Pakai pendakap dorong Munira jadi doktor gigi

Pakai pendakap dorong Munira jadi doktor gigi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perjalanan Dr. Munira Natashya Mohd Anuar dalam dunia pergigian bermula secara tidak disangka. Dengan hanya melalui pengalaman memakai pendakap gigi ketika di bangku sekolah yang akhirnya membuatkan dia jatuh cinta dengan dunia senyuman.

MINAT SAHAJA TIDAK CUKUP, PERLU USAHA

Ketika bersekolah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Dr. Munira Natashya bukan sekadar melalui rutin sebagai pelajar, tetapi turut berpeluang memahami dunia pergigian dari sudut yang lebih dekat melalui rawatan pendakap gigi (braces) yang dijalaninya sendiri.

Di situlah dia mula mengenali seorang doktor gigi yang banyak memberi penerangan tentang profesion tersebut, sekali gus membuka matanya terhadap kepentingan kesihatan mulut dalam membentuk keyakinan diri seseorang.

Pengalaman kecil itu perlahan-lahan menanam benih minat yang akhirnya berkembang menjadi cita-cita besar dalam hidupnya.

Selepas menamatkan zaman persekolahan di Sekolah Kebangsaan Tengku Mariam dan Sekolah Tun Fatimah, dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam bidang pergigian di MAHSA University.

Keputusan itu bukan sekadar pilihan akademik, tetapi langkah penting yang membawanya lebih dekat kepada dunia klinikal yang penuh cabaran dan tanggungjawab, malah menegaskan minat sahaja tidak mencukupi kerana perlu ada kesungguhan serta usaha untuk menjadi seorang doktor gigi.

Sepanjang pengajian, dia bukan sahaja belajar tentang struktur gigi dan teknik rawatan, tetapi juga memahami setiap pesakit membawa cerita dan emosi yang berbeza.

PERSEPSI DOKTOR GIGI WANITA

Hari ini, dia bergelar doktor gigi dengan misi utama untuk membantu pesakit mendapatkan semula senyuman yang sihat, yakin dan bermakna.

Dalam dunia profesionalnya, Dr. Munira Natashya sering berdepan dengan satu persepsi yang agak lama berakar dalam masyarakat, iaitu anggapan rawatan cabut gigi oleh doktor wanita lebih menyakitkan berbanding doktor lelaki.

Namun baginya, tanggapan tersebut sebenarnya tidak berasaskan fakta klinikal yang tepat, sebaliknya lebih kepada persepsi yang terbentuk melalui cerita dan andaian masyarakat.

“Dalam bidang pergigian, jantina bukanlah faktor yang menentukan kualiti rawatan yang diberikan kepada pesakit.

“Sebaliknya, apa yang lebih penting ialah kemahiran, teknik, pengalaman dan cara seseorang doktor mengendalikan situasi klinikal yang pelbagai,” katanya kepada Seri.

Walaupun ada yang beranggapan kekuatan fizikal memainkan peranan penting, dia menegaskan prosedur seperti cabutan gigi lebih bergantung kepada teknik yang betul dan kawalan pergerakan yang tepat.

Pendekatan yang lembut, berhati-hati dan penuh ketelitian sering kali memberikan hasil yang lebih selesa kepada pesakit berbanding pendekatan yang bergantung kepada kekuatan semata-mata.

RASA SAKIT SEBAB TAKUT

Dia juga menekankan dalam kebanyakan kes, rasa sakit yang dialami pesakit lebih dipengaruhi oleh faktor ketakutan dan kebimbangan berbanding prosedur itu sendiri.

“Ramai sebenarnya dalam kalangan kita takut untuk berjumpa dengan doktor gigi walaupun mengalami kesakitan berpanjang.

“Bila sudah jumpa, rasa takut itu kadang-kadang ‘kacau’ minda pesakit menyebabkan mereka beranggapan semua rawatan adalah menyakitkan.

“Realitinya, doktor gigi akan cuba membuat rawatan sebaik mungkin untuk keselesaan pesakit,” katanya.

Oleh itu, komunikasi yang baik antara doktor dan pesakit menjadi satu daripada elemen paling penting dalam memastikan pengalaman rawatan yang positif.

Dalam pandangannya, pesakit seharusnya menilai doktor berdasarkan hasil rawatan dan tahap kepercayaan yang dibina, bukannya berdasarkan jantina.

Ini kerana dalam dunia pergigian moden, standard rawatan sudah ditetapkan secara profesional dan seragam bagi semua pengamal.

PELBAGAI PENGALAMAN

Sepanjang kerjayanya, dia turut melalui pelbagai pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam, sama ada yang menggembirakan mahupun mencabar.

