Moden minimalis dengan rona hangat trend 2026

Moden minimalis dengan rona hangat trend 2026

KONSEP moden minimalis dengan rona hangat digemari kerana ringkas dan kemas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEDIAMAN bukan sekadar tempat berteduh, sebaliknya menjadi ruang untuk berehat, menenangkan fikiran dan melepaskan tekanan selepas seharian bekerja.

Perubahan gaya hidup yang semakin sibuk serta tekanan harian menjadikan pemilik rumah lebih cenderung memilih konsep moden minimalis berona hangat yang bukan sahaja menenangkan minda malah berfungsi sebagai ruang rehat selesa untuk jangka panjang.

Gabungan elemen moden dengan sentuhan semula jadi menjadikan konsep ini bukan sahaja menarik dari segi visual, malah sesuai untuk didiami dalam tempoh lama.

Menurut Pengarah dan pereka dalaman Heaven Living Interior, Suryadah Surip, kebanyakan pemilik rumah kini lebih mengutamakan keselesaan dan ketenangan berbanding rekaan yang terlalu sarat atau hanya sekadar mengejar trend.

“Gaya hidup hari ini sangat sibuk, jadi bila balik ke rumah, pemilik mahukan susana yang boleh tenangkan minda. Bukan sekadar cantik untuk dipandang, tetapi berfungsi sebagai ruang untuk berehat yang selesa,” katanya.

Konsep itu juga menggabungkan rekaan moden kemas dengan elemen semula jadi seperti kayu, tekstur lembut dan palet warna yang hangat. Kesemua gabungan ini menjadikan ruang berasa realistik, tenang dan mudah disesuaikan dengan gaya hidup.

Jadi tidak hairanlah konsep ini terus relevan dan digemari ramai kerana sifatnya yang tidak terlalu terikat dengan trend yang hanya sementara.

Pemilik rumah juga semakin berhati-hati dalam membuat pilihan, terutama dari segi kos dan jangka hayat rekaan dalaman.

Konsep lain yang turut mendapat permintaan ialah Japandi, moden organik dan moden Muji. Ketiga-tiga konsep ini menekankan keseimbangan dalam segi fungsi, kesederhanaan serta elemen alam semula jadi.

Pilihan konsep mengikut peringkat usia

Pilihan konsep rekaan dalaman sebenarnya dipengaruhi oleh peringkat usia dan fasa kehidupan pemilik rumah.

Bagi golongan berusia sekitar 30 hingga 40 tahun ke atas, konsep seperti warisan moden atau mewah moden masih menjadi pilihan, namun dalam versi yang lebih sederhana dan matang.

Konsep mewah moden kini tidak lagi tampil dengan elemen yang biasa seperti emas atau kristal yang keterlaluan seperti dulu. Sebaliknya, elemen itu kini diolah dalam bentuk rekaan yang lagi kemas, seimbang dan tidak terlalu menonjol.

Untuk golongan muda, konsep moden organik dan moden minimalis berona hangat lebih digemari kerana ringkas, kemas dan sesuai dengan gaya hidup mereka.

“Golongan muda sekarang lebih tertarik dengan warna kayu, terutamanya yang mempunyai tona lebih gelap,” katanya.

Palet neutral jadi pilihan

Dari segi warna, palet neutral dan semula jadi masih menjadi pilihan utama. Warna seperti beige cerah, krim, kelabu lembut dan hijau zaitun terus popular kerana mampu mencipta suasana rumah tenang dan mesra untuk didiami.

Walaupun warna-warna itu bersifat lembut, ia tidak menjadikan ruang rumah kelihatan hambar jika digabungkan dengan elemen tekstur bersesuaian.

“Keseimbangan antara warna neutral dan elemen penegasan seperti tekstur atau bahan binaan akan menjadikan ruang kelihatan lebih hidup,” katanya.

Penggunaan kertas dinding juga dijangka meningkat, khususnya yang mempunyai tekstur ringan dan diinspirasi elemen alam.

“Kertas dinding ini tidak digunakan secara menyeluruh, sebaliknya ditempatkan pada bahagian tertentu sebagai titik fokus ruang,” katanya.

Bagi pemilik rumah yang ingin menjimatkan kos, Suryadah menyarankan pemilihan warna asas dan berona hangat kerana lebih mudah dipadankan dengan pelbagai konsep.

Elemen dan bahan semula jadi

Elemen semula jadi seperti kayu, batu dan fabrik semula jadi masih menjadi pilihan utama dalam rekaan dalaman.

Dari segi bahan binaan, trend kini cenderung kepada penggunaan bahan moden
seperti polivinil klorida (PVC) dengan kemasan visual menyerupai marmar atau batu semula jadi yang mudah diselenggara dan menjimatkan kos serta masa.

Untuk pembeli rumah pertama, Suryadah menasihatkan memahami kapasiti ruang, keperluan sebenar dan bajet sebelum memilih tema rekaan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN