Wanita ini antara sosok yang paling digeruni di kamar mahkamah suatu ketika dahulu.
Di situ, Tan Sri Hasnah Mohamed Hashim tampak tegas, sukar didekati dan sedikit menakutkan bagi yang pertama kali berdepan dengannya.
Namun, pertemuan saya bersama beliau baru-baru ini membongkar sisi lain yang jauh lebih mesra dan menawan.
Bekas Ketua Hakim Malaya ini memiliki wajah manis dengan senyuman yang sentiasa mekar di bibir.
Ketegasan yang terkenal itu bukanlah dibuat-buat, sebaliknya ia dibina untuk menegakkan imej profesionalnya, memastikan tiada siapa yang mudah memanipulasi atau mengeksploitasi tanggungjawab berat yang dipikul.
Ketelitian dan ketegasan beliau dalam setiap keputusan menjadikan figura ini tampak sukar didekati.
“Orang kata jadi hakim tidak boleh terlalu bersosial, tetapi sebenarnya tidak betul.
“Tetapi, pada masa yang sama tidak boleh terlalu rapat dengan orang tidak dikenali kerana takut disalahguna,” katanya kepada Seri.
Namun, keluarga dan kenalan rapat tahu perwatakannya yang ceria dan gemar berjenaka..
Tidak hairanlah, sesiapa sahaja yang mengenalinya pasti menyenanginya.
Minat beliau dalam dunia masakan turut menceritakan sisi lain keperibadiannya.
Daripada lauk-pauk Melayu hingga hidangan Barat, semuanya disiapkan dengan penuh kasih sayang.
Bagi Hasnah, memasak bukan sekadar menyediakan makanan, tetapi terapi untuk melarikan diri seketika daripada tekanan dunia mahkamah dan kes-kes berat yang menghimpit minda.
Lebih menarik, di sebalik ketegasan dan profesionalismenya, tersimpan jiwa muda yang ceria.
Beliau gemar mendengar lagu-lagu artis antarabangsa seperti Bruno Mars, Taylor Swift dan Harry Styles.
Minat muzik yang seiring dengan anak-anaknya membuatkan beliau mudah berasa dekat dan serasi bersama anak-anak.

DEDIKASI KUNCI KEJAYAAN
Bagi wanita berusia 66 tahun ini, perjalanan sebagai seorang pegawai undang-undang bukanlah sekadar menandatangani dokumen atau menghadiri mesyuarat.
Ia sebuah tanggungjawab yang datang dengan pelbagai cabaran.
Setiap langkah menuntut dedikasi dan pengorbanan yang tiada tolok bandingnya.
“Sejak awal menjejakkan kaki ke dunia pekerjaan, saya tiada pilihan untuk menetapkan masa sendiri atau memilih penempatan.
“Saya sering dipindahkan dari satu kementerian ke kementerian lain. Setiap perpindahan hadir dengan cabaran tersendiri, suasana kerja yang berbeza dan tanggungjawab berat,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, setiap hari menuntut tumpuan yang tinggi terhadap kes-kes dan dokumen penting.
Adakala, jam menunjukkan pukul tiga pagi, namun beliau masih menatap fail yang perlu disiapkan, sebelum keesokan harinya kembali memulakan rutin seawal pagi.
Ada hari beliau hanya sempat menjamah sedikit makanan, menangguhkan perut yang lapar demi menyiapkan kes dengan segera.
Menariknya, sejak usia muda, minatnya sebenarnya lebih minat kepada bidang ekonomi.
Namun, nasib membawanya ke laluan berliku tersebut, menjadikannya seorang pejuang keadilan yang berdedikasi sepenuh hati.
KES PERTAMA PENUH EMOSI
Antara kenangan paling mendalam yang tetap terpatri dalam lubuk hatinya ialah kes pertama yang pernah dikendalikannya iaitu satu tragedi memilukan melibatkan pembunuhan seorang bayi oleh ibu kandungnya sendiri.
Katanya, saat bukti dipaparkan di mahkamah, termasuk gambar kecederaan si kecil yang tidak berdosa itu, hatinya hampir rebah.
Air mata yang ditahan terasa ingin gugur kerana tidak sanggup melihat kekejaman sedemikian.
“Sebagai seorang wanita yang pernah berjuang selama lapan tahun untuk mendapatkan cahaya mata, saya benar-benar tidak mampu memahami seorang ibu sanggup melakukan perkara begitu terhadap anaknya sendiri.
