Dari sarang burung ke pentas peragaan

Dari sarang burung ke pentas peragaan

Emelda bersama model yang menggayakan busana rekaannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada sesuatu tentang sarang burung yang membuatkan kita diam sekejap. Bukan sebab ia cantik secara tipikal, tapi sebab ia jujur. Berserabut, tak ikut garis lurus, tapi cukup untuk melindungi. Ia tak cuba untuk membanggakan sesiapa, tapi tetap berfungsi dengan sempurna.

Dan dari situ datangnya cerita minggu ini. Bukan sekadar tentang fesyen, tapi tentang rasa yang kita pakai tanpa sedar. Kenalkan, Eimelda Balqis Batrisya.

Graduan Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam ini tidak sekadar mereka pakaian. Dia membina dunia kecil yang boleh dipakai. Koleksi wearable art dia berpunca daripada idea sarang burung, tempat yang selamat, hangat dan penuh perlindungan. Tapi lebih dalam daripada itu, ia tentang manusia yang sentiasa mencari rasa selesa dalam cara masing-masing.

Rekaannya tidak tunduk pada definisi cantik yang biasa. Siluetnya organik, ada yang senget sedikit; ada yang berlapis seolah-olah memeluk tubuh dari luar.

Ada rasa dilindungi tanpa rasa terkurung. Ia hidup, bukan sekadar dipakai. Dalam dunia yang obses dengan kesempurnaan, rekaan seperti ni terasa lebih jujur.

Material yang dipilih juga bukan yang “mudah disukai”. Kain guni yang kasar dan keras dijadikan asas. Selepas itu, Eimelda membina tekstur dengan mohair, chunky yarn dan chenille yang dijahit tangan satu demi satu. Setiap benang seperti ada ceritanya sendiri.

Menarik­nya, bila tekstur dan bentuk sudah kuat, warna tidak perlu menjadi watak utama.Rona warna coklat yang digunakan nampak tenang, tapi sebenarnya dalam.

Ada lapisan tona yang membuatkan mata untuk terus explore. Bukan jenis cantik yang terus faham, tapi jenis yang buat kita tengok dua kali.

Kalau anda ingin mencuri sedikit magis dari pendekatan ini, mulai dengan cara anda tengok sesuatu. Tekstur itu bahasa. Bila warna tak menjerit, tekstur akan membisik tapi tetap membuatkan orang dengar. Campurkan kasar dengan lembut, berat dengan ringan.

Lapisan itu cerita. Tips saya adalah jangan takut untuk menambah, menyusun dan mengulang. Lagi banyak layer, lagi ada depth untuk gaya anda.

Dan paling penting, tidak semua benda perlu sempurna untuk nampak kuat. Kadang-kadang yang sedikit “off” itulah yang paling ada karakter.

Akhirnya, apa yang Eimelda hasilkan bukan sekadar pakaian. Ia reminder kecil yang cukup kuat. Kita tak perlu jadi sempurna untuk nampak menarik.

Kita cuma perlu jadi cukup berani untuk jadi diri sendiri. Sebab gaya sebenar bukan tentang ikut trend. Gaya sebenar adalah bila orang tengok kita dan fikir, “Dia ni lain sikit… tapi kena gayanya.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN