Siti miliki lebih 5,000 kenderaan Hot Wheels

Siti miliki lebih 5,000 kenderaan Hot Wheels

Deretan kereta yang disusun rapi di dalam rak khas pada dinding ruang tamu kediamannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Deretan kereta kecil tersusun rapi pada dinding ruang tamu kediamannya, seolah-olah menjadi kertas dinding yang hidup.

Bukan sekadar memenuhi satu bahagian, malah merebak hingga ke dua sisi lain.

Di sebuah bilik khas pula, ribuan kereta miniatur itu tersusun indah pada dinding dan rak kaca, bagaikan kedai permainan jenama ikonik, Hot Wheels.

Setiap satunya berwarna-warni, berkilauan dengan model yang pelbagai.

Daripada lori, motosikal, van dairy delivery dan kereta klasik serta premium sehinggalah ke edisi terhad kartun, adiwira dan filem.

Ada yang kekal dalam kotak asal, manakala ada juga yang dibuka dan ditempatkan dalam rak khas untuk mempamerkan rekaan uniknya.

Sesiapa sahaja yang melangkah masuk pasti terpegun dengan panorama warna-warni Hot Wheels itu.

Paling mengejutkan, koleksi yang melebihi 5,000 unit tersebut bukan dimiliki seorang lelaki seperti dijangka, sebaliknya wanita berusia 43 tahun dari Selayang Baru, Batu Caves.

Siti Aisyah Umar yang merupakan penjawat awam, mengumpul kenderaan itu sejak 2017.

Dia bermula dengan hanya sebuah lori berwarna merah jenis thunder roller berharga RM100 yang dibeli secara spontan dalam acara jualan di Kota Damansara.

“Orang lain mungkin berminat dengan kereta tetapi berbeza dengan saya yang lebih tertarik kepada lori.

“Bagi saya lori memiliki keunikan tersendiri kerana reka bentuknya dan fizikalnya yang lebih berat,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Kini, dia sudah memiliki kesemua jenis model lori itu di samping long gone dan convoy custom.

Selain lori, anak jati Selayang ini turut menggemari motosikal dan kereta Porsche.

“Sebenarnya banyak lagi koleksi yang disimpan di dalam almari tetapi tidak dapat digantung dan dipamerkan kerana sudah kehabisan ruang.

“Daripada segi penjagaan pula tidak sukar kerana saya letakkan di dalam rak khas bertutup di samping kekal dalam kotak asal,” katanya.

‘Racun’ suami

Siti Aisyah mengakui sebelum ini dia tidak pernah memiliki sebarang hobi kerana kesibukan kerja.

Tambahan pula, dia dan suami, Zakaria Dali, 61, perlu menjaga bapa yang uzur.

“Selepas ayah meninggal, saya mula mencari aktiviti untuk mengisi masa terluang dan akhirnya terjatuh cinta dengan dunia Hot Wheels.

“Lama-kelamaan saya turut ‘meracun’ suami untuk terjebak dalam hobi sama ,” ujarnya tertawa.

Sampai satu tahap, suaminya turut menghafal jenis-jenis model dan varian dalam koleksi mereka.

Dia juga aktif membuat rujukan di Internet dan berkongsi pengetahuan mengenai kereta miniatur itu di media sosial.

“Walaupun pada mulanya saya yang ‘racun’ suami, tetapi kini dia lebih ‘pakar’ tentang model kenderaan dan saya pula yang sering bertanya padanya,” katanya.

Lebih menarik, hobi itu bukan sahaja memberi terapi, malah turut mengeratkan hubungan pasangan suami isteri ini.

Kini, mereka lebih gemar meluangkan masa bersama di bilik khas yang dipenuhi koleksi Hot Wheels ini berbanding ‘melepak’ di luar.

Bahkan, pasangan suami isteri ini juga berjaya menambah ramai kenalan di seluruh Malaysia menerusi hobi sama.

Tidak mahu jual

Sehingga kini, koleksi Siti Aisyah masih kekal utuh dan tiada satu pun yang pernah dijual.

Sebagai pengumpul tegar, dia tidak berhasrat melepaskan setiap koleksi istimewa itu.

Apatah lagi, usaha mencari setiap model itu pun bukanlah mudah dan memerlukan masa panjang.

Hal itu kerana kebanyakannya adalah edisi terhad dan set yang sukar ditemui serta bernilai tinggi.

Adakalanya, dia terpaksa membuat pembelian dari luar negara selain melalui kalangan pengumpul.

Selain itu, dia turut aktif menempah rekaan Hot Wheels tertentu mengikut corak diingini termasuk sempena hari ulang tahun perkahwinannya.

“Contohnya, set kereta car culture boulevard dari nombor 1 hingga 130 yang dikumpul sejak 2012 hingga kini.

“Setiap set mempunyai lima kereta dan dijual pada harga RM180, menjadikan anggaran kos untuk mendapatkan kesemua 130 model itu hampir RM5,000,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Aisyah tidak pernah mengira dengan tepat jumlah yang sudah dilaburkan sepanjang tujuh tahun terlibat dalam hobi itu.

Namun, dia percaya, nilai itu mungkin mencecah ratusan ribu ringgit.

“Tetapi saya dan suami tidak sesekali menyesal biarpun ada yang menganggap hobi kami ini satu pembaziran.

“Bagi saya, setiap satu koleksi ini merupakan khazanah berharga yang menyimpan 1,001 kenangan dan kepuasan.

“Lagipun, pembelian dibuat mengikut kemampuan dan bukan nafsu. Jika tidak cukup duit, kami ambil pendekatan ‘berpuasa’ dahulu daripada membeli sehinggalah bajet cukup,” katanya yang belum memiliki cahaya mata.

Kumpul gundam

Selain Hot Wheels, Siti Aisyah turut berjinak-jinak dalam mengumpul model gundam.

Minat itu timbul selepas menerima hadiah daripada seorang sahabat dari Johor ketika pandemik Covid-19.

“Pemasangannya memang susah dan menuntut ketelitian, tetapi proses itu memberikan keseronokan yang tersendiri.

“Masa mula-mula memang lama untuk disiapkan, tetapi apabila sudah tahu, sehari sahaja boleh selesai,” katanya.

Sehingga kini dia memiliki kira-kira 20 gundam dalam koleksinya termasuk yang masih belum dipasang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×