerabat diraja dan acara eksklusif.
Pengalaman itu disifatkannya sebagai antara detik paling berharga sepanjang bergelar private chef.
“Saya banyak belajar tentang disiplin, citarasa dan layanan daripada mereka,” katanya.
KALIS KRITIKAN
Dalam dunia kulinari, Aidan mengakui bukan mudah untuk bertahan lebih-lebih lagi sebagai wanita muda.
Ujarnya, dia juga pernah melalui pengalaman dikecam netizen gara-gara hasil kek yang dimuat naik di media sosial.
Namun, dia memilih untuk tidak melatah kerana menganggap semua itu sebahagian daripada proses pembelajaran.
“Kalau orang nak cakap, biarlah. Saya anggap itu ruang untuk saya perbaiki diri,” katanya.
Menurut Aidan, ramai anak muda sebenarnya berbakat besar dalam bidang makanan tetapi takut mencuba kerana bimbang dikritik.
Baginya, kejayaan hanya datang kepada mereka yang berani mengambil risiko dan terus mencuba.
“Saya percaya kalau kita ikhlas dan konsisten, peluang akan datang sendiri,” katanya.
AIR BERAS PETUA CANTIK
Selain bidang masakan, Aidan juga sangat menitikberatkan aspek kesihatan dan pemakanan.
Dia mengamalkan diet sihat termasuk mengambil makanan segar, salad, ikan dan beras perang dalam rutin hariannya.
Malah, dia lebih gemar menggunakan bahan premium dan sihat dalam masakannya walaupun kos lebih tinggi.
Katanya, ramai tidak sedar kualiti bahan memainkan peranan besar terhadap kesihatan tubuh badan.
Selain menjaga pemakanan, Aidan juga mengamalkan pelbagai petua tradisional untuk penjagaan kulit dan kesihatan dalaman.
Antara amalan kegemarannya termasuk minuman campuran lemon, madu dan kayu manis selain penggunaan lidah buaya serta air beras pada wajah.
Katanya, petua tradisional masih relevan dan memberi kesan sangat baik jika diamalkan secara konsisten.
“Saya percaya kecantikan sebenar datang daripada cara kita jaga diri dan hati,” katanya.
MAHU BUKA BAKERI, KELAS MASAKAN
Aidan kini merancang membuka bakeri dan kiosk makanannya sendiri selain bercadang memperkenalkan pelbagai menu unik termasuk sup tulang merah, kari kepala kambing dan ramen halal hasil eksperimennya sendiri.
Katanya, dia mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza supaya pelanggan tidak bosan dengan menu biasa.
Aidan juga memasang impian untuk membuka kelas masakan dan membantu lebih ramai orang menjana pendapatan melalui bidang kulinari.










