Menyelak helaian buku dan menghidu bau kertasnya sudah cukup membuatkan remaja ini tersenyum puas.
Aroma ‘wangi’ itu bukan sekadar menenangkan Hanan Nabilah Mohamad Hamizi, 23, malah seakan memanggilnya untuk ‘terjun’ dan menyelami setiap kisah yang tersimpan di sebalik helaian.
Disebabkan tarikan itulah, pelajar tahun akhir Komunikasi Massa (Penerbitan) ini tidak pernah berhenti membeli buku baru.
“Bau buku yang baru dibeli membangkitkan rasa teruja, puas dan seronok. Perasaan itu tidak pernah berubah hingga kini,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Justeru, tidak hairanlah koleksinya kini mencecah 800 buah buku, sejak mula berjinak-jinak dengan hobi membaca 13 tahun lalu.
Kebanyakannya merupakan novel cinta sebelum beralih kepada genre thriller, aksi, seram dan misteri.
Anak kedua daripada enam beradik ini berkata, minat membaca dipupuk sejak berumur 10 tahun berikutan sering ke perpustakaan dan kedai buku bersama keluarganya setiap minggu.
Lokasi itu menjadi persinggahan wajib setiap kali mereka keluar membeli-belah, sehinggakan dia sendiri menganggapnya sebagai ‘taman permainan’.
Malah, setiap kali tiba hari lahirnya, novel menjadi hadiah ‘tradisi’ daripada keluarga.
“Keluarga sentiasa menyokong hobi saya, malah emak pun minat membaca novel-novel saya,” katanya.
Novel pertamanya ialah Saranghaeyo Arumi! dan Mianhaeyo Aiyani karya Rose Harissa yang masih disimpan hingga kini sebagai kenang-kenangan.
“Masa kecil dulu, saya lebih tertarik pada kulit depan novel yang comel dengan lukisan kartun, tetapi apabila meningkat dewasa, selera membaca mula berubah.
“Sekarang, sebelum membeli sebarang buku, saya akan membaca ulasan orang ramai dahulu untuk memastikan buku itu benar-benar best.
“Sekalipun buku itu tular, ia mestilah kena dengan genre kegemaran saya sebelum mahu membelinya,” katanya yang berhabis hampir RM3,000 untuk membeli bahan bacaan itu.
Duit itu dikumpul hasil bekerja sambilan di samping pemberian ibu bapa serta keluarga.
Jika plot menarik, Hanan Nabilah boleh hanyut berjam-jam dengan buku hingga tidak tidur malam.
Katanya, sukar untuk menamatkan pembacaan kerana rasa ingin tahunya sangat mendalam.
“Saya sudah biasa tidur lewat dan berjaga sepanjang malam semata-mata untuk menghabiskan sebuah novel.
“Kalau berhenti separuh jalan, perasaan tentang cerita itu seolah-olah tidak lengkap.
“Tetapi situasi itu hanya berlaku untuk novel yang benar-benar menarik, kalau naskhahnya biasa-biasa sahaja, saya akan sambung baca keesokan harinya tanpa masalah,” katanya.
Kebiasaannya, dia boleh menghabiskan novel nipis dalam tempoh dua hingga tiga jam, manakala untuk novel tebal pula, ia mengambil masa kira-kira lima jam atau sehingga dua hari.
Waktu ideal baginya untuk berdamping dengan buku ialah pada sebelah malam kerana suasana yang sunyi dan tiada gangguan.
Pendekatan membaca Hanan Nabilah sedikit unik kerana dilakukan sambil mendengar lagu yang bersesuaian.
“Cara ini membantu saya masuk ke dalam dunia novel dan lebih menjiwai watak-watak.
“Saya tidak suka membaca dalam keadaan bising atau ada suara orang bercakap kerana ia menganggu tumpuan” katanya.
Ulang baca empat kali
Bagi naskhah kegemarannya, Hanan Nabilah sanggup mengulang baca sehingga empat kali.
Rutin itu dilakukan selang empat bulan sekali kerana dipercayai dapat mengelak fasa malas membaca.
“Antara novel yang saya ulang baca hingga kini ialah Selalu Ada Dia karya Iesya Shah.
“Walaupun dianggap underrated dan tidak ramai orang tahu kewujudannya, tetapi saya sangat suka novel ini,” katanya.
Katanya, aktiviti membaca bukan sekadar hiburan untuk mengisi masa lapang, bahkan banyak nilai-nilai murni, emosi dan kehidupan dapat dipelajarinya termasuk ketika berdepan orang sekeliling.
Paling menarik apabila dia dapat mengikis sifat-sifat negatif dalam dirinya.
“Sebelum ini saya seorang yang kelam-kabut tetapi kini, perlahan-lahan saya sudah pandai mengawal situasi dan kekal tenang.
“Nilai-nilai itu saya pelajari dalam novel Salju Kyoto ketika heroin bertemu hero yang merupakan kumpulan yakuza.
“Dalam novel Jika Aku tulisan Anna Lee pula, saya dapat menghayati yang manusia boleh berubah apabila wujud keberanian dan kesediaan untuk menerima kesilapan masing-masing,” katanya.
Tulis tiga manuskrip
Pengalaman membaca kira-kira 800 novel turut mencetuskan minat Hanan Nabilah untuk bergelar penulis.
Sehingga kini, tiga naskhah manuskrip sedang dihasilkannya di aplikasi dan platform membaca dan menulis cerita dalam talian, Wattpad.
Bagaimanapun, ketiga-tiganya belum disiarkan untuk pembacaan umum kerana masih mencari keberanian.
Tajuknya ialah Kasihku Tiara, Cinta tak Sempurna dan Dendam.
“Mulanya, saya menulis sekadar suka-suka berdasarkan imaginasi sendiri dan tidak sangka minat menulis itu berterusan.
“Ilham saya peroleh daripada pengalaman kawan-kawan dan ada juga yang diambil sedikit daripada novel-novel yang pernah dibaca.
“Tetapi saya bukan plagiat atau meniru bulat-bulat plotnya. Saya cuma mengambil inspirasi untuk membentuk cerita sendiri,” katanya.
Sebelum mula menulis, dia akan membuat rangka cerita terlebih dahulu untuk setiap bab atau plot.
Disebabkan kekangan waktu dan kesibukan belajar, manuskripnya terpaksa ditangguhkan seketika.
“Buat masa ini, saya tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada penulisan kerana jadual yang padat.
“Mungkin apabila sudah habis belajar nanti, barulah saya akan sambung semula,” katanya.-UTUSAN










