Konsep terbuka, ruang lapang tanpa sekatan

Konsep terbuka, ruang lapang tanpa sekatan

ruang tamu dilatari dengan rona kelabu lembut membangkitkan suasana moden minimalis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia dekorasi kediaman, konsep terbuka dan moden minimalis semakin digemari kerana menawarkan ruang yang lapang dan mudah dijaga.

Zeemarlina, 40, antara pemilik kediaman yang memilih dan mengaplikasikan gaya ini pada kondominium seluas 1055 kaki persegi.

Konsep terbuka adalah susunan ruang tanpa dinding pemisah antara dapur, ruang makan dan ruang tamu.

Ini memberikan kesan luas dan lapang, sekali gus memudahkan interaksi antara ahli keluarga dan tetamu.

Kata Zeemarlina, konsep ini amat sesuai untuk kediaman dengan ruang terhad kerana memaksimumkan fungsi setiap inci ruang.

“Disebabkan ruang yang terhad, jadi saya memilih untuk gaya ringkas, tidak banyak hiasan berlebihan dan mudah dijaga.

“Disebabkan rumah ini juga berkonsep terbuka, jadi saya nak ruang nampak lebih lapang dan bersih,”katanya kepada Seri.

Moden minimalis pula membawa pendekatan warna neutral seperti putih, kelabu lembut dan beige yang menenangkan mata.

Gaya ini mengekalkan kesederhanaan dengan mengurangkan hiasan berlebihan, menjadikan rumah lebih mudah dikekalkan kebersihannya.

RONA SEGAR

Pilihan warna asas yang neutral juga memudahkan padanan dengan dekorasi lain dan menjadikan ruang sentiasa segar dan moden.

Bagi melengkapkan konsep ini, Zeemarlina memilih beberapa elemen penting.

Warna neutral sebagai asas dipadankan dengan aksen hitam untuk kesan moden dan elegan atau sentuhan warna kayu natural bagi mencipta suasana hangat.

Fungsi ruang juga diberi perhatian dengan kabinet terbina dalam yang menyimpan barangan secara kemas dan tersusun tanpa menjejaskan estetika.

Pencahayaan memainkan peranan utama dengan penggunaan downlight yang kemas dan chandelier sebagai titik fokus ruang, di samping lampu cahaya putih hangat yang memberikan suasana nyaman.

Perabot yang dipilih pula ringkas dan berkualiti, seperti permukaan meja dapur daripada marmar atau kuarza yang mewah dan tahan lama serta lantai SPC yang menyerlahkan nuansa semula jadi dan hangat.

Salah satu kelebihan utama konsep ini ialah kemudahan penjagaan.

“Dengan permukaan rata dan kabinet terbina dalam, ruang menjadi mudah dibersihkan dan kurang bersepah.

“Warna putih dan neutral juga membantu memberikan ilusi ruang yang lebih besar dan bersih, walaupun memerlukan sedikit usaha untuk memastikan kebersihan sentiasa terjaga,” ujarnya yang banyak mendapat inspirasi daripada dalam talian serta sentuhan kreatif daripada pereka dalaman yang membantu merealisasikan visi dekorasi idamannya.

Antara ruang yang paling digemari oleh Zeemarlina ialah dapur, di mana konsep terbuka dan minimalis dapat diaplikasikan dengan sempurna, memberikan ruang yang bukan sahaja praktikal, malah indah dipandang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN