DI DALAM sebuah khemah kanvas sementara, Inaam al-Dahdouh, 62, mengharungi hari-hari penuh ketabahan bersama enam orang cucu sambil membelek gambar tiga anak lelakinya yang ditahan sejak dua tahun lalu pada awal perang Israel di Gaza.
Wanita warga emas itu kini berdepan satu lagi gelombang kesedihan dan kebimbangan selepas Israel meluluskan undang-undang yang membenarkan hukuman mati ke atas tahanan Palestin pada akhir Mac lalu.
Rakyat Palestin memperingati Hari Banduan Palestin setiap tahun pada 17 April. Tahun ini, sambutan itu berlaku ketika jumlah tahanan meningkat mendadak serta keadaan penahanan yang semakin merosot.
Menurut kumpulan advokasi banduan, lebih 9,600 rakyat Palestin kini ditahan di penjara Israel setakat awal April 2026, berbanding kira-kira 5,250 sebelum perang, peningkatan hampir 83 peratus.
Mereka termasuk 350 kanak-kanak serta lebih 3,530 tahanan pentadbiran yang ditahan tanpa pertuduhan.
Lebih 100 banduan juga dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan sejak perang bermula pada Oktober 2023, ketika keadaan penjara dilaporkan semakin teruk.
Bagaimanapun, kebimbangan kini meluas kepada pelaksanaan hukuman mati terhadap tahanan Palestin apabila Parlimen Israel meluluskan undang-undang pada 30 Mac, tetapi hanya ke atas mereka yang disabitkan di mahkamah tentera kerana membunuh rakyat Israel.
Dalam pelaksanaannya, perkara itu bermaksud rakyat Palestin di Tebing Barat akan terkesan, kerana rakyat Israel dibicarakan di mahkamah sivil.
Namun, terdapat juga perbincangan mengenai penubuhan tribunal berasingan untuk rakyat Palestin dari Gaza, yang mana pihak sayap kanan Israel dijangka akan mendesak penggunaan hukuman mati.
DETIK PENAHANAN
Tiga anak lelaki Inaam, Mahmoud, 30, Alaa, 27 dan Diaa, 24, ditahan pada 15 Disember 2023 selepas beberapa hari serangan Israel di Hospital al-Shifa, yang terletak berhampiran rumah mereka ketika itu.
Keluarga tersebut melalui kepungan selama lima hari sebelum tentera Israel menyerbu rumah mereka dalam keadaan serangan tembakan bertubi-tubi.
“Tiada masa untuk berfikir. Mereka menembak di kaki kami, dan kanak-kanak menjerit, saya hanya mahu melindungi mereka di belakang saya,” kata Inaam ketika menceritakan semula detik tersebut.

Mahmoud, Alaa dan Diaa kemudian diikat serta ditutup mata sebelum ditahan oleh tentera Israel. Inaam melarikan diri ke selatan bersama wanita dan kanak-kanak lain, namun suaminya Naeem yang ketika itu berusia 65 tahun, enggan meninggalkan tempat tersebut.
10 hari kemudian, mayatnya ditemukan di kawasan berhampiran. Inaam menegaskan, anak-anaknya adalah orang awam.
Mahmoud merupakan bapa kepada enam anak, manakala Alaa menamatkan pengajian ijazah undang-undang dan Diaa selesai menghabiskan sekolah menengah.
“Alaa dan Diaa kedua-duanya sudah bertunang. Kami merancang untuk mengahwinkan mereka pada Oktober, bulan sama perang bermula tetapi sebaliknya berlaku.
“Tunang mereka masih menunggu. Anak-anak saya bekerja bersama bapa mereka di sebuah stesen minyak milik kami dan menjalani kehidupan yang stabil. Mengapa mereka ditahan?,” katanya.
SENYAP TANPA KHABAR
Sejak penahanan itu, Inaam hampir tidak menerima sebarang maklumat mengenai keadaan anak-anaknya dan mereka juga tidak pernah dibebaskan dalam mana-mana perjanjian pertukaran tahanan.
Satu-satunya cara beliau mengetahui perkembangan mereka adalah melalui cebisan maklumat yang dibawa oleh bekas tahanan dibebaskan.
“Setiap berita, walau sekecil mana pun saya genggam erat untuk terus yakin anak-anak saya masih hidup,” kata Inaam.
Menerusi maklumat tidak langsung, Inaam percaya Alaa dan Diaa dipindahkan ke penjara Negev, manakala Mahmoud pula didakwa pernah dilihat di penjara Ofer.
Berita mengenai kelulusan undang-undang hukuman mati itu menambah lagi kebimbangan Inaam.
Dalam keadaan menahan sebak, Inaam menjelaskan dirinya mungkin mampu menerima anaknya menderita kelaparan, penderitaan atau penyiksaan di dalam penjara, tetapi bukan hukuman mati.
Walaupun terdapat jaminan dan tafsiran undang-undang itu hanya menyasarkan kategori tertentu tahanan yang dituduh membunuh rakyat Israel, Inaam tidak dapat menolak kebimbangan ia mungkin turut melibatkan anak-anaknya.
“Walaupun mereka dituduh, bagaimana keputusan seperti hukuman mati boleh dikeluarkan? Hanya kewujudan undang-undang seperti itu sahaja sudah cukup membuat mana-mana ibu tidak tenang selagi anaknya berada di penjara,” katanya.
Di sebalik ketiadaan tiga anaknya, Inaam kini cuba mengisi kekosongan itu sebaik mungkin.
Dia menjaga anak Mahmoud serta mencari cara untuk memastikan sosok seorang bapa terus wujud dalam kehidupan enam cucunya.










