BAGI yang mengikuti perkembangan usahawan dan pempengaruh terkenal ini, pasti tahu hubungan eratnya dengan ahli keluarga.
Norliana Rosli, 45, atau mesra disapa Kak KM, tidak pernah berkira masa, tenaga mahupun harta benda demi membahagiakan insan tersayang.
Ini termasuk menghadiahkan mahligai indah bernilai jutaan ringgit buat keempat-empat anaknya yang berusia lima hingga 22 tahun dan ibu tercinta diikuti pelbagai barangan mewah lain.
Beliau percaya, anak-anaklah pembuka rezekinya yang membolehkannya bertahan selama 16 tahun dalam dunia perniagaan.
“Dulu, saya cuma suri rumah dan pernah melalui situasi perit, seperti akaun bank hanya berbaki RM40.
“Ketika itu, anak-anak mengadu lapar balik dari sekolah, demi tidak menghampakan mereka, saya sanggup meredah ke tujuh mesin pengeluaran wang automatik (ATM) semata-mata untuk mencari mesin yang mengeluarkan wang RM10 bagi membeli makanan.
“Malah, saya terpaksa menggadaikan rantai emas kakak disebabkan tidak cukup duit untuk menukar tayar kereta yang pecah semasa Aidilfitri.
“Paling sedih, apabila tengok tiga anak yang masih kecil terpaksa berkongsi bilik, terdetik dalam hati, sampai bilakah mereka perlu hidup dalam keadaan begini?” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Naluri seorang ibu membuatkannya nekad mengubah kehidupan agar permata hatinya tidak membesar dalam kesusahan.
Beliau memilih untuk terjun ke dunia perniagaan dengan menjual jamu selepas melahirkan anak ketiganya, Rania Razman, 16.
Impiannya mudah sahaja iaitu mahu anak-anak memiliki bilik sendiri di samping menikmati makanan yang berkhasiat.

Katanya, idea untuk menceburi perniagaan itu tidak dirancang selepas pengusaha jamu kegemarannya dari Sarawak meninggal dunia.
Percubaannya berhasil apabila produk jamu Sweet Dara (dahulunya Ketat Mencengkam) mendapat sambutan ramai, diikuti testimoni positif daripada pengguna.
“Saya kemudiaan mendaftarkan perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan berbekalkan duit RM75 sahaja yang ada dalam tangan.
“Hasil jualan pertama saya gunakan untuk membawa anak-anak menaiki kapal terbang, walaupun hanya ke Pulau Langkawi, ia merupakan satu pengalaman indah.
“Sampai kini, anak-anak kekal menjadi sumber kekuatan dan motivasi saya, bahkan saya sanggup bekerja siang malam demi masa depan mereka kerana itulah niat saya sejak awal berniaga.
“Andai suatu hari nanti saya sudah tiada, sekurang-kurangnya mereka tidak hidup susah kerana masing-masing sudah mempunyai rumah dan simpanan sendiri,” katanya.

Tiada waktu rehat
Bergelar usahawan bukan alasan untuk Kak KM mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu.
Rutin wajib seperti memasak, mengemas dan menghantar ke sekolah masih diteruskannya sehingga anak-anak dewasa.
“Sejak 16 tahun lalu, saya hampir tiada masa untuk berehat, malah tidur bukan keutamaan lagi dan sudah jatuh ke nombor dua.
“Tetapi walau sesibuk mana sekalipun, saya tetap berpegang pada prinsip yang anak-anak perlu makan air tangan saya.
“Contohnya kalau ada tugasan di waktu pagi, saya akan bangun seawal 4 pagi untuk masak dan menguruskan anak-anak yang bersekolah,” katanya yang hanya tidur kurang lima jam setiap hari.
Malah, beliau turut menjadikan rutin makan bersama sekeluarga sekurang-kurangnya sekali sehari.
Dengan cara itu, setiap ahli keluarga berpeluang berbual, berkongsi cerita harian dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
Makan jamu sejak remaja
Berkongsi rahsia kejelitaannya, wanita tinggi lampai ini mengakui ia dipengaruhi oleh rutin makan jamu sejak remaja.
Amalan itu diwarisi daripada ibunya, Normah Damanhuri yang juga seorang pelakon.

“Walaupun usia mama sudah 72 tahun, alhamdulillah kesihatannya baik dan tiada sebarang penyakit.
“Mama masih aktif, kuat berjalan dan lutut pun tidak pernah sakit, mungkin disebabkan amalannya makan jamu termasuk ketika berpantang.
“Secara tidak langsung, amalan itu turut menjadi sebahagian daripada gaya hidup kami adik-beradik sejak remaja,” katanya.
Kata Kak KM, ubatan tradisional itu memiliki banyak manfaat kepada kesihatan dalaman wanita, pencernaan, meningkatkan tenaga dan menguatkan sistem imunisasi.
Malah, ia turut membantu kulit menjadi lebih anjal dan cantik di samping mengekalkan berat badan ideal.
Sehubungan itu, beliau terpanggil untuk berkongsi pengetahuan dan mendidik masyarakat, khususnya golongan muda tentang manfaat jamu.
“Sebab itulah, setiap hari saya buat video di media sosial tentang kebaikan jamu lebih-lebih lagi bagi wanita yang berpantang.
“Kalau dalaman tidak dijaga, ia bukan sekadar menjejaskan kesihatan individu itu, bahkan boleh mengganggu hubungan suami isteri,” katanya.
Sabar, sembang kunci kebahagiaan
Perkahwinannya dengan suami, Razman Ramli kini menjangkau usia 24 tahun.
Ditanya resipi kebahagiaan rumah tangga, katanya, kesabaran dan komunikasi adalah kunci utama dalam mengekalkan keharmonian.
Malah, jika timbul sebarang isu, Kak KM lebih selesa untuk terus berbincang dengan suami sehingga masalah itu selesai.
“Saya bukan orang yang suka memendam kalau ada benda tidak betul berlaku, jadi saya amalkan untuk sentiasa berbincang dan bersembang dengan suami.
“Biasanya, kami lakukan di waktu malam dengan masing-masing berkongsi cerita tentang hal-hal harian, anak-anak serta pengalaman sepanjang hari.
“Secara tidak langsung, amalan ini turut mengeratkan hubungan kami suami isteri,” katanya.
Apatah lagi dalam suasana sekarang, di mana ramai pasangan jarang berkomunikasi disebabkan kesibukan harian.
Ceburi bisnes hartanah
Selain perniagaan jamu, Kak KM kini mula berjinak-jinak dalam sektor hartanah.
Beliau memiliki lima tanah, termasuk satu yang dibangunkan menjadi rumah sewa 10 pintu di Gombak.
Katanya, langkah baharu itu adalah sebahagian daripada perancangan masa depannya untuk anak-anak.
“Saya selalu terfikir, apakah sampai umur separuh abad saya masih akan membuat siaran langsung menjual jamu di media sosial.
“Anggaran saya pada masa itu, perniagaan sudah kukuh dan boleh berjalan sendiri, jadi sesuai untuk saya fokus pada bisnes hartanah pula,” katanya. – UTUSAN