Antara momen paling manis ialah ketika dia bertugas di hospital kerajaan dan merawat seorang kanak-kanak yang kemudian menghadiahkannya sesuatu sebagai tanda penghargaan.

Lebih menyentuh hati, kanak-kanak tersebut menyatakan hasrat untuk menjadi doktor gigi suatu hari nanti, menjadikan pengalaman itu sangat bermakna bagi beliau.

“Pengalaman itu sedikit sebanyak menunjukkan apa yang kita lakukan boleh beri impak positif kepada orang lain,” ujarnya.

Namun dalam masa yang sama, dia tidak terlepas daripada cabaran apabila berdepan dengan kes yang tidak mencapai hasil seperti yang diharapkan walaupun sudah berusaha sebaik mungkin.

Dalam situasi sedemikian, dia menekankan kepentingan komunikasi yang jelas, penilaian semula rawatan dan pendekatan profesional dalam mencari penyelesaian terbaik.

Baginya, setiap cabaran dalam kerjaya bukanlah kegagalan, tetapi ruang untuk belajar dan memperbaiki kemahiran dari semasa ke semasa.

HASIL KANDUNGAN PENDIDIKAN, KESEDARAN

Selain kerja klinikal, dia juga aktif menghasilkan kandungan pendidikan kesihatan pergigian melalui media sosial sebagai usaha menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat.

Dr. Munira Natashya sering melihat terdapat banyak kandungan tidak tepat berkaitan penjagaan gigi yang tersebar dan merasakan tanggungjawabnya sebagai doktor untuk membetulkan perkara tersebut.

Dalam pendekatan penyampaian, dia memilih gaya yang mudah difahami, santai tetapi masih berasaskan ilmu yang sahih supaya mesej dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Dia juga tidak kekok berkongsi pengalaman peribadi termasuk keadaan giginya sendiri sebagai cara mendekatkan diri dengan audiens.

“Dengan cara itu, saya rasa lebih dekat dengan audiens, kalau kita tunjuk gambar sahaja, tidak nampak real, jadi saya terbuka gunakan gigi sendiri untuk wujudkan kesedaran penjagaan gigi yang betul kepada orang ramai,” katanya.

Selain media sosial, dia turut aktif menghadiri persidangan dan kelas profesional bagi memastikan dirinya sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam dunia pergigian.

Dr. Natashya juga pernah bekerjasama dengan beberapa jenama serta muncul di platform radio seperti Mix FM untuk berkongsi ilmu kesihatan mulut kepada khalayak yang lebih luas.

PERSEPSI TIDAK HALANG KERJAYA

Namun, dia mengakui persepsi masyarakat terhadap doktor wanita masih wujud, namun tidak memberi kesan ketara terhadap kerjayanya.

Baginya, tiada perbezaan ketara antara doktor lelaki dan wanita dalam aspek keupayaan, kerana kedua-duanya dilatih berdasarkan standard yang sama.

Apa yang benar-benar membezakan seorang doktor adalah tahap profesionalisme, ketelitian dan keupayaan mengendalikan pesakit dengan baik.

Dia percaya persepsi masyarakat boleh diubah melalui pendidikan, pengalaman rawatan yang positif dan komunikasi yang berterusan.

Dalam aspek klinikal, dia mengakui terdapat beberapa rawatan yang lebih mencabar seperti root canal, cabutan gigi bongsu terimpak dan penyakit gusi kronik.

Kes yang melibatkan pesakit cemas atau kurang bekerjasama juga boleh menjadikan rawatan lebih kompleks walaupun secara teknikalnya kelihatan mudah.

Baginya, cabaran sebenar bukan hanya pada prosedur, tetapi bagaimana doktor menguruskan emosi dan jangkaan pesakit.

LANJUT BIDANG PAKAR

Dalam masa yang sama, dia menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kepakaran pada masa hadapan.

Dia juga ingin terus meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai rawatan pergigian bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti atau dielakkan.

Dr. Munira Natashya juga berharap dapat dikenali bukan sahaja sebagai doktor gigi, tetapi juga sebagai individu yang membantu membina keyakinan dan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Sebagai penutup, dia menitipkan pesanan kepada generasi muda yang berminat dalam bidang ini agar benar-benar memahami cabaran yang bakal dihadapi sebelum melangkah ke dunia pergigian.

Menurutnya, bidang ini memerlukan kesabaran, ketelitian, komitmen yang tinggi serta kesediaan untuk sentiasa belajar sepanjang kerjaya.

Dan yang paling penting, dia menegaskan keikhlasan dalam membantu pesakit adalah kunci sebenar kepada kepuasan dalam profesion sebagai seorang doktor gigi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN