Bermula dengan sekadar rasa simpati terhadap kucing jalanan yang berkeliaran mencari sisa makanan, kini minat itu bertukar menjadi sebahagian daripada kehidupan harian Nur Alieya Ariesa Afandy.
Gadis berusia 23 tahun ini tidak pernah menyangka hobinya menyelamatkan kucing jalanan akan membawa begitu banyak kebahagiaan dan kasih sayang dalam hidupnya.
Setiap ekor kucing yang diselamatkan gadis yang mesra di sapa Alieya ini mempunyai kisah tersendiri yang menyentuh hati.
Ada yang dijumpai dalam keadaan lemah, ada yang sakit, malah ada yang ketakutan setiap kali didekati manusia.
Namun bagi Alieya, itulah cabaran dan keindahan dalam menjaga makhluk Tuhan yang sering diabaikan ini.
Katanya, hampir semua kucing yang dibelanya bukanlah dibeli atau dihadiahkan, sebaliknya diselamatkan daripada jalanan.
Walaupun pada awalnya comot dan tidak terurus, dengan sedikit perhatian dan kasih, semuanya berubah menjadi si comel yang manja dan penyayang.
Salah satu kisah yang paling dekat di hatinya ialah kisah seekor kucing yang kini dinamakan Adik.
Ketika ditemui di depan pasar runcit, Adik berada dalam keadaan terlalu lemah, kotor dan mengalami cirit-birit yang teruk.
Melihat keadaan itu, Alieya tidak sampai hati untuk meninggalkannya begitu sahaja.
Dia segera membawa kucing kecil itu ke klinik haiwan untuk dirawat. Setelah beberapa minggu dirawat, Adik menunjukkan perubahan yang luar biasa.
Bukan sahaja semakin sihat, malah menjadi kucing yang sangat manja dan penyayang.
Kini, Adik sentiasa ingin berada di sisi Alieya dan sering menyorok di bawah kain kaftan lembut yang dipakai Alieya setiap kali mahu bermanja.
Selain Adik, Alieya turut menjaga beberapa ekor kucing lain seperti Coco, Hubert dan Lola.
Menariknya, walaupun semuanya berasal dari jalanan, setiap seekor mempunyai perangai yang mencuit hati.
Coco, misalnya, terkenal dengan tabiat manjanya yang gemar meminta ditepuk di bahagian punggung.
“Jika saya sengaja tidak melayan dan pura-pura tidak nampak kehadirannya, ia akan terus mencuit tangan atau baju sambil buat bunyi manja.
“Adik pula gemar bersembunyi di bawah sofa ketika yang lain ligat bermain. Paling melucukan, ia hanya menyembunyikan kepala dan badan sahaja manakala separuh kaki belakang dan ekornya terkeluar,” katanya tersenyum.
Lola pula digelar ‘diva’ rumah kerana sangat sensitif terhadap bunyi bising, terutama ketika sedang tidur.
Sekiranya terdengar bunyi bersin, muzik kuat atau bunyi lesung batu, Lola akan bangun sambil ‘membebel’.
Walaupun ragam berbeza, setiap satunya membawa keceriaan tersendiri dalam hidup gadis ini.
Baginya, menjaga kucing bukan sekadar memberi makan dan tempat tinggal, tetapi memberi kasih dan harapan kepada makhluk yang pernah tersisih.
Melihat perubahan seekor kucing yang dahulunya takut dan kurus menjadi manja, sihat dan bahagia di bawah jagaannya memberi kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Bagi Alieya, setiap kucing yang diselamatkannya bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi seperti keluarga sendiri.
Daripada kucing comot yang pernah merempat, kini semuanya berubah menjadi si manja yang membawa kebahagiaan dalam hidupnya.
PUSAT DANDANAN
Bagi memastikan kebersihan dan keselesaan kucing-kucing kesayangannya sentiasa terjaga, Alieya Ariesa tidak lokek berbelanja sekitar RM200 sebulan untuk menghantar ‘anak bulusnya ke pusat dandanan haiwan.
Katanya, langkah itu penting agar si comel tidak berasa tertekan ketika dimandikan atau dipotong kuku.
“Kalau saya mandikan sendiri, ada sahaja yang melarikan diri. Tetapi apabila dihantar ke pusat dandanan, ia lebih tenang,” katanya.
Tambah Alieya, memotong kuku kucing bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap kali dia cuba berbuat demikian, hampir semua kucing peliharaannya akan cuba melawan, menggeliat, malah ada yang memberontak untuk melepaskan diri.
Paling tidak dapat dilupakan, pengalaman memotong kuku kucingnya yang bernama Miko meninggalkan kenangan pahit buatnya.
Ketika itu, Miko yang ketakutan tiba-tiba menggigit tangannya hingga berdarah. Namun bagi Alieya, sedikit luka tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menjaga kucing-kucing kesayangan.
Selain soal dandanan, Alieya juga amat menitikberatkan soal pemakanan. Katanya, kucing-kucingnya mempunyai cita rasa yang unik dan cepat bosan dengan makanan yang sama. Jika diberi makanan jenis yang serupa berulang kali, kucing-kucing tersebut akan mula menolak dan enggan menjamahnya.
Oleh itu, Alieya sentiasa mempelbagaikan pilihan makanan.-UTUSAN










