Syurga kecil buat 32 kucing kurang upaya

Syurga kecil buat 32 kucing kurang upaya

setiap kucing diberi pakaian yang direka khas dan lampin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak ramai yang sanggup, mahupun berminat untuk memelihara kucing cacat.

Kucing seperti ini sering kali dipandang sepi, dianggap menyusahkan dan ditinggalkan tanpa belas kasihan.

Berbeza bagi Nur Hanariawati Mohd. Najib, 46, menjadikan sudut kecil di sebuah bilik tidur dalam rumahnya sebagai syurga permainan buat 32 ekor kucing kelainan upaya.

Malah, wanita yang menawarkan khidmat penjaga haiwan peliharaan dan penata rias kucing ini juga tidak lokek berbelanja RM1,400 seminggu untuk makanan dan barang keperluan kucing-kucing kurang bernasib baik itu.

Katanya, tidak pernah terdetik di hatinya untuk memelihara kucing sebanyak itu, apatah lagi kucing kurang upaya.

Namun, hatinya tersentuh saat melihat satu hantaran rakannya di media sosial mengenai seekor kucing yang dilanggar.

Apabila mendapati si comel itu terbiar di jalanan, lantas menjentik hatinya untuk memelihara kucing tersebut.

Si bulus itu dinamakan Suri secara spontan, ketika ingin mendaftarkannya untuk menerima rawatan di klinik haiwan.

Suri yang dijangka tidak mampu bertahan lama berdasarkan pemerhatian doktor yang merawatnya akhirnya membesar dengan sihat di bawah jagaan Nur Hanariawati.

Biarpun tidak mempunyai pengalaman atau kemahiran sebelum ini, namun hasil pembelajarannya sendiri, dia berjaya merawat suri dengan baik dan sihat.

Justeru, membuakkan lagi semangatnya untuk membantu kucing-kucing lumpuh yang lain untuk sihat semula.

Pada masa sama, dia turut memanfaatkan akaun tiktoknya iaitu Katsumi Cat untuk berkongsikan video comel kucing-kucing peliharaanya.

CACAT AKIBAT KEMALANGAN

Kebanyakan kucing yang dipeliharanya mengalami kerosakan saraf tunjang hingga hilang keupayaan mengawal pergerakan bahagian belakang badan berpunca daripada kemalangan.

“Ada yang nampak normal, boleh gerakkan kaki, tetapi sebenarnya tidak boleh angkat ekor pun, apatah lagi kawal kaki belakang,” jelasnya.

Pada awalnya, kebanyakan kucing yang dibawa pulang mengalami kemurungan selain tidak dapat menerima kecacatan yang dialami.

Kucing baharu sering mengasingkan diri dan tidak mahu bercampur dengan yang lain.

Namun, lama-kelamaan, kucing tersebut akan mula bergaul dan bermain dengan yang lain.

Katanya, si comel itu juga semakin aktif, seolah-olah telah mendapat semangat baru.

Kucing-kucing itu dibiarkan bebas bergerak dan bermai dengan memakai lampin khas dan pakaian rekaan sendiri yang membolehkan mereka hidup lebih selesa.

Bagaimanapun, kekurangan tersebut tidak pernah menjadi penghalang untuk mereka menikmati hidup, sebaliknya, kucing-kucing beliau sentiasa aktif dan ceria.

Cabaran harian bukan kecil. Katanya, setiap ekor kucing akan ditukar lampin pakai buang sekurang-kurangnya empat kali sehari.

“Kalau tengah tidur di waktu malam, jika terhidu bau busuk datang dari najis kucing, saya akan segera bangun dan menukarkan lampinnya.

“Kami sekeluarga tidak akan membiarkan kucing memakai lampin yang sudah kotor kerana akan memberi jangkitan kepada mereka,” katanya.

Setiap minggu, sekitar 10 hingga 15 pek lampin pakai buang diperlukan bagi memastikan keperluan harian kucing-kucing peliharaannya sentiasa mencukupi dan kebersihan terjaga

Dia menggunakan lampin bayi kerana lebih tahan lasak berbanding lampin khas kucing yang nipis dan kurang menyerap.

Daripada segi pemakanan, dia sentiasa berhati-hati kerana kucing kurang upaya sering mengalami perut sensitif.

Dia memilih makanan khas yang dicadangkan oleh doktor.

Jadual pemakanan, mandi, timbang berat, pemberian ubat kutu dan cacing setiap kucing direkod dan diurus secara sistematik.

Rumahnya bukan lagi sekadar tempat tinggal, tetapi seolah-olah berfungsi seperti sebuah hospital kecil khas untuk kucing.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×