“Pada waktu itu, saya terpaksa melawan rasa marah, sedih dan kecewa demi memastikan keputusan yang dibuat tetap adil,” luahnya dengan nada perlahan.
Kes tragis itulah yang menjadi titik tolak perjalanan hidupnya sebagai seorang hakim, mengajarnya tugasnya bukan sekadar membaca undang-undang, tetapi juga memikul derita, beban dan kisah gelap manusia di sebaliknya.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah mengendalikan pelbagai kes besar negara.
Namun, tidak pernah sekalipun beliau merasa bangga mahupun mendabik dada dengan jawatan yang disandang.
Baginya, serendah-rendah hati itu harus sentiasa kekal, tidak kira setinggi mana kedudukan seseorang.
Baginya, menjadi seorang hakim bukan tentang kuasa. Ia tentang hati yang teguh, jiwa yang sabar dan kesedaran bahawa setiap keputusan yang dibuat membawa kesan kepada kehidupan manusia.
TERUS MENABUR BAKTI
Tanggal 14 November 2025 menjadi detik bersejarah dalam kehidupan anak kelahiran Pahang ini.
Beliau secara rasminya bersara selepas lebih empat dekad mengabdikan diri dalam dunia kehakiman.
Namun bagi dirinya, persaraan bukanlah noktah. Ia bukan tanda berundur daripada dunia undang-undang yang begitu sebati dengan jiwanya.
Sebaliknya, inilah permulaan fasa baharu.
Fasa untuk terus menyumbang, berkongsi pengalaman dan menabur bakti kepada generasi muda yang sedang meniti jalan dalam bidang perundangan.
Beliau sering diundang oleh Universiti Malaya (UM) serta beberapa institusi lain untuk memberi ceramah dan berkongsi ilmu.
Setiap kali berada di depan para pelajar, memorinya seakan terimbau kembali ke hari-hari awal ketika beliau sendiri bergelar mahasiswa undang-undang.
Beliau tersenyum saat mengenang insan-insan yang pernah banyak membantunya dahulu.
Antaranya, tokoh seni negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Katanya, Sudirman bukan sahaja menyuntik dorongan akademik, malah turut berkongsi pengalaman hidup yang membina keyakinan dirinya dan rakan-rakan lain.
Baginya, ilmu tidak hanya datang daripada pensyarah, ia juga tercurah daripada pengalaman dan perkongsian manusia di sekeliling kita.
Sepanjang kerjayanya, beliau menyaksikan sendiri para peguam muda yang pernah mendapat tunjuk ajarnya berkembang menjadi individu yang cekap, profesional dan berintegriti.
Baginya, itulah sebenar-benar kepuasan apabila melihat ilmu yang pernah dicurah menjadi bekal untuk generasi baharu menguruskan kes dengan penuh adil, beretika dan berjiwa
kemanusiaan.
KOMITED SEBAGAI IBU
Walaupun terikat dengan tugas yang berat dan penuh tekanan, beliau tidak pernah mengetepikan peranan sebagai seorang ibu.
“Pulang lewat hampir setiap hari bukan alasan untuk saya mengabaikan anak-anak.
“Walau sesibuk mana sekalipun, tetapi jika ada yang sedang sakit, mereka tetap menjadi keutamaan,” ujarnya.
Beliau turut mengimbas kembali satu detik yang cukup menduga hati seorang wanita bekerja.
Salah seorang anaknya pernah dimasukkan ke hospital akibat serangan asma.
Tanpa berfikir panjang, beliau memilih untuk menguruskan kedua-duanya sekali gus kerja dan anak dari dalam wad.
Di situlah beliau menyiapkan tugasan, sambil memantau pernafasan si kecil di sisi katil.
Ada masanya, ketika beliau ditugaskan ke luar negara, anak-anak akan mencarinya hanya untuk bertanya hal kecil seperti di mana alat tulis atau buku mereka.
Soalan-soalan kecil yang hanya seorang ibu tahu jawapannya membuatkan dirinya sedar betapa kuatnya kebergantungan mereka pada dirinya, walaupun sering berada jauh kerana tuntutan tugas.
Atas segala cabaran itu, beliau sentiasa menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang suami dan anak-anak yang memahami perjalanan kerjayanya sehinggalah bergelar hakim.-UTUSAN










