Perjuangan isteri PM Belgium lawan anoreksia

Perjuangan isteri PM Belgium lawan anoreksia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA beberapa minggu selepas suaminya memenangi pilihan raya kebangsaan Belgium pada 2024, Veerle Hegge mendapati dirinya dimasukkan ke hospital akibat gangguan makan yang hampir meragut nyawa.

Hampir dua tahun kemudian, termasuk enam bulan menjalani rawatan sepenuh masa, isteri Perdana Menteri Belgium, Bart De Wever, berkongsi dengan AFP mengapa beliau memilih untuk berkongsi perjuangan melawan anoreksia kepada umum menerusi sebuah buku yang menyelami kehidupan peribadinya.

“Penyakit mental masih lagi diselubungi stigma. Ia sesuatu yang membuatkan orang berasa tidak selesa, malah janggal untuk dibincangkan.

“Amat penting untuk mendapatkan rawatan seawal mungkin apabila anda sakit, tetapi anda hanya boleh berbuat demikian dengan bantuan orang sekeliling,” kata guru sekolah berusia 53 tahun itu dalam satu wawancara di kediamannya di pelabuhan Antwerp.

Hegge mendirikan rumah tangga bersama De Wever selama tiga dekad, sepanjang tempoh beliau berkhidmat lama sebagai Datuk Bandar Antwerp dan menjadi perdana menteri, sambil membesarkan empat anak yang kini berusia antara 24 hingga 18 tahun.

Bertajuk The Weight of Silence, buku itu banyak menceritakan tentang pengalaman yang dilaluinya ketika menerima rawatan di hospital pada 2024, tempoh yang diperlukan untuk beliau kembali pulih selepas berdepan anoreksia yang hampir meragut nyawanya.

Satu babak yang menyentuh hati menceritakan perjalanan kereta selama sejam ke sebuah klinik di timur Belgium, dengan De Wever memandu dalam keadaan diam, selepas jelas isterinya perlu mendapatkan rawatan pakar sepenuh masa demi ‘kelangsungan hidup’.

Ketika itu, parti konservatif Flemish yang dipimpin De Wever baru sahaja memenangi pilihan raya kebangsaan, dan beliau disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri.

Hegge mengakui pernah terfikir suaminya mungkin ‘kecewa’ dengannya, namun tidak berani untuk bertanya.

Beliau turut menceritakan ketibaannya di klinik itu berlaku dalam keadaan tergesa-gesa, dan terkejut apabila mendapati dirinya bersendirian dengan tag pesakit psikiatri di pergelangan tangan.

“De Weven tidak dapat tinggal lama kerana perlu kembali bekerja seperti biasa. Kami berpelukan seketika dan bersetuju untuk saling menghubungi. Itu sahaja, sebelum dia pergi,” tulisnya pada halaman awal buku itu.

Hegge berterus terang tentang kesunyian dan bersalah kerana terpaksa berjauhan daripada keluarga, selepas bertahun-tahun beliau mengurus rumah tangga sementara De Wever menumpukan perhatian kepada kerjayanya.

Dalam buku itu, beliau menulis suaminya kelihatan ‘tidak berdaya’ menghadapi dugaan itu, dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana terus setia berada di sisi.

TRAUMA YANG TERPENDAM

Sebahagian besar kisah Hegge tertumpu kepada zaman kanak-kanaknya, apabila kenangan awal hidupnya banyak dibayangi oleh ibunya yang sering mengalami kemurungan mendalam, selain trauma yang membuatkannya berasa takut dan sentiasa berjaga-jaga.

Kehidupan di rumah sering diselubungi suasana sunyi dan konflik yang terpendam, namun itu bukanlah bahagian paling sukar sepanjang beliau membesar.

Beliau mendedahkan sejak berusia lima atau enam tahun, dirinya menjadi mangsa penderaan seksual oleh seorang budak lelaki yang lebih tua selama beberapa tahun, satu trauma yang kini disedarinya dipendam sehingga beberapa tahun lalu.

“Menerima hakikat itu seolah-olah membuka segala yang selama ini terpendam. Ia memberi kesan besar kepada tubuh badan saya dan keseimbangan emosi dalaman saya.

“Lapan belas bulan kemudian saya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat gangguan makan yang serius,” katanya.

Ini merupakan episod pertama daripada dua kejadian yang akhirnya membawa kepada kemasukannya ke hospital pada tahun pilihan raya.

Ketika menerima kunjungan pasukan AFP di ruang tamu rumah keluarganya, dengan berpakaian pullover dan kasut sukan, Hegge berkata, keadaannya kini semakin baik.

Sejak bukunya mula dijual dalam versi Perancis bulan lalu, selepas pertama kali diterbitkan dalam bahasa Belanda tahun lalu, beliau menerima banyak mesej sokongan.

Antara yang menghubunginya adalah individu yang turut bergelut dengan gangguan makan, atau mereka yang menjaga orang tersayang yang sedang melalui keadaan itu, dan mereka berterima kasih kerana beliau berani membincangkan topik tersebut secara terbuka.

“Sesetengah orang yang saya jumpa memegang saya erat, atau mula menangis. Sangat banyak kesakitan dan penderitaan di luar sana,” katanya kepada AFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN