Nekad tinggal gaji besar demi jadi pembuat kek

Nekad tinggal gaji besar demi jadi pembuat kek

Komani Ganesan tampil manis dengan sari rona lembut semasa sesi penggambaran baru-baru ini.-UTUSAN/SHIIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Makna di sebalik perayaan Deepavali amat dekat di hati Komani Ganesan dalam menelusuri lembaran baharu hidupnya.

Bagi Komani, Pesta Cahaya bukan sekadar tradisi turun-temurun tetapi simbol kekuatan untuk melangkah keluar dari bayang-bayang ketakutan dan keberanian untuk memilih jalan hidup yang benar-benar menggembirakan jiwanya.

Disebabkan itu, beliau berani meninggalkan kerjaya sebagai ahli farmasi bergaji besar semata-mata demi menjadi seorang pembuat kek kecil-kecilan di rumah.

Selama bertahun-tahun, wanita berusia 33 tahun ini nampak seperti menjalani kehidupan yang kelihatan sempurna pada zahirnya.

Namun, beliau sebenarnya sedang berperang dengan diri sendiri memilih antara kerjaya dan minat.

Beliau menjalani kehidupan sebagai ahli farmasi berdedikasi siang hari dan pembuat kek pada sebelah malamnya bagi mengisi minatnya dalam bidang pastri.

Pulang dari kerja sekitar jam 9 malam, beliau terus menyingsing lengan menyiapkan tempahan kek pelanggan sehingga jam 1 atau 2 pagi.

Bagi anak kelahiran Selangor ini, beliau bukan hanya membakar kek, tetapi juga membakar impian yang lama tersimpan.

Tanpa siapa pun tahu, tersembunyi kelelahan yang perlahan-lahan menggugat dirinya.

Microsleep sering menjadi mimpi ngerinya ketika memandu ke tempat kerja dan lebih menakutkan saat dalam perjalanan pulang.

Matanya yang sering terlelap tanpa sedar pernah hampir membawa padah, termasuk insiden hampir melanggar kenderaan lain.

Apatah lagi kerja sebagai ahli farmasi menuntut masa dan tenaga yang banyak.

“Disebabkan kekurangan staf, kadang-kadang kami terpaksa bekerja tujuh hari supaya operasi farmasi berjalan lancar seperti biasa,” katanya kepada Seri.

“Walaupun pada waktu itu, saya tahu sudah letih, namun saya tetap bekerja sebagai ahli farmasi dan malamnya sambung menjadi pembuat kek di rumah,” katanya.

Minatnya terhadap dunia pastri bukan sekadar hobi.

Ia berakar sejak di bangku sekolah menengah, diasuh dan diilhamkan oleh ibunya yang juga seorang pembuat kek.

Aroma kek yang dibakar saban malam menjadi sebahagian daripada memori dan jati dirinya.

Namun, jadual hidupnya yang padat tanpa rehat yang cukup akhirnya menjadi beban.

Lalu, keputusan besar dibuat. Tahun 2023 dia memilih untuk meneruskan minatnya dalam bidang pastri sekaligus melepaskan kerjaya tetapnya sebagai ahli farmasi.

Pada awalnya, ibunya keberatan. Mana tidaknya, anak gadisnya telah bertungkus-lumus selama empat tahun setengah mengejar segulung ijazah farmasi.

Melepaskan pekerjaan tetap seolah-olah satu pengorbanan sia-sia.

Namun akhirnya, melihat kesungguhan dan kebahagiaan yang terpancar di wajah anaknya, sI ibu akur dan memberi restu.

Kini, beliau memikul peranan penting dalam meneruskan legasi perniagaan kek keluarga, lebih-lebih lagi setelah ibunya semakin dimamah usia.

Walaupun tugas membuat kek juga menuntut tenaga dan ketekunan, Komani kini mampu mengurus masanya dengan lebih seimbang, termasuk untuk rehat yang selama ini dikorbankan.

Baginya, hasil daripada minat dan usaha sendiri terasa lebih bererti biarpun adakalanya jumlahnya tidak cukup besar.

“Gaji ahli farmasi RM7,000 sebulan. Apabila saya buat kek, minimum saya boleh dapat RM1,000 untuk bulan biasa.

“Tetapi kalau musim perayaan boleh mencecah sehingga RM30,000,” kongsinya.

KEK MENTEGA VERSI INDIA LARIS

Kejayaan Komani dalam dunia pastri bukan lagi rahsia.

