Hujung minggu pasti ibu-ibu pening memikirkan juadah untuk dihidangkan kepada keluarga.
Lebih-lebih lagi musim cuti sekolah ini ketika anak-anak semua ada di rumah. Siapa yang boleh menolak aroma ayam panggang yang wangi, disalut dengan perapan kaya rasa dan dibakar sempurna hingga keemasan?
Resipi ini menampilkan ayam yang lembut dan berperisa, dipadankan dengan lobak merah dan kentang yang manis, serta sentuhan sos bijan panggang dan madu yang memberi kemanisan lembut.
Sesuai untuk hidangan keluarga mahupun jamuan istimewa, resipi ini mudah disediakan tetapi tetap memukau daripada segi rasa dan aroma.
Berbekalkan sedikit masa perapan, setiap gigitan menjanjikan kombinasi rasa masin, manis dan pedas yang seimbang, menjadikan ayam panggang ini antara hidangan kegemaran di rumah. (Hidangan untuk 2 hingga 3 orang)
Bahan-bahan
Ayam (guna mana-mana bahagian mengikut cita rasa)
1 sudu besar serbuk bawang putih
1 sudu besar serbuk paprika atau serbuk cili
2–3 sudu besar mayonis
1 sudu besar sos tiram
Sos bijan panggang (lebihkan)
½ sudu besar madu atau gula
Serbuk lada hitam secukupnya
Garam secukup rasa
Daun rosemary secukupnya
Minyak masak secukupnya
1 batang lobak merah (saiz sederhana), dihiris
1–2 biji kentang, dipotong mengikut suka
Cara penyediaan:
Bersihkan ayam dan tos sehingga kering.
Gaulkan ayam bersama serbuk bawang putih, serbuk paprika, mayonis, sos tiram, sos bijan panggang, madu, lada hitam, rosemary, garam dan sedikit minyak masak sehingga rata.
Perapkan ayam sekurang-kurangnya 30 minit atau lebih untuk rasa yang lebih sedap.
Susun ayam ke dalam dulang pembakar. Masukkan lobak merah dan kentang yang telah disalut dengan lebihan bahan perapan. Taburkan beberapa ulas bawang putih (tidak perlu buang kulit) untuk aroma yang lebih wangi.
Bakar ayam menggunakan oven pada suhu 200°C selama 50–60 minit. Terbalikkan ayam supaya masak sekata. Jika menggunakan air fryer, bakar pada suhu 200°C selama 25–30 minit, bergantung pada saiz ayam.
Angkat dan biarkan seketika sebelum dihidangkan.-UTUSAN










