Dalam lautan manusia yang memenuhi ruang pameran kucing Pameran Kucing Antarabangsa 2025 (NCSE 2025) baru-baru ini, sepasang mata halus berwarna keemasan mencuri tumpuan tanpa perlu bersuara.
Manja, si bulus berusia enam bulan tampil anggun dalam gaun puteri merah jambu yang membalut tubuh kecilnya, sekali gus menjadikannya bintang tidak rasmi acara tersebut.
Kecomelannya bukan sahaja membuatkan pengunjung berhenti melangkah, malah turut menarik perhatian Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang kelihatan terpesona dengan sikap tenang dan manja kucing itu ketika didekati.
Pesona Manja bukan sekadar terletak pada penampilannya, malah terserlah melalui sifatnya yang sangat jinak dan manja, hasil belaian serta penjagaan rapi sejak dari kecil.
Pemiliknya, Nor Aziah Abdullah berkata, sifat Manja yang tidak pernah takut dengan orang mendorongnya untuk membawa kucing tersebut bersama tiga lagi si bulus ke sebuah pameran kucing itu baru-baru ini.
“Pada mulanya, saya ingat Manja akan terus menyorok di dalam sangkar tetapi ia tetap bersikap tenang sahaja apabila di khalayak ramai.
“Selain itu, Manja juga tidak takut jika dipegang oleh orang yang tidak dikenali termasuklah permaisuri pada waktu itu,” katanya.
Pada pameran berkenaan, Manja menjadi antara kucing yang paling mencuri perhatian apabila tampil mengenakan gaun puteri berona merah jambu, sekali gus menjadikannya tarikan utama pengunjung.
Lebih mengagumkan, walaupun itu merupakan kali pertama Manja dipakaikan baju, kucing tersebut kekal selesa sepanjang masa mengenakannya.
Menurut Nor Aziah, tidak semua kucing suka berpakaian, apatah lagi dalam suasana pameran yang sesak dan bising.
Namun, sikap Manja yang bersahaja membuatkan pengalaman itu berjalan lancar, malah membuka hasrat buat pemiliknya untuk mencuba beberapa gaya pakaian lain pada masa akan datang.
PEMAKANAN RAPI
Penampilan manja dan sifat jinak si bulus ini juga hasil daripada penjagaan kesihatan yang diurus rapi oleh tuannya.
Nor Aziah menekankan kepentingan pemakanan yang berkualiti sejak awal usia.
Manja dan kucing-kucing lain yang dibelanya sering diberi makanan berkhasiat, iaitu isi ayam rebus sebagai sumber protein utama serta makanan kering khas untuk melengkapkan keperluan nutrisi harian.
Katanya, dia memilih untuk menyediakan makanan yang ringkas tetapi berkualiti, tanpa bahan tambahan atau pengawet berlebihan.
“Selain itu, saya cuba elakkan memberi makanan basah telah diproses kerana dipercayai boleh merosakkan gigi kucing jika diambil secara berterusan.
“Penjagaan pemakanan sejak awal menjamin kesihatan mulut dan gigi kucing dengan lebih baik,” katanya.
Amalan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan gigi, malah menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan si bulus selain menjadikannya lebih aktif, ceria dan selesa menjalani kehidupan seharian.
Gemar ‘memerap’ di rumah
Ketika pulang ke kampung atau melancong, Nor Aziah memilih meninggalkan Manja dan kucing-kucing lain di rumah.
Katanya, kucing-kucing itu lebih selesa berada di persekitaran sendiri berbanding dihantar ke hotel haiwan kerana mudah mengalami tekanan.
Biarpun ketika ditinggalkan, haiwan- haiwan kesayangannya itu sedikit nakal, namun masih berdisiplin dan tidak mencakar kusyen atau memanjat perabot-perabot rumah.
Disebabkan itu, Aziah sangat mengasihi haiwan-haiwan peliharannya itu sehingga pernah terjadi peristiwa lucu.
Ekoran terlalu sayang akan Manja dan kucing-kucing lain yang dipeliharanya, dia pernah lupa membawa anaknya berjalan bersama-sama.
Katanya, peristiwa tersebut mungkin agak melucukan, namun dia tetap kasihan melihat anaknya yang kecewa ditinggalkan keseorangan.
Begitupun, Manja dan kucing-kucing lain disenangi ahli keluarganya.-UTUSAN