Rasa keknya yang unik dan lazat menambat hati bukan sahaja dalam kalangan masyarakat India, malah turut digemari oleh pelanggan Melayu, Cina dan bangsa lain.

Katanya, walaupun masih belum mendapatkan sijil halal kerana hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah, namun bahan-bahan yang digunakan semuanya halal.

Setiap kali menjelang Deepavali, dapurnya sibuk memenuhi tempahan tanpa henti.

Daripada pelbagai jenis kek yang dihasilkan Komani, kek mentega menjadi pilihan utama pelanggan.

Walaupun tampil ringkas tanpa lapisan krim mewah atau hiasan berwarna-warni, kek ini mempunyai keistimewaan tersendiri yang membuatkan pelanggan berulang kali menempah.

Menurut Komani, kek mentega olahannya menggabungkan resipi tradisional dengan sentuhan unik, menjadikannya berbeza daripada kek mentega biasa di pasaran.

Istimewanya ialah krim palgova, sejenis manisan klasik masyarakat India yang digunakan sebagai inti atau sapuan rahsia dalam kek tersebut.

“Palgova hanya menggunakan dua bahan asas gula dan susu tetapi apabila digabungkan dengan tekstur kek mentega yang gebu, rasanya luar biasa dan penuh nostalgia,” jelasnya.

Komani juga memilih untuk mengekalkan kesederhanaan dalam persembahan keknya.

Tanpa pewarna tambahan, tiada hiasan sarat dan hanya warna kuning asli kek mentega yang menjadi identiti dan digemari oleh majoriti pelanggannya.

Selain kek, Komani juga menerima permintaan tinggi bagi biskut raya, muruku, manisan dan kuih tradisional India yang menjadi kegemaran ramai tanpa mengira latar belakang kaum.

DEEPAVALI SEDERHANA

Meskipun turut meraikan Deepavali bersama keluarga, Komani rela mengorbankan waktu rehat dan masa peribadi demi kepuasan pelanggan.

Baginya, melihat senyuman pelanggan setelah menerima tempahan merupakan kepuasan yang tiada tandingan.

Biarpun sambutannya sederhana, Deepavali tetap bermakna buat Komani asalkan diraikan bersama insan tersayang, termasuk kakaknya yang menetap jauh dan hanya pulang ketika perayaan.

Lebih membanggakan, hasil usaha promosi di media sosial seperti Instagram dan TikTok, kek hasilan tangan Komani kini mendapat perhatian sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Beliau sama sekali tidak menyangka video ringkas membuat kek mampu menembusi pasaran sejauh itu.

Menariknya, setiap kali penghantaran dibuat, Komani turut mengambil peluang menjelajah keindahan bumi Borneo.

Pengalaman pertamanya ke Semporna membuka mata melihat laut biru jernih, pulau-pulau memukau dan budaya masyarakat setempat yang penuh warna.

“Selalunya saya akan menunggu tempahan sehingga 60 kotak bagi mengelakkan kerugian kos penghantaran.

“Jika di Sabah, saya akan menghantar tempahan kepada pelanggan dari pelbagai daerah yang lain, bermula di Kota Kinabalu manakala di Sarawak pula, ada kalanya di Kuching dan Miri,” katanya.

KALIS KECAMAN

Alah bisa tegal biasa.

Komani tidak terlepas menerima kritikan tidak sopan, lebih-lebih lagi hinaan terhadap kek yang dibuatnya.

“Ada yang kata kek saya tidak menggunakan bahan-bahan yang halal dan tidak sepatutnya dijual kepada pelanggan beragama Islam.

“Namun, saya tidak mempedulikan komen negatif tersebut kerana kebanyakan yang komen itu menggunakan akaun media sosial palsu,” katanya.

Sebaliknya, dia menganggap kecaman tersebut sebagai semangat untuk terus bangkit dan tidak berputus asa memperbaiki kelemahan sama ada pada kek, biskut atau pastri lain hasilannya.

LEBARKAN SAYAP

Melihat sambutan tempahan yang tidak pernah henti daripada pelanggan walaupun pada perayaan-perayaan lain, Komani mempunyai impian untuk membuka kedai kek bagi mengembangkan bakatnya dalam dunia pastri.

“Semua tempahan pastri dihasilkan di rumah hanya menggunakan peralatan terhad, sekali gus menjadikan masa lebih panjang untuk menyiapkan tempahan pelanggan,” katanya.

Tambahnya, kedai kek yang lengkap dan selesa dapat mempercepat proses pembuatan kek dan pelbagai jenis kuih mengikut permintaan pelanggan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN