Difitnah ipar, isteri enggan berdendam

Difitnah ipar, isteri enggan berdendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ujian rumah tangga datang pelbagai bentuk. Ada yang diuji dengan kewangan, kesihatan dan kepercayaan.

Apabila orang luar cuba merosakkan hubungan suami isteri, itu sudah cukup berat, tetapi jika yang menabur fitnah adalah darah daging sendiri, sakitnya lebih terasa.

Minggu ini saya kongsikan kisah Jai (bukan nama sebenar) yang pernah melalui ujian paling sakit dalam rumah tangga apabila difitnah curang oleh adik-beradik suami.

Fitnah tersebut membuatkan rumah tangga yang dibina hampir runtuh.

Kisah tersebut diceritakan sendiri oleh wanita berusia awal 50-an itu dalam pertemuan baru-baru ini.

Jai dan suami, Afiq (bukan nama sebenar) berkahwin pada pertengahan Ogos 2006 atas dasar suka sama suka.

Sejak awal perkahwinan, Jai tahu dia bukan menantu yang digemari keluarga suami.

Adik-beradik suami sebenarnya sudah ada calon pilihan sendiri sebelum abang mereka berkahwin.

Tetapi jodoh Jai dan Afiq kuat dan akhirnya mereka disatukan.

“Walaupun perkahwinan kami dipersetujui kedua ibu bapa, tetapi sejak hari pertama menjejakkan kaki ke rumah mentua, saya tidak menerima layanan yang baik daripada adik-beradik suami,” katanya.

Pandangan dan sambutan mereka penuh sinis, lantas dia dapat merasakan seolah-olah kedatangannya tidak dialu-alukan.

Malah, setiap kali pulang ke rumah mentua, dia tidak pernah dihormati sebagai seorang kakak ipar.

“Kalau saya tolong di dapur, tidak dihargai. Bila diam, dikatakan pula sombong. Apapun saya buat, semuanya salah di mata mereka.

“Sepanjang tempoh itu saya cuba bersabar. Mereka hanya menerima saya selepas dinasihatkan oleh ibu mentua,” ujarnya.

Kata Jai, bukan suaminya tidak tahu tetapi mengambil pendekatan berdiam diri dan memintanya bersabar.

Bulan berganti tahun. Layanan ipar duai Jai tidak pernah berubah.

Di depan suami dan mentua, dia dilayan baik, sebaliknya di belakang penuh kata-kata sindiran.

Walaupun hatinya sakit, dia tetap bersabar kerana menghormati suami dan ibu bapa mentua.

Sepanjang tempoh lima tahun perkahwinan, dalam diam adik -beradik suami tetap berusaha untuk memutuskan hubungan mereka.

Kemuncak kisah rumah tangganya ialah apabila adik-beradik suami menfitnahnya curang.

Kata Jai, itu adalah perkara paling tidak dapat dilupakan, di mana segala kebencian yang tersimpan meletup.

Mereka tidak lagi bermain dengan kata-kata atau sindiran.

Sebaliknya, mereka berani menyebar fitnah dengan menyerahkan beberapa keping gambar kepada suami bagi membuktikan kecurangannya.

“Mereka mengambil gambar saya dengan seorang lelaki di beberapa lokasi berlainan.

“Gambar tersebut disunting agar suami percaya saya mempunyai hubungan sulit di luar,” cerita Jai penuh emosi.

Awalnya, suami percaya dengan fitnah ditabur adik-beradik sendiri.

Berlaku pergaduhan besar, tetapi Jai cuba mempertahankan rumah tangga dengan berusaha mencari kebenaran.

“Saya benar-benar terkejut dan sedih dengan fitnah yang dilemparkan adik-beradik suami.

“Lebih pedih apabila yang percaya fitnah itu ialah orang yang paling saya sayang iaitu suami,” sambungnya.

Kata Jai, mereka bergaduh besar hingga rumah tangga menjadi dingin seketika.

Adik-beradik suami berasa puas selepas berjaya menggoyangkan kepercayaan abang mereka terhadap isteri sendiri.

Bagaimanapun kata Jai, dia tidak duduk diam dan cuba mengumpul bukti yang semua gambar-gambar disebarkan itu tidak benar.

“Awalnya suami sukar menerima bukti tersebut, namun selepas campur tangan seorang rakan rapatnya, Johan (bukan nama sebenar) suami mulai sedar dan percaya.

“Suami meminta maaf kepada saya atas apa yang berlaku,” ceritanya.

Setelah semua terbongkar, mereka cuba berdepan sendiri dengan adik-beradik suami.

Bukan mahu bergaduh, tetapi untuk menyampaikan kebenaran.

Hubungan Jai dan suami kembali pulih. Masing-masing perlahan-lahan bersama-sama membina semula kepercayaan yang hampir hilang.

Awalnya suami nampak marah dan kecewa selepas mendapat tahu kebenaran.

Suami tidak sangka adik-beradiknya sanggup memusnahkan rumah tangga abang sendiri.

“Memang saya difitnah, namun saya memilih memaafkan. Saya tidak mahu membiarkan suami membenci darah daging sendiri,” ujarnya.

Selepas mendapat tahu kebenaran dan menjaga hubungan, suami mula meletakkan jarak dengan adik-beradiknya.

Bukan membenci, tetapi suami mahu mengelakkan pergaduhan tercetus.

Sebelum mengakhiri perbualan lewat petang itu, Jai sempat menitip pesan apabila pasangan mula sedar kesilapan, jangan cucuk mereka dengan dendam, tetapi ajar untuk memaafkan.

“Bukan semua keluarga sempurna. Pasti ada pergaduhan dan perselisihan, namun kita jangan jadi isteri yang buat suami memutuskan hubungan silaturahim dengan darah daging sendiri,” ujarnya.

Pasangan yang dikurniakan tiga anak berusia 12, 15 dan 18 tahun itu bakal menyambut ulang tahun perkahwinan ke-19 pada pertengahan bulan ini.

“Saya sangat-sangat bersyukur yang jodoh kami masih kuat.Sejujurnya saya tidak mengharapkan ipar-ipar berubah atau menerima saya, cukuplah jika suami memahami,” ujarnya.

Mengenang kembali ujian yang hampir memusnahkan rumah tangga mereka, kata Jai ia menyedarkannya yang perkahwinan bukan sekadar cinta.

Tetapi, lebih kepada perjuangan, kepercayaan dan kesediaan untuk memperbaiki hubungan.

Sesungguhnya ujian dalam rumah tangga dianggap sebagai bentuk kasih sayang Allah SWT dan cara untuk meningkatkan darjat keimanan seseorang.

Sebagaimana Firman Allah SWT, “Dan Kami pasti menguji kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar,”-(Al-Baqarah:155-157).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×