PROF. Madya Dr. Zetty Norhana Balia Yusof bukan nama asing dalam dunia penyelidikan sains tempatan, malah disegani di peringkat antarabangsa kerana hasil kajiannya yang memberi manfaat kepada industri pertanian dan perikanan negara.
Lebih membanggakan, hasil kajiannya berkaitan mikro dan makro alga atau rumpai laut kini diguna pakai sebagai vaksin bagi mencegah penyakit ikan serta kelapa sawit.
Ketua Jabatan Biokimia, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekular, Universiti Putra Malaysia (UPM) ini menerima Geran Amanah Anugerah Merdeka pada 2017 bagi menjalankan kajian mengenai rumpai laut di Universiti Cambridge, United Kingdom (UK).
Projek beliau bertujuan meneroka rumpai laut Malaysia sebagai sumber berpotensi sebatian antikulat bagi mengawal penyakit reput batang basal dalam kelapa sawit.
“Minat terhadap penyelidikan alga bermula di peringkat ijazah sarjana muda lagi kerana ketika itu, saya terdedah kepada pelbagai jenis mikroorganisma dan mikroalga.
“Secara tidak langsung mendorong saya untuk menyelidik dengan lebih mendalam, terutama ketika menjalankan projek akhir yang membabitkan pelbagai aspek biologi molekular,” katanya kepada Seri.
Katanya, alga mempunyai potensi besar untuk meningkatkan kemampanan dan kecekapan dalam amalan pertanian moden.
Ia boleh digunakan sebagai sumber baja organik yang kaya nutrien di samping membantu meningkatkan kesuburan tanah tanpa bahan kimia sintetik.
“Selain itu, beberapa jenis alga memiliki sifat antiperosak yang membantu mengawal serangga dan patogen sekali gus mengurangkan keperluan untuk racun kimia.
“Alga juga mampu menyerap karbon dioksida selain boleh diproses menjadi biogas untuk bahan bakar bio atau makanan haiwan serta menyokong sistem pertanian mampan,” ujarnya.
CABARAN

Pengalaman sebagai penerima geran dan menjalankan penyelidikan selama tiga bulan di Universiti Cambridge, adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Makmal institusi itu dilengkapi dengan peralatan canggih yang membolehkannya melakukan eksperimen dengan lebih efektif.
Namun, beliau berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan sistem penyelidikan dan proses kerja yang berbeza dengan di Malaysia.
“Kadang-kala, rasa kesepian juga muncul ketika jauh dari keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Namun, setiap pengalaman, baik manis mahupun pahit, membentuk perspektif saya sebagai seorang penyelidik dan menambah nilai kepada perjalanan akademik saya.
“Pengalaman manis pula, saya dapat bergabung dengan kumpulan penyelidik yang berbakat dan mendalami pemikiran inovatif mereka. Banyak perbincangan yang membina dan saya menerima maklum balas yang sangat berharga untuk perkembangan penyelidikan,” katanya.
Zetty Norhana Balia bersyukur kerana keluarga, terutama ibu bapa dan suami, memberikan sokongan yang luar biasa sepanjang perjalanan kerjayanya.
Sokongan moral yang tersayang membantu dirinya menghadapi pelbagai cabaran dalam dunia penyelidikan dan akademi.
“Mereka memahami komitmen yang diperlukan dalam bidang sains dan sentiasa menyokong usaha saya untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Mengurus masa antara kerjaya dan keluarga satu cabaran, tetapi saya cuba mengekalkan keseimbangan yang sihat.
“Saya menetapkan jadual yang mantap dan berusaha untuk merancang aktiviti harian supaya dapat memberi perhatian yang secukupnya kepada kerja dan keluarga. Salah satu cara yang saya lakukan adalah dengan mengutamakan tugas-tugas penting dan meluangkan masa berkualiti dengan keluarga, terutama pada hujung minggu atau ketika waktu rehat, “ katanya.
Komunikasi yang baik dengan keluarga juga membantu dalam urusan masanya.
