Bila kemeja biasa jadi luar biasa

Bila kemeja biasa jadi luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita selalu anggap kemeja itu benda paling selamat dalam almari. Senang, kemas dan mudah untuk digayakan. Tapi di tangan Nur Afifah Badron, kemeja itu menjadi sesuatu yang jauh lebih hidup.

Afifah berasal dari Johor Bahru dan kini menetap di Setia Alam, merupakan graduan Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam. Dia menamatkan pengajian dengan Anugerah Emas dan Anugerah Alumni.

Tapi yang menarik bukan sekadar pencapaiannya. Cara Afifah melihat benda asas seperti kemeja dan menjadikannya luar biasa, itu yang membuatkan sesiapa sahaja berhenti dan tengok dua kali.

Bila diberi tema “Fashion Duality”, dia tidak pergi jauh. Dia kembali kepada sesuatu yang kita semua pakai hampir setiap hari. Kemeja. Minimal, bersih, almost terlalu biasa. Tapi di situlah dia mula bermain.

Dilipat, dililit, disatukan dengan skirt, dipusingkan bentuknya sampai kita sendiri tertanya ini masih kemeja atau sudah jadi sesuatu yang lain.

Rekaan dia tak sarat. Tak banyak hiasan. Semuanya bergantung pada teknik. Lilitan yang kemas, struktur yang dikawal, dan paling penting, permainan jalur. Jalur dalam tangan Afifah bukan sekadar corak. Ia menjadi ilusi.

Kalau nak bercakap terus terang, jalur ini tricky. Salah gaya, nampak terlalu korporat. Terlalu selamat. Tapi kalau kena caranya, ia boleh jadi statement tanpa perlu beria.

Cara pertama, faham arah jalur di bajumu. Jalur menegak bagi efek lebih tinggi dan langsing. Jalur mendatar menambah volume. Tapi jangan terlalu rigid dengan “rules”.

Yang menarik bila dua arah ini digabungkan dalam satu look. Mata orang akan bergerak mengikut corak. Itu yang membuatkan outfit nampak ada flow.

Kedua, berani sikit dengan potongan. Tak semua benda kena simetri. Skirt yang jatuh tak sekata atau panel yang bertindih sebenarnya boleh buatkan gaya nampak lebih mahal. Ada rasa usaha tanpa nampak terlalu ‘kerja keras’.

Ketiga, tip saya biarkan jalur menjadi fokus. Bila corak sudah kuat, yang lain tak perlu compete. Kasut hitam yang clean sudah cukup.

Untuk wanita berhijab, ini sebenarnya medium yang menarik. Afifah sendiri bekerja sebagai penggaya hijab, jadi dia faham layering. Kalau busana sudah banyak jalur, tudung boleh kekal simple supaya siluet nampak kemas. Atau kalau berani, ulang sedikit elemen jalur dalam tone yang lembut.

Dan paling penting, jangan tunggu sesuatu majlis. Kemeja itu asalnya memang pakaian harian. Bila kita mula ubah cara pakai, tiba-tiba ia jadi sesuatu yang lain. Pergi kerja, keluar makan atau sekadar jumpa kawan. Semua boleh.

Perjalanan Afifah dari Kolej Komuniti Pasir Gudang ke Politeknik Ibrahim Sultan, kemudian bekerja sebagai stylist sebelum sambung di UiTM, jelas bukan jalan singkat. Tapi mungkin sebab itu rekaannya terasa grounded.

Akhirnya, fesyen bukan tentang menjadi orang lain. Kadang-kadang, ia cuma tentang tengok semula apa yang kita sudah ada dan berani ubah sedikit. Dan dalam kes ini, semuanya bermula dengan sehelai kemeja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN