Demi menempuh cabaran baru dalam hidup, Shareen Farzida Sukri, 36, nekad meninggalkan kerjaya selesa sebagai penyelia projek pembinaan untuk mencapai impiannya dalam dunia perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Keberaniannya itu didorong oleh pengalaman zaman kecilnya membantu kedua ibu bapa mengusahakan gerai makanan.
Bersama dengan empat rakan kongsi, wanita asal Kelantan ini membuka restoran, Banglo 289 pada 2017.
Di peringkat awal, hidangan yang dijual ialah nasi ayam, mi kari, mi wantan serta roti canai dan nan.
Tetapi, seiring dengan peredaran zaman dan trend masyarakat, strategi perniagaannya mula berubah.
Fokusnya tertumpu kepada masakan tradisional asli, termasuk juadah kampung yang semakin dilupakan.
“Masa itu saya tengok makanan tradisional kurang diangkat dalam dunia F&B.
“Malah, kebanyakan restoran ternama di pusat beli-belah mengenakan harga yang sangat mahal.
“Kekangan kos ini sekali gus membataskan peluang masyarakat untuk menikmati hidangan tradisi asli,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Infra Alfa Sdn. Bhd. ini berkata, keunikan Banglo 289 terletak pada kuantiti hidangan yang dimasak kecil.
Langkah itu bertujuan mengekalkan rasa segar dan autentik setiap juadah.
Tarikan lain ialah kepelbagaian menu dari seluruh negara yang ditampilkan buat para pelanggan.
Katanya, kalangan rakan kongsinya berbeza tempat kelahiran dan masing-masing membawa menu signatur atau ikonik kampung halaman mereka.
“Bahkan, kami turut memperkenalkan masakan yang jarang ditemui di restoran moden hari ini.
“Secara tidak langsung, kami dapat mempromosikan semula hidangan itu dan memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati warisan air tangan dari seluruh negeri,” katanya.
NASI KERABU ALA KAMPUNG
Shareen Farzida bangga kerana nasi kerabu asli Kelantan yang lengkap dengan sambal tumis, budu dan ulam kampung asli dijual di Banglo 289.
Katanya, ulam-ulaman seperti daun serai kayu dan kesum dipilih dengan teliti kerana itulah rahsia keenakan nasi kerabu dari pantai Timur.
Terdahulu, katanya, hidangan pertama yang diperkenalkan di restoran itu ialah masak lemak cili api.
Istimewanya, ia tidak terhad kepada satu jenis sahaja, sebaliknya dipelbagaikan dengan itik, udang dan daging salai bagi membangkitkan selera.
Selain itu, setiap sajian dimasak dengan menggunakan bahan segar dan cara lama seperti orang dulu-dulu.
“Paling penting, harga makanan di Banglo 289 lebih murah dan berpatutan berbanding di restoran yang menampilkan konsep sama.
“Jika di tempat lain, pelanggan terpaksa membayar melebihi RM200 tetapi di sini kos bagi dua orang yang mengambil tiga jenis lauk kurang daripada RM100,” katanya.
Cawangan pertama Banglo 289 terletak di Jalan Raja Chulan diikuti yang kedua di Elmina Lakeside Mall, Shah Alam dan terbaharu di pusat beli-belah IOI City Mall.

CABARAN
Seperti kebanyakan usahawan, perjalanan Shareen Farzida bersama rakan-rakannya dalam membangunkan Banglo 289 tidak terkecuali daripada cabaran.
Antara halangan terbesar yang terpaksa dihadapi ialah isu logistik dan kos operasi yang tinggi.
Beliau mengakui, perkara paling sukar ialah mencari titik keseimbangan dalam menetapkan harga makanan.
“Jika diletakkan terlalu tinggi, bimbang pelanggan tidak datang, tetapi kalau murah sangat, perniagaan berisiko rugi kerana kos sebenar tidak dapat ditampung
“Paling terkesan bila harga bahan mentah naik, contohnya sayur, ikan atau daging.
“Kalau kami kekalkan harga jualan, keuntungan menjadi terlalu kecil. Tetapi kalau naikkan harga, risau pula pelanggan rasa terbeban,” jelasnya.
Cabaran lain yang dihadapi ialah pernah terputus bekalan ikan patin apabila musim tengkujuh melanda negara.
Katanya, stok ikan-ikan itu diperolehi dari Temerloh, Pahan bagi penyediaan hidangan ikan patin masak tempoyak.
LADANG SAYUR
Bagi memastikan bekalan bahan mentah berterusan untuk kegunaan di setiap cawangan restoran, beliau bercadang menanam sendiri sayuran dan herba.
Usaha itu sekali gus dapat menjamin kualiti bahan-bahan yang digunakan kekal di tahap terbaik.
“Dalam masa sama, kos pun dapat dikurangkan bagi pembelian bahan mentah daripada pembekal luar,” katanya.
Katanya, perancangan tersebut menjadi sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk menjadikan perniagaan lebih mampan.
Selain itu, beliau turut berhasrat membuka lebih banyak cawangan Banglo 289 bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, identiti restoran yang mengetengahkan menu tradisional kekal akan dipertahankan.
Beliau optimis Banglo 289 bakal menjadi jenama masakan tradisional yang mampu bertahan lama dan dikenali di seluruh negara.

MINAT MOTOSIKAL KUASA TINGGI
Di sebalik perwatakan lembut, sebenarnya usahawan wanita ini menggemari aktiviti lasak.
Shareen Farzida mahir menunggang motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson.
Malah, beliau aktif menyertai konvoi bersama kumpulan permotoran itu.
“Selain mengisi masa terluang, hobi ini juga melatih saya menjadi individu yang lebih berani.
“Bukan itu sahaja, ia juga dapat menghilangkan tekanan buat seketika,” katanya.
BIODATA
Nama : Shareen Farzida Sukri
Pendidikan: Diploma Kejuruteraan Awam
Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif Infra Alfa Sdn. Bhd.