Justeru, wanita ini sering berbincang mengenai rancangan dan komitmen kerjaya bagi memastikan keluarga memahami tekanan yang mungkin dihadapi.
“Jika anda menunjukkan prestasi yang baik, peluang untuk maju ke depan lebih besar. Sebagai seorang wanita, jika anda benar-benar berkomitmen dan bekerja keras, tiada halangan yang ketara yang harus dihadapi berbanding dengan rakan-rakan lelaki.
“Persepsi saya berkembang selama bertahun-tahun. Saya meletakkan kepercayaan kuat kepada prinsip ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.
“Ini memberi saya motivasi untuk terus berusaha dan membuktikan wanita boleh berjaya dalam bidang sains tanpa mengira cabaran yang mungkin wujud. Saya percaya kejayaan pada usaha dan dedikasi individu, bukan semata-mata pada jantina,” katanya.
Rancang tubuhkan syarikat
Berkongsikan perancangan masa hadapan, Zetty Norhana Balia mahu melanjutkan kajian ke dalam formulasi dan pembangunan produk berdasarkan penemuannya.
“Kami juga sedang mempertimbangkan kemungkinan menubuhkan syarikat untuk mengkomersialkan produk-produk ini dalam masa terdekat. Kajian yang sedang dijalankan ketika ini tertumpu kepada pengujian keberkesanan formulasi alga dalam pelbagai kondisi tumbuhan dan pemantauan kesannya terhadap hasil pertanian dan kesihatan tanah.
“Menerusi semua kemajuan ini, saya sangat teruja untuk melihat bagaimana penyelidikan kami boleh memberikan impak positif dalam industri pertanian dan seterusnya kepada masyarakat secara keseluruhan, “ katanya.
Aktif sokong wanita dalam sains
Figura ini aktif dalam beberapa inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing dan menyokong wanita dalam sains.
Tumpuan utamanya mencipta peluang untuk pelajar sarjana muda, terutamanya wanita muda untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa sekali gus membuka peluang yang lebih besar.
“Saya melancarkan program yang memudahkan penghantaran pelajar ke luar negara seperti menganjurkan Program Mobiliti ke universiti di Thailand.
Program ini membolehkan pelajar menjalani penyelidikan pendek, selain meneroka persekitaran berbeza.
Ia juga bertujuan menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan dan berfungsi sebagai duta untuk Malaysia.
“Selain itu, saya menyokong Merdeka Award Grant for International Attachment sebagai platform yang sangat baik bagi pelajar Malaysia, terutama wanita, untuk mengejar peluang di institusi luar negara.
“Geran ini bukan sahaja memperluas pandangan tetapi juga membantu mereka menemui pelbagai peluang yang mungkin tidak tersedia di dalam negara,” katanya.
Katanya, dengan menggalakkan pelajar, terutamanya perempuan untuk memohon geran ini, Zetty Norhana Balia mahu membina keyakinan anak muda boleh membawa pulang pengalaman yang berharga untuk menyumbang kepada komuniti saintifik tempatan.
Inisiatif ini diwujudkan bukan sahaja untuk tujuan peribadi tetapi menaikkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada individu yang sedang mempertimbangkan untuk memohon Geran Merdeka supya tidak teragak-agak dan segera mencuba.
Setiap penyelidikan yang dilakukan, tidak kira hasilnya, pasti akan mendatangkan faedah, bukan hanya kepada diri sendiri tetapi juga kepada komuniti, negara, bahkan di peringkat global.
“Sentiasa ingat bahawa setiap kejayaan bermula dengan langkah pertama. Jadi, mulakanlah usaha anda dari sini. Peluang seperti ini mungkin tidak muncul lagi di masa hadapan, jadi manfaatkanlah peluang yang ada dengan sebaiknya.
“Jangan takut untuk mencuba kerana apa yang mungkin terhasil daripada penyelidikan anda boleh membawa impak positif yang besar dan memberi inspirasi kepada orang lain,“ katanya.-UTUSAN










