Trauma zaman kecil,anak jaga jarak dengan ibu

Trauma zaman kecil, anak jaga jarak dengan ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hubungan seorang ibu dengan anak perempuan sepatutnya menjadi paling rapat dan penuh kasih sayang.

Namun, apabila ada anak yang membesar dalam suasana sering dibanding-bandingkan dan dipersalahkan ia akan meninggalkan kesan amat mendalam.

Ini termasuk memberi pengaruh kepada cara mereka melihat diri sendiri, orang lain dan persekitaran.

Minggu ini saya kongsikan kisah seorang wanita, Dalilah (bukan nama sebenar) yang mengalami trauma zaman kanak-kanak kerana sikap pilih kasih seorang ibu.

Rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat, perlahan-lahan menjadi trauma yang dibawa hingga dewasa.

Konflik dalam keluarga melibatkan ibu dan anak seolah-olah tidak pernah benar-benar hilang.

Bagaimanapun, si anak tetap menghormati ibu, namun memilih untuk menjaga jarak.

Bukan kerana membenci, jauh sekali mahu menjadi anak derhaka, tetapi luka yang dipendam bertahun-tahun menjadikan siapa Dalilah hari ini.

Kisah Dalilah dikongsikan adiknya, Ain (bukan nama sebenar) dalam pertemuan baru-baru ini.

Dia tidak berniat untuk membuka aib keluarga tetapi kisah itu perlu dijadikan pengajaran.

Kata Ain, kakaknya merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

Sejak kecil kakak cuba mendapatkan perhatian ibu.

Kakak sering cuba mengambil hati ibu termasuk rajin membantu kerja-kerja rumah dan tekun belajar.

Namun, semakin kakak berusaha, semakin dia penat mengejar kasih seorang ibu yang terasa semakin jauh.

Di sekolah, kakak menjadi antara pelajar cemerlang.

Tetapi anehnya, segala pencapaian kakak tidak pernah cukup di mata ibu mereka.

Setiap kali keputusan peperiksaan keluar, ibu tidak pernah memuji sebaliknya tetap membandingkan kakak dengan orang lain.

Tambah Ain, dia masih ingat suatu hari kakak pulang dari sekolah membawa slip keputusan peperiksaan akhir tahun.

Kakaknya pulang dengan wajah gembira kerana mendapat nombor satu dalam kelas.

Seingat Ain, dia melihat kakak berlari masuk ke rumah sambil memegang kertas keputusan peperiksaan dengan penuh bangga.

Tetapi ibu hanya memandang sekilas, sambil berkata, jangan terlalu bangga kerana ada lagi ramai yang lebih pandai.

Ayat itu kata Ain, mungkin biasa bagi ibu, tetapi bagi kakak yang berusia 10 tahun, ayat tersebut melekat dalam hatinya bertahun-tahun.

“Bukan sekali dua kakak cuba membuktikan pencapaian cemerlangnya dalam pelajaran, namun tidak pernah sekali pun mendapat pujian.

“Malah, ibu tetap cuba merendah-rendahkan kemampuan kakak,” ujar Ain lagi.

Di depan orang lain, ibu sering memuji kakak, abang dan adik-adiknya.

Kadangkala kesalahan kecil mereka, ditutup dengan senyuman, tetapi kesilapan kakak menjadi sebab kemarahan ibu yang berpanjangan.

Sejak hari itu, Ain perasan kakaknya mula belajar menyembunyikan perasaan.

Kakak berubah menjadi lebih pendiam dan suka menyendiri.

Menyambung cerita, kata Ain, kakak kini sudah berkeluarga dan mempunyai tiga anak berusia dua hingga 10 tahun.

Dia tahu ada kekesalan dalam diri ibu kerana sikap pilih kasih terhadap kakak sebelum ini.

Namun, dia tidak pernah menyalahkan ibu apa lagi kakaknya.

Dia tahu ibunya juga menyimpan perasaan yang sukar digambarkan.

“Hanya selepas bertahun-tahun lamanya, akhirnya kami adik-beradik mula memahami sesuatu yang selama ini tidak pernah diketahui.

“Saya pernah melihat kakak dimarahi ibu tanpa sebab jelas. Pernah melihat ibu lebih lembut dengan kami adik-beradik lain, tetapi berubah dingin apabila dengan kakak.

“Apa sahaja kakak lakukan, selalu nampak salah di mata ibu,” ujarnya.

Kata Ain, dahulu mereka menyangka kakak cuma terlalu sensitif.

Ada waktunya, mereka menganggap kakak sengaja mahu menjauhkan diri daripada keluarga.

Tetapi mereka tidak pernah tahu, di sebalik diam seorang kakak itu, ada luka yang dipendam terlalu lama.

Sehinggalah selepas hampir 30 tahun berlalu, sebuah rahsia lama akhirnya terbuka.

Rupanya, kakak dilahirkan tidak lama selepas ibu mendapat tahu tentang kecurangan bapa mereka.

Ketika itu, hati ibu hancur, kecewa dan penuh dengan kemarahan terhadap pengkhianatan seorang suami.

Tanpa sedar, segala luka dan kekecewaan ibu beralih kepada kakak yang langsung tidak bersalah.

Menurut Ain, kakak membesar menjadi tempat ibu melepaskan kemarahan.

Setiap kali memandang wajah kakak yang terlalu mirip dengan bapa, ibu kembali teringat kepada kecurangan bapa.

“Kakak sering menjadi sasaran kemarahan dan pilih kasih ibu.

“Bukan sebab kakak nakal atau kurang dari segi rupa paras, tetapi kerana kekecewaan ibu terhadap ayah tidak pernah tamat,” sambungnya.

Saat mengetahui perkara itu, kata Ain, akhirnya mereka mula memahami kenapa kakak berubah menjadi seorang pendiam dan sering menjauh selepas berkahwin dan memiliki keluarga sendiri.

Rupa-rupanya kata Ain, selama ini trauma zaman kanak-kanak telah mengubah sikap kakak.

Kakak cuma memendam perasaan dan berasa dirinya tidak benar-benar disayangi ibu.

“Saya tahu kakak menyayangi ibu, begitu juga sebaliknya namun masing-masing tidak tahu bagaimana memulakan,” ujarnya.

Menurut Ain, dia juga kagum dengan sikap kakaknya yang tetap memilih untuk terus berbakti kepada ibu mereka selepas apa yang berlaku.

Sesungguhnya perintah berbakti kepada orang tua adalah satu kewajipan dalam Islam.

Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud, “Rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua (menyayangiku ketika) mendidik aku pada waktu kecil.” – (Al-Isra:24)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN