Ketika isteri sudah tawar hati

Ketika isteri sudah tawar hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cinta dalam rumah tangga tidak diukur sekadar pada kata sayang, tetapi pada keberanian untuk mempertahankan pasangan.

Menjadi suami atau isteri bukan hanya tentang kebahagiaan dalam ruang yang selesa, sebaliknya tentang kesanggupan berdiri bersama pasangan ketika maruahnya diuji, walaupun berdepan keluarga sendiri.

Minggu ini, saya kongsikan kemelut rumah tangga Ain dan Razali (bukan nama sebenar) yang gagal dipertahankan ketika salah seorang sudah tawar hati.

Kisah rumah tangga pasangan ini dikongsikan sendiri oleh Shida (bukan nama sebenar), adik kepada Ain dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini.

Kata Shida, dia menyaksikan sendiri kemelut rumah tangga yang dihadapi kakak dan abang iparnya selama setahun selepas menjadi orang tengah tanpa sengaja.

Perkongsiannya bukanlah untuk mengaibkan sesiapa, sebaliknya sebagai pengajaran kepada pasangan lain.

Dia tidak mahu menghakimi dan menyebelahi sesiapa. Baik kakak mahupun bekas abang ipar.

“Sebagai adik ipar, saya menyaksikan dua fasa dalam perkahwinan kakak. Satu fasa di mana kakak sudah tawar hati. Dia tidak lagi marah, tidak lagi menangis di depan saya dan di situ saya tahu kakak bukan sahaja diuji emosi, tetapi belajar melepaskan.

“Apapun usaha memujuk oleh bekas abang ipar selepas itu tidak lagi berkesan.

“Satu lagi fasa yang saya saksikan yang bukan semua orang mampu lalui dengan tenang adalah apabila kakak dan abang ipar akhirnya memilih untuk berpisah, tetapi mereka tidak bermusuhan,” ujarnya.

Menurut Shida, kematangan kedua-duanya membuktikan perkahwinan boleh berakhir, tetapi tanggungjawab sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak masih utuh.

“Mereka masih berbaik demi dua anak yang lahir daripada perkahwinan terdahulu.

“Saya melihat usaha mereka sehingga hari ini menjaga hubungan, saling menghormati perasaan masing-masing dan perasaan anak-anak yang semakin meningkat dewasa,” ujarnya.

Menyingkap awal kemelut rumah tangga kakak dan abang iparnya, Shida mengakui menjadi orang tengah tanpa diminta.

Dia menjadi tempat kakaknya bercerita tentang rasa tidak dihargai dalam perkahwinan sehingga sampai di satu tahap tawar hati.

“Kakak pernah meluahkan, dia masih mahu mempertahankan rumah tangga, tetapi suami tidak mahu berubah.

“Suaminya hanya berdiam diri dan tidak berada di sisi setiap kali maruahnya disentuh. Situasi itu membuatkan kakak berasa tidak selamat dan tidak dilindungi,” ceritanya.

Bekas abang iparnya turut menjadikannya sebagai orang tengah memujuk kakak.

Razali akui menyesal kerana sepanjang tempoh perkahwinan, dia terlalu sibuk menjaga perasaan keluarga sendiri sehingga mengabaikan perasaan kakak.

“Kadang kala saya berasa terperangkap di tengah-tengah mendengar luahan dua hati yang saya sendiri sukar memahaminya. Antara kesetiaan kepada kakak dan simpati kepada abang ipar yang sudah sedar salah silapnya.

“Saya bukan tidak cuba memujuk, namun kakak tetap dengan pendiriannya untuk berpisah. Kakak tidak minta dimanja berlebihan. Cukup suami berdiri disisi ketika dia disalahkan, ketika maruahnya disentuh,” ujarnya.

Daripada situ saya belajar, menjadi orang tengah bukan perkara mudah.

Setiap nasihat perlu berlapik, setiap kata perlu dijaga. Lebih-lebih lagi dia sendiri ketika itu tiada pengalaman berumahtangga.

Tambah Shida, bekas abang iparnya seorang yang baik, bertanggungjawab dan penyayang.

Silapnya sedikit dan paling jelas kerana kegagalan bekas abang ipar mempertahankan kakak setiap kali mereka bersama keluarga.

“Setiap kali kakak berasa dipinggirkan, abang ipar memilih untuk diam demi menjaga hubungan dan suasana.

“Kakak tidak meminta abang ipar memutuskan hubungan dengan keluarga, tetapi kakak hanya mahu suami menunjukkan dia dihormati sebagai isteri,” ujarnya.

Shida tahu kakaknya bukan menantu pilihan.

Menurut Shida, perkara itu tidak dilihat terang-terangan, tetapi pada layanan, pada perbandingan dan pada sindiran.

Katanya, sepanjang tempoh perkahwinan kakak memilih untuk berdiam diri untuk menjaga hati suami dan menghormati keluarga.

Namun, di situlah luka kakak bermula.

Apabila suami memilih untuk tidak bersuara, rasa tidak diterima itu lama kelamaan bertukar menjadi rasa tidak dihargai dan tidak dipertahankan.

“Sepanjang tempoh itu juga, saya melihat kakak berusaha untuk menjadi isteri dan menantu yang baik, namun tetap terasa asing.

“Bagi saya secara peribadi, kegagalan mempertahankan isteri bukan perkara kecil. Ia perlahan-lahan meruntuhkan rasa selamat yang sepatutnya wujud dalam sebuah rumah tangga,” ujarnya.

Apabila mendapat tahu pasangan itu berpisah, Shida benar-benar terkejut namun menerima dengan reda.

Mengakhiri perbualan lewat petang itu, Shida berkata, dia bakal melangkah ke alam perkahwinan pada Februari tahun hadapan.

Sejujurnya, ada ketakutan untuk melangkah ke alam perkahwinan sekiranya dia berada di tempat kakak.

“Namun doa yang tidak putus agar lelaki saya pilih berupaya mempertahankan saya dan tidaklah saya berjuang sendirian seperti kakak.

“Jika saya berada di tempat abang ipar, saya tidak mahu berdiam diri sebagai jalan selamat dan menjaga hati sehingga mengorbankan perasaan pasangan sendiri,” ujarnya.

Daripada kisah Ain dan Razali, kita belajar komunikasi bukan sekadar bercakap, tetapi keberanian untuk bersuara ketika pasangan memerlukan.

Dalam Islam sendiri, komunikasi rumah tangga yang baik sangat penting berdasarkan ayat quran “Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, (termasuk pasangan) (Surah Al -Baqarah 2:83)-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×