FESTIVAL Mango & Agricultural Industry (Permai) 2025 yang berlangsung selama tiga hari dari 2 sehingga 4 Mei di dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini meriah dengan sasaran lebih 50,000 pengunjung dari seluruh negara.
Penganjuran festival anjuran kerajaan negeri dengan gabungan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) serta Festival Mangga Harumanis Negeri Perlis yang telah dijenamakan semula itu sarat pelbagai pengisan program menarik dan unik.
Ia juga bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Hari Keputeraan baginda bulan ini.
Beberapa pecahan segmen disediakan buat pengunjung antaranya melibatkan laman harumanis, laman mekanisasi, laman flora dan pameran ternakan.
Festival itu mengetengahkan keunikan harumanis Perlis di samping memperkenalkan inovasi produk dihasilkan menggunakan buah ikonik itu.
Antara aktiviti menarik lain seperti demonstrasi masakan berasaskan harumanis, pertandingan memasak cef cilik, pertandingan menyediakan laksa utara, forum bicara agama dan pertandingan pakaian tercantik bermotifkan harumanis.
Pengunjung juga boleh menonton persembahan wayang kulit Asun selain menyertai aktiviti senamrobik, pertandingan gubahan pencuci mulut berasaskan harumanis, pertandingan ayam tercantik dan banyak lagi.
Aktiviti yang dijangka mencuri tumpuan seperti pameran haiwan ternakan dan petting zoo, jualan usahawan, pameran teknologi dan jentera dan jualan anak pokok Harumanis Perlis.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail berkata, penganjuran Festival Permai 2025 selama tiga hari yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri sekali gus membuka peluang mempromosi harumanis.
“Orang ramai berpeluang membeli harumanis gred premium yang dijual di gerai-gerai jualan yang disediakan.
“Festival tersebut juga disertai 100 usahawan melibatkan pelbagai jualan termasuk makanan dan minuman,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Perasmian festival berkenaan akan disempurnakan oleh Tuanku Syed Sirajuddin malam ini dan turut berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan
Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Terdapat juga laman flora yang dihiasi dengan pelbagai bunga dan tanaman herba menarik.
“Penganjuran kali ini turut menampilkan kelainan tersendiri apabila menawarkan seekor lembu sebagai hadiah utama bagi sesi cabutan bertuah,” katanya.
Rahimi berkata, tujuan utama penganjuran Festival Permai 2025 adalah sebagai usaha bagi menghargai sumbangan penternak, peladang dan nelayan di samping memberikan pengiktirafan anugerah buat pihak terlibat.
Katanya, pelaksanaan festival itu juga berupaya menjadi pemangkin mempromosi Harumanis Perlis yang sememangnya ikonik dengan negeri ini.
“Ini membuka peluang buat pengusaha buah ini untuk memasarkannya hasil tanaman mereka buat pengunjung secara meluas,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang bagi bersama-sama memeriahkan Festival Permai 2025 yang padat dengan pengisian aktiviti menarik.-UTUSAN