“TANPA basikal antik mama, mungkin saya tidak mampu berada ke tahap ini dan mencapai kejayaan seperti sekarang.”
Bagi ratu triatlon, Aimi Iwasaki Muhammad Moritoshi, 30, basikal antik itu bukan sekadar alat latihan.
Ia menjadi simbol kasih sayang, sokongan dan dorongan keluarga yang sentiasa mengiringi setiap kayuhan serta pencapaian dalam hidupnya.
Lebih istimewa, basikal itu merupakan hadiah daripada guru besar ibunya ketika zaman persekolahan dahulu.
Malah, ia juga menjadi basikal pertama yang dikayuh untuk menyertai latihan bersama pasukan kebangsaan.
Katanya, penglibatan dalam dunia berbasikal itu bermula bagi mengejar impiannya dalam sukan triatlon.
Gadis kacukan Melayu-Jepun ini mengakui jatuh cinta pada sukan itu ketika menonton Olimpik London 2012 di televisyen.
“Saya teruja tengok tiga acara digabungkan dalam satu sukan, lalu terus memberitahu mama saya mahu mencubanya, tetapi mama menegaskan saya perlu menguasai asas berbasikal dahulu.
“Ketika itu, saya merupakan atlet renang di Melaka dan memberanikan diri menghubungi jurulatih basikal Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyertai pasukan tersebut.
“Saya datang ke sesi latihan hanya dengan basikal antik mama hingga terpilih menjadi pelumba kebangsaan sekali gus merealisasikan impian dalam triatlon,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Ketika bergelar pelumba basikal negara, Aimi Iwasaki menamatkan saingan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di India 2013 dan Jepun 2016 di kedudukan 10 terbaik.
Malah, beliau turut dianugerahkan Atlet Muda Terbaik dalam Kejohanan Princess Maha Chakri.
Kejayaan dalam triatlon pula bermula di Sukan SEA 2019 apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa dua jam 19 minit dan 29 saat.
Diikuti dengan Ironman Langkawi 2023 menerusi catatan masa 12 jam lima minit sekali gus muncul top 3 wanita terpantas yang melayakkannya ke Ironman Dunia 2024 di Nice, Perancis (13 jam 30 minit).
Kata Aimi Iwasaki, basikal antik itu masih berfungsi dengan baik hingga kini dan menjadi peneman setia ibunya ketika beriadah di taman.
“Sebenarnya, basikal itu bukan sekadar membawa tuah kepada saya, malah kepada mama.
“Semasa muda dahulu, dia berazam mengelilingi Malaysia serta dunia dengan berbasikal tetapi tidak kesampaian.
“Siapa sangka, impian mama dalam bidang sukan itu akhirnya dapat dicapai menerusi saya dan empat adik-beradik lain,” katanya.
Kakak dan abangnya aktif dalam sukan renang sejak kecil manakala adiknya, Aina, 28, kini mengikut jejak langkahnya dalam triatlon.
Didukung selepas perlumbaan
Sejurus selepas menamatkan perlumbaan dalam Ironman Langkawi 2023, Aimi Iwasaki tidak dapat berjalan hingga terpaksa dipapah.
Kejadian itu berlaku susulan kecederaan lutut yang dialami sebelum acara berlangsung.
Namun, beliau mengambil risiko untuk meneruskan perlumbaan itu sebagai tiket untuk mara ke peringkat dunia.
“Saya berdepan tekanan berganda dan macam-macam dilakukan untuk lekas sembuh termasuk menjalani fisioterapi, makan berkhasiat serta rehat secukupnya.
“Tetapi yang paling mengejutkan, saya dinobatkan sebagai perenang terpantas dalam kalangan 700 peserta wanita yang menyertai perlumbaan itu,” katanya.
Selepas perlumbaan itu, beliau akur untuk berehat selama empat bulan daripada larian sehingga lututnya pulih sepenuhnya.
Tahun hadapan, lulusan seni kulinari mewah ini merancang menyertai Ironman Norway.
Perlumbaan itu disifatkan paling mencabar dalam siri Ironman di seluruh dunia dengan cuaca sejuk dan bersalji yang menuntut ketahanan luar biasa.
Apatah lagi, sebahagian besar perlumbaan itu melibatkan pendakian di kawasan bukit bersalji.
“Tetapi, bukan semua orang boleh mendaftar, hanya yang memenuhi tahap kecergasan tertentu sahaja layak untuk menyertai acara ini,” katanya.
Latih kanak-kanak
Selain melatih golongan dewasa, Aimi Iwasaki turut menggilap bakat kanak-kanak dalam bidang sukan.
Sehingga kini, beliau memiliki lima anak didik termasuk putera kepada penyanyi dan pelakon, Bella Astilah iaitu Mohamed Ayden Adrean Mohammad Aliff, 8.
“Saya tidak pernah terfikir untuk mengendalikan sesi latihan bersama kanak-kanak, tetapi ia ternyata pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna.
“Melatih si cilik tidak sukar, paling penting kita perlu memahami cara pemikiran dan cari pendekatan sesuai supaya proses pembelajaran menyeronokkan.
“Antaranya, kita perlu jadi lucu, ceria dan pandai melayan tetapi dalam masa sama, jangan mengabaikan nilai moral yang perlu dipelajari melalui sukan,” katanya.
Di masa hadapan, besar harapannya agar dapat membuka sekolah mini bagi membangunkan potensi anak-anak melalui sukan.
Sebelum ini, beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris di sebuah pusat tuisyen untuk warga Jepun.
Melukis jadi terapi
Di sebalik kehidupan aktifnya, Aimi Iwasaki menemui ketenangan dengan memegang berus lukisan.
Anak keempat daripada lima beradik ini menjadikan aktiviti seni itu sebagai terapi diri dan menikmati saat-saat damai.
Menggunakan cat minyak, beliau gemar menghasilkan lukisan potret, anime dan pemandangan.
“Saya tidak pernah berkongsi tentang hobi ini di media sosial kerana ia adalah ruang peribadi untuk saya berehat dan relaks.
“Biasanya saya lukis potret secara rambang sahaja yang wajah-wajahnya kebetulan saya tengok di media sosial,” katanya.
Selain melukis, beliau turut berbakat dalam seni masakan, malah pernah menjual pemanis mulut sihat iaitu, kek beras perang ketika pandemik Covid-19.
Bahkan, kebanyakan hidangan hariannya turut disediakan sendiri, hasil kreativiti dan kemahirannya di dapur.-UTUSAN










