Realitinya, cinta semata-mata tidak cukup untuk menjamin kebahagiaan rumah tangga. Mungkin indah pada awalnya, tetapi lama-kelamaan, akan pudar jua.
Rumah tangga bahagia bukan tentang siapa yang paling mencintai dan banyak berkorban, tetapi siapa yang sanggup bertahan dan memperbaiki apabila diuji.
Suami isteri perlu belajar untuk menurunkan ego dan meletakkan kepercayaan antara satu sama lain sebagai tunjang.
Minggu ini, saya kongsikan luahan seorang suami Herman, (bukan nama sebenar) yang makan hati kerana sikap isteri terlalu lebihkan ahli keluarganya.
Dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini, Herman menulis dia berkahwin dengan Sarina, (bukan nama sebenar) hampir enam tahun.
Pada awalnya, dia cukup kagum dengan kasih sayang dan layanan isteri terhadap keluarganya.
Seorang anak yang patuh dan sentiasa mendahulukan ibu dan adik-adiknya. Tetapi, lama-kelamaan, Herman berasa dia seperti orang luar di mata isteri. Cinta mereka mula diuji.
Herman menyangka perkahwinan yang didasari atas cinta sama cinta akan membawa kebahagiaan hingga ke akhir, namun realitinya tidak semudah itu.
Bukan kerana hilangnya rasa sayang, tetapi kerana realiti kehidupan yang menuntut lebih daripada itu.
Cinta tanpa komunikasi bertukar menjadi salah faham. Cinta tanpa tolak ansur menjadi beban.
Katanya, sejak berkahwin dia cuba menjadi suami yang memahami.
Herman tahu Sarina adalah anak sulung perempuan dalam keluarga.
Bapa Sarina meninggal dunia ketika dia berada di semester pertama semasa menuntut di salah sebuah universiti di utara tanah air. Sejak itu, tanggungjawab mengurus keluarga jatuh sepenuhnya di bahu Sarina.
Ibunya hanya suri rumah. Dua adiknya masih belajar.
Mereka meletakkan Sarina sebagai tiang tempat bergantung, tempat mengadu dan meminta tolong ketika kesusahan.
Selepas berkahwin, Sarina tidak pernah melepaskan tanggungjawab terhadap keluarganya, sehingga dia tidak sedar sedang mengorbankan sebuah lagi keluarga yang sedang dibina bersama Herman.
Setiap keputusan Sarina dibuat tanpa penglibatan dan pengetahuannya,
Semua keputusan mesti mendahului keluarganya.
“Setiap kali dapat gaji, yang pertama isteri fikirkan bukan keperluan rumah tangga sendiri mahupun simpanan kami, tetapi keperluan ibu dan adik-adiknya.
“Bukan saya menyekat untuk isteri membantu keluarga, tetapi apabila peranan saya sebagai suami diketepikan, saya mula makan hati,” katanya.
Herman tidak pernah menjadi orang pertama yang dicari isteri apabila susah.
Dalam tempoh enam tahun perkahwinan mereka suami isteri sudah beberapa kali berbincang mengenai rumah tangga dan meluahkan perasaan terpendam.
Namun, jawapan diterima tetap sama. Dia dituduh cemburu dan tidak cuba memahami pengorbanan isteri terhadap keluarga.
Kata Herman, dia tidak meminta apa-apa daripada isteri, hanya mahu dfahami dan dihormati sebagai suami.
“Saya bukan mahu dilayan seperti raja. Cukuplah dia mengganggap saya suami yang berhak diberi ruang dalam hidupnya, dihargai dan dihormati. Bila meluahkan, saya pula dikatakan terlalu sensitif ,” katanya.
Kata Herman, selepas berkahwin, dia tidak pernah meminta isteri melupakan keluarganya.
Dia hanya mahu isteri seimbangkan tugas dan tanggungjawab sebagai isteri, anak dan kakak dalam keluarga.
Menurut Herman, dia tahu tempat ibu bapa tidak akan ada galang ganti. Dia cukup menghormati hubungan isteri dengan keluarga, tetapi dalam masa sama dia ingin ada tempat dalam hidup wanita dicintai itu.
Setiap hujung minggu, tanpa gagal isteri akan mengajak pulang ke rumah ibunya.
Awalnya dia cuba bertolak ansur, namun makin lama masalah makin kritikal.
Kalau ibu atau adik-adik minta pertolongan, isteri akan meninggalkan apa sahaja yang sedang dilakukan.
Pernah suatu hari, Herman mengajak isteri pergi bercuti. Apa yang mengejutkan, isteri menyatakan mahu merujuk ibunya dahulu.
Herman berasakan setiap keputusan dalam rumah tangga mereka ditentukan oleh orang lain.
Paling menyakitkan, isteri turut membawa masalah rumah tangga mereka ke pengetahuan ibu dan adik-beradiknya walaupun hanya pertengkaran kecil.
Rasa hormat adik ipar terhadapnya juga semakin menipis kerana isteri terlalu kerap berkongsi aib rumah tangga. Konflik semakin meruncing.
Hari demi hari, jurang hubungan antara Herman dan isteri semakin jauh.
Lebih-lebih lagi sepanjang perkahwinan, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Jadual kerjanya sebagai eksekutif di salah sebuah bank sangat ketat, sering balik lewat malam dan banyak tekanan.
Sementara Sarina semakin sibuk dengan ibu dan adik-adiknya.
Sampai satu tahap, Herman pernah terfikir mahu berpisah dengan isteri.
“Sudah berkali-kali saya cuba bersabar . Setiap kali rasa ingin marah, saya cuba pujuk hati, isteri adalah cinta pertama. Mana mungkin saya melepaskannya begitu sahaja,”katanya.
Tambahnya, dia masih bertahan sehingga ke hari ini, bukan kerana dia lemah atau dayus, tetapi dia masih sayangkan isteri.
Kisah Herman dan Sarina membuktikan cinta dalam rumah tangga bukan sesuatu yang kekal jika tidak dipelihara,
Cinta itu hidup dan perlu diberi perhatian dan dijaga dengan penuh hormat.
Suami isteri perlu saling belajar memahami, bukan hanya ketika bahagia, tetapi ketika susah.
Dalam rumah tangga juga, bukan tentang siapa yang menang tetapi bagaimana masing-masing berusaha untuk tidak kalah kepada ego.
Sesungguhnya, perkahwinan bukan hanya ikatan cinta, tetapi juga ibadah yang memberi ketenangan batin dan menyatukan dua insan.
Dalam al-Quran sendiri ada menyatakan tentang manusia diciptakan berpasang-pasangan.
“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah.” ( QS Az -Zariyat: 49).-UTUSAN










