Jangan pelihara kucing baka sebab trend, tetapi kena ikut kemampuan

Jangan pelihara kucing baka sebab trend, tetapi kena ikut kemampuan

KUCING Munchkin yang berkaki pendek mudah berdepan masalah sendi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT seekor kucing berbulu gebu dengan mata yang bercahaya memang mudah membuatkan hati cair. Sama ada kucing Siam yang tampak anggun atau Maine Coon yang besar dan berkarisma, kucing baka selalunya hadir dengan daya tarikan tersendiri.

Ada sesuatu tentang cara mereka melangkah, sifat manjanya, atau sekadar renungan mata yang seolah-olah memahami perasaan manusia. Tidak hairanlah ada yang sanggup menunggu berbulan-bulan, malah berbelanja besar, semata-mata untuk membawa pulang seekor kucing idaman ke rumah.

Namun, daya tarikan kucing baka tidak terhenti pada rupa semata-mata. Ramai pemilik terpikat dengan sifat-sifat unik yang dikaitkan dengan baka tertentu iaitu ada yang terkenal dengan kemanjaannya, ada yang tenang dan mudah dibelai, serta ada juga yang aktif dan gemar bermain.

Ciri-ciri inilah yang membuatkan kucing baka dirasakan lebih serasi dengan gaya hidup pemilik. Pada masa yang sama, reputasi dan imej sesuatu baka dalam komuniti pencinta kucing turut memberi pengaruh besar dalam membentuk pilihan dan kecenderungan mereka.

Fenomena ini jelas kelihatan apabila populariti kucing Scottish Fold melonjak selepas penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Taylor Swift, berkongsi gambar bersama kucing baka tersebut.

Trend tular seperti ini sering mencetuskan keinginan spontan, membuatkan ramai ingin memilikinya tanpa berfikir panjang.

Menurut pakar veterinar, Dr. Wafaa Abdul Washeff, kebanyakan pemilik baharu mudah tertarik kepada kucing baka kerana penampilan unik dan sifatnya yang mudah menambat hati. Namun, katanya, ada satu perkara penting yang sering terlepas pandang.

“Pada akhirnya, tidak kira kucing baka atau kucing kampung, semuanya memerlukan perhatian, masa dan kasih sayang yang berterusan daripada pemilik,” katanya kepada Seri.

PENGARUH MEDIA SOSIAL

Dalam dunia hari ini, pengaruh media sosial tidak boleh dipandang remeh. Gambar dan video kucing comel mudah menjadi tular, sekali gus melonjakkan populariti baka tertentu dalam sekelip mata. Filem, selebriti dan pempengaruh media sosial juga sering menjadi pencetus kepada ‘demam’ kucing baka.

Dr. Wafaa menjelaskan, apabila sesuatu baka mendapat sorotan meluas, permintaan boleh meningkat secara mendadak walaupun populariti itu mungkin hanya bersifat sementara.

Namun, tidak semua yang kelihatan comel dan viral itu mudah dijaga.

Katanya, faktor genetik dan isu kesihatan adalah perkara penting yang wajar diberi perhatian sebelum membuat keputusan membeli apabila sesetengah baka mudah terdedah kepada masalah kesihatan tertentu.

“Sebagai contoh, kucing Munchkin yang berkaki pendek mudah berdepan masalah sendi, manakala Scottish Fold pula cenderung mengalami isu tulang rawan yang boleh menjejaskan pergerakan,” katanya.

Tanpa kajian awal, pemilik mungkin terkejut dengan kos rawatan dan keperluan penjagaan tambahan yang perlu ditanggung.

Memahami keperluan kesihatan setiap baka sejak awal boleh membantu mengelakkan masalah jangka panjang dan memastikan kucing hidup dengan lebih selesa.

UTAMAKAN KOMITMEN, BUKAN TREND

Fenomena Fear of Missing Out (FOMO) juga menjadi antara faktor mengapa sesetengah individu membeli kucing baka semata-mata kerana ia sedang popular. Menurut Dr. Wafaa, keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa ini kadangkala membawa cabaran yang tidak dijangka.

Akhirnya, ada pemilik yang berasa terbeban dari segi kos, masa dan tenaga sekali gus keadaan ini boleh menjejaskan kebajikan haiwan itu.

“Memelihara kucing bukan soal trend atau imej. Ia adalah komitmen jangka panjang yang menuntut kasih sayang dan tanggungjawab sepanjang hayat haiwan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, setiap haiwan berhak mendapat penjagaan yang baik tanpa mengira baka. Sama ada kucing baka, kucing kampung atau kucing terbiar, tanggungjawab pemilik tetap sama.

Pemilihan untuk memelihara haiwan seharusnya dibuat dengan penuh kesedaran, berdasarkan kemampuan dan kesediaan untuk memberi komitmen.

Pada akhirnya, pemeliharaan yang beretika bukan sahaja menjamin kebajikan haiwan, malah membentuk masyarakat yang lebih prihatin dan bertanggungjawab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN