Hobi bunga dawai jadi terapi buat Aina Hafiza

Hobi bunga dawai jadi terapi buat Aina Hafiza

antara koleksi bunga dawai yang dihasilkan oleh Aina Hafiza Roslan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bunga dawai bukan sekadar kraf tangan biasa. Ia membuka satu dunia tersendiri yang membolehkan seseorang mengekspresikan kreativiti dan merasai kepuasan peribadi.

Setiap langkah proses, dari percubaan pertama hingga menjadi hobi, memberi makna yang lebih mendalam dalam kehidupan.

Bagi Aina Hafiza Roslan, 26, hobi ini juga menjadi medium untuk melepaskan penat lelah selepas bekerja dan menyalurkan imaginasi dengan cara yang unik.

Berasal dari Kuala Kangsar, Perak, Aina Hafiza, yang kini bekerja sebagai Digital Marketing Executive, mengakui bahawa dia tidak pernah memiliki latar belakang formal dalam bidang seni atau kraftangan.

Namun, minat mendalam untuk berkarya mendorongnya untuk mencuba sesuatu yang baru.

Minat terhadap bunga dawai mula timbul tahun lalu apabila dia berhasrat menghasilkan bunga telur untuk majlis pernikahan sendiri.

Percubaan pertama itu bukan sahaja memenuhi keperluan peribadinya, tetapi juga membuka pintu kepada dunia kreativiti yang lebih luas.

“Pada awalnya memang niat nak buat untuk kegunaan sendiri,” katanya kepada Seri.

Daripada percubaan itu, Aina Hafiza semakin tertarik dengan keunikan bunga dawai, terutama kerana fleksibiliti bahan seperti pipe cleaner yang mudah dibentuk mengikut kreativiti sendiri, ditambah dengan pelbagai pilihan warna yang menarik dan mudah diperoleh.

Antara kenangan paling manis baginya ialah apabila hasil tangannya digunakan sebagai hadiah untuk orang terdekat.

Satu daripada detik paling berharga baginya apabila jambangan bunga hasil tangannya dijadikan hadiah perpisahan untuk rakan-rakan yang berhenti kerja.

Keunikan bunga dawai

Menurut Aina Hafiza, bunga dawai sangat versatil kerana boleh digubah mengikut pelbagai situasi dan tujuan.

Ia bukan sahaja sesuai dijadikan hadiah untuk orang tersayang, malah boleh juga menjadi projek seni atau sekadar hobi untuk mengisi masa lapang.

Bagi Aina Hafiza, kepuasan paling besar ialah apabila dapat melihat riak muka gembira penerima bunga pada hari-hari istimewa mereka, yang secara tidak langsung memberi semangat kepadanya untuk terus berkarya.

Dalam menghasilkan setiap jambangan bunga, Aina Hafiza tidak bergantung kepada idea spontan semata-mata.

Sebaliknya, dia merancang terlebih dahulu dari segi pemilihan warna dan konsep.

Kebanyakan hasilnya berkonsepkan warna pastel dan gaya Thumbelina, mengingatkan kepada dunia fantasi seperti dalam cerita ‘Barbie’.

Apabila mula menerima tempahan, dia akan berbincang dengan pelanggan bagi memastikan hasil akhir menepati citarasa mereka.

Walaupun setiap gubahan bunga unik, tema yang kerap dipilih ialah warna pastel, klasik dan gaya whimsical.

Dari segi tempoh penghasilan, masa yang diperlukan bergantung kepada tahap kesukaran setiap gubahan bunga.

“Untuk yang ringkas, biasanya dua hingga tiga jam sudah siap, manakala bagi bouquet yang lebih rumit, prosesnya boleh mengambil masa sehingga tiga hari hingga seminggu,” katanya.

Antara hasil paling mencabar yang pernah dihasilkan ialah bunga peony, yang memerlukan ketelitian tinggi pada setiap peringkat pembuatan.

Setiap bunga perlu di-iron dan kelopak dibentuk dengan teliti, menjadikan prosesnya agak rumit dan memerlukan kesabaran.

Buat gubahan waktu malam

Walaupun bekerja sepenuh masa, Aina Hafiza tetap komited untuk meluangkan masa untuk hobinya itu, terutamanya pada waktu malam.

“Biasanya kalau minggu bekerja, saya akan mula buat gubahan bunga pada waktu malam. Lepas habis kerja, saya akan menghabiskan sekitar dua hingga tiga jam. Kalau hujung minggu, saya akan buat sampai siap,” katanya.

Rutin tersebut secara tidak langsung menjadi satu bentuk eskapisme yang membantu menenangkan fikiran.

“Bila buat bunga ni, saya rasa tenang dan santai. Ini cara saya rehatkan minda daripada penat lelah di tempat kerja,” katanya.

Cabaran

Cabaran utama bukan sahaja dari segi teknik, tetapi juga ketahanan diri.

Antara perkara yang sering dialami adalah kecederaan kecil ketika bekerja, terutamanya apabila tangannya terkena glue gun yang panas sehingga menyebabkan luka kecil.

Walaupun pada awalnya menyakitkan, lama-kelamaan dia mula terbiasa dengan situasi tersebut sebagai sebahagian daripada proses menghasilkan kraf tangan yang teliti.

Selain itu, tidak semua bunga yang dihasilkan menjadi seperti yang dirancang.

Ada kalanya bentuk kelopak tidak kemas atau susunan bouquet tidak memenuhi jangkaan, menyebabkan Aina terpaksa mengulang semula proses dari awal.

Keadaan ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana setiap percubaan mengambil masa dan tenaga.

“Perasaan kecewa dan sedikit marah memang tidak dapat dielakkan apabila hasil tidak menjadi, namun saya belajar untuk mengawal emosi dan kekal tenang agar tidak menjejaskan kualiti hasil akhir,” katanya.

Baginya, setiap kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran.

Dengan kesungguhan dan sikap tidak mudah berputus asa, Aina Hafiza akan terus mencuba sehingga berjaya menghasilkan end product yang benar-benar menepati standard yang diinginkan.

Bagi dirinya, kepuasan sebenar datang apabila setiap bouquet yang dihasilkan bukan sahaja cantik, tetapi juga berkualiti dan mampu menggembirakan penerimanya.

Sumber pendapatan

Daripada sekadar hobi, Aina Hafiza kini mampu menjana pendapatan sampingan antara RM100 hingga RM1000 sebulan, bergantung kepada jumlah tempahan yang diterima.

Permintaan yang diterima merangkumi pelbagai jenis hasil seperti jambangan bunga, bunga tangan dan juga rantai kunci, sekali gus menunjukkan potensi bunga dawai sebagai produk kreatif yang mempunyai nilai komersial.

Menurut Aina Hafiza, kepuasan terbesar bukan sekadar pada jumlah tempahan, tetapi apabila hasil yang disiapkan menepati citarasa pelanggan.

Setiap jambangan bunga yang berjaya disiapkan dengan baik memberi rasa puas dan menjadi motivasi untuk terus meningkatkan kualiti hasil kerja.

Dalam masa sama, hobi ini turut mengubah cara dirinya melihat perkara di sekeliling.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN