Jurang gaji terlalu besar, Bront Palarae nekad berhenti berlakon drama televisyen - Utusan Malaysia

Jurang gaji terlalu besar, Bront Palarae nekad berhenti berlakon drama televisyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Bront Palarae mengakui rasa bersalah selepas mengetahui terdapat jurang gaji yang besar di set penggambaran membuatkannya memutuskan untuk  tidak lagi menerima sebarang tawaran lakonan bagi projek drama televisyen (TV).

Bercerita lanjut, Bront atau Nasrul Suhaimin Saifuddin, 44, pernah berjuang untuk mendapatkan jumlah gaji yang diinginkan namun tidak menyangka akan memberi kesan kepada orang lain di set penggambaran.

“Sebagai pelakon, kita memang mengejar tangga gaji, terutamanya apabila melibatkan televisyen dan drama bersiri. Ada satu projek ini, saya berjuang habis-habisan untuk mendapatkan angka yang saya mahukan.

“Setelah berbincang panjang lebar, pihak produksi bersetuju untuk mengaturnya. Bagi saya sebagai pelakon, ketika itu, ia adalah satu kemenangan besar,” katanya menerusi sebuah program audio siar Pure Pexels.

Bagaimanapun, kegembiraan memenangi rundingan gaji tersebut tidak bertahan lama apabila pelakon Gundala itu mengetahui imbuhan yang diterima pekerja belakang tabir jauh lebih kecil.

“Apabila sudah masuk minggu kedua, barulah muncul kebenaran yang pahit. Realiti seolah-olah berpatah balik kepada kita apabila menyedari orang-orang yang bekerja sepanjang projek itu, tangga gaji mereka lebih kecil daripada bayaran saya untuk satu episod sahaja.

“Kesimpulannya, dalam kita meraikan kemenangan (gaji tinggi), ia tidak terasa sedap mana apabila sedar ada orang lain yang ‘harus mati’ (berkorban) demi kita,” jelasnya .

Tegas Bront, titik hitam itu menjadi punca utama dua nekad untuk menutup pintu terhadap sebarang projek drama televisyen pada masa hadapan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN