Tabiat kucing yang gemar menjilat badan bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah ia merupakan sebahagian daripada rutin harian haiwan tersebut untuk menjaga kebersihan diri.
Namun, jika tabiat itu dilakukan secara berlebihan sehingga menyebabkan keguguran bulu atau kulit menjadi rosak, ia boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan yang lebih serius.
Pegawai veterinar dari Hospital Veterinar Universiti (UVH), Dr. Nor-Alimah Rahman berkata, kucing lazimnya menghabiskan sekitar 30 hingga 50 peratus masa harian mereka untuk menjilat badan sebagai kaedah membersihkan bulu serta permukaan tubuh.

Selain itu, tingkah laku ini juga mempunyai fungsi sosial apabila kucing menjilat sesama sendiri sebagai tanda penerimaan dalam kumpulan yang sama.
“Namun, penjilatan yang keterlaluan sehingga berlaku kebotakan atau kerengsaan pada kulit adalah tidak normal dan perlu diberi perhatian,” katanya kepada Seri.
Punca
Antara punca utama masalah ini ialah faktor luaran dan dalaman. Punca luaran yang paling biasa adalah jangkitan parasit seperti kutu Ctenocephalides felis yang menyebabkan kegatalan melampau pada kulit kucing.
Apabila keadaan ini berlaku, kawasan badan yang kerap dijilat biasanya melibatkan bahagian sisi badan hingga ke pinggul, dengan kawasan botak yang semakin meluas.
Selain itu, faktor dalaman seperti kesakitan pada bahagian tertentu tubuh juga boleh menyebabkan kucing menjilat secara berulang di satu kawasan.
Contohnya, masalah pada kantung dubur (anal sac) boleh menyebabkan ketidakselesaan sehingga kucing menjilat kawasan tersebut secara berlebihan hingga luka.
Faktor lain termasuk alahan, tekanan, kebosanan serta gangguan kesihatan lain.
Tanda awal
Menurut Dr. Nor-Alimah, pemilik perlu peka apabila kucing mula menunjukkan perubahan tingkah laku seperti lebih suka menyendiri, kurang bermain atau kurang selera makan tetapi lebih banyak menjilat badan.
“Bahagian yang terjejas biasanya menjadi sensitif apabila disentuh dan kucing akan menunjukkan reaksi tidak selesa,” jelasnya.
Dalam kes kutu, pemilik juga boleh melihat tanda seperti najis kutu, telur kutu pada bulu atau reaksi berlebihan apabila kawasan tertentu disentuh.
Corak botak juga kadangkala kelihatan simetri atau berbentuk tertentu apabila dilihat dari atas.

Dalam kes alahan pula, tanda-tanda boleh termasuk dermatitis, kegatalan pada kepala dan leher serta keguguran bulu akibat jilat sendiri (self-inflicted alopecia).
Menurut beliau, pemeriksaan fizikal terperinci akan dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar masalah tersebut, termasuk pemerhatian terhadap kehadiran parasit atau tanda kesakitan.
Sejarah kesihatan kucing seperti penggunaan ubat kutu dan cacing, kecederaan lama serta gaya hidup turut diambil kira.
Faktor persekitaran seperti kebebasan keluar rumah dan interaksi dengan kucing lain juga boleh menjadi penyumbang.
Perubahan mendadak dalam rutin harian yang menyebabkan stres turut akan dipertimbangkan dalam proses diagnosis.
Rawatan bergantung kepada punca
Rawatan diberikan bergantung kepada diagnosis yang dikenal pasti.
Jika disebabkan oleh parasit, ubat kawalan kutu berdaftar seperti imidacloprid, fluralaner, afoxolaner atau fipronil akan digunakan.
Bagi kes yang melibatkan kesakitan dalaman, pemeriksaan lanjut seperti X-ray atau ultrasound mungkin diperlukan dan dalam sesetengah keadaan rujukan kepada pakar neurologi boleh dilakukan.
Jika tiada masalah fizikal dikesan, perhatian akan diberikan kepada faktor persekitaran dan tingkah laku, termasuk kemungkinan kucing mengalami tekanan atau kebosanan.
Langkah awal di rumah
Sementara menunggu rawatan veterinar, pemilik disaran untuk mengasingkan kucing yang dijangkiti kutu serta memastikan rawatan diberikan kepada semua kucing dalam rumah secara serentak bagi mengelakkan jangkitan berulang.
Selain itu, persekitaran rumah perlu dibersihkan secara menyeluruh termasuk mencuci peralatan kucing, memvakum karpet dan membuang beg hampagas bagi mengelakkan telur kutu menetas.
Ubat kawalan kutu persekitaran juga boleh digunakan untuk memastikan pembasmian menyeluruh.
Pencegahan berulang
Bagi mengelakkan masalah berulang, pemilik disarankan untuk tidak terus mencampurkan kucing baharu dengan kucing sedia ada sebelum proses rawatan kutu selesai.
Ubat kawalan kutu juga perlu diberikan secara berkala mengikut nasihat pakar, lazimnya sebulan sekali bagi memastikan perlindungan berterusan.
Selain itu, penyikatan bulu secara berkala, terutama bagi kucing berbulu panjang, dapat membantu mengesan masalah awal serta mengelakkan bulu kusut yang boleh menyebabkan iritasi.
Persekitaran yang aktif dan merangsang juga penting bagi mengelakkan kebosanan, selain menyediakan ruang selamat untuk kucing berehat.
“Perubahan besar dalam rutin harian atau kehilangan sesuatu dalam persekitaran juga boleh memberi kesan emosi kepada kucing. Dalam keadaan tertentu, intervensi tingkah laku atau rawatan tambahan mungkin diperlukan,” jelasnya.










