CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, pihak berkuasa telah mengesahkan diesel tersebut milik syarikat perdagangan Vitol, dan bukan milik Petronas atau kerajaan.
Katanya, individu tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan semalam dan turut menyita peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan bagi membantu siasatan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Jika disabitkan kesalahan. MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital untuk menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan orang ramai,” katanya hari ini.
MCMC berkata, tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam. – UTUSAN










