Sentuhan Madina cipta perhiasan perkahwinan diraja

Sentuhan Madina cipta perhiasan perkahwinan diraja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi seorang pereka perhiasan, tiada yang lebih membanggakan daripada diberi peluang untuk menghasilkan karya yang bukan sahaja mencerminkan keindahan seni, malah menjadi sebahagian daripada sejarah bermakna.

Itulah yang dirasakan pengasas Madina Jewel, Madina Yahya, 45, apabila menerima tawaran eksklusif untuk menyediakan set perhiasan bagi majlis perkahwinan anakanda ketiga Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

Amanah besar tersebut, bukan sahaja mengangkat namanya dalam arena seni reka perhiasan tempatan, tetapi turut membuktikan bakat anak Malaysia mampu bersinar setaraf pereka antarabangsa.

Selama lebih dua dekad berkecimpung dalam industri ini, beliau sering memasang impian untuk menghasilkan rekaan perhiasan ikonik, satu karya yang akan diingati selamanya.

Namun, tidak pernah terlintas dalam fikirannya, impian itu diterjemahkan dalam bentuk projek perkahwinan diraja.

Ketika tawaran itu disampaikan, Madina berkongsi rasa terujanya, namun menganggapnya sebagai tanggungjawab besar.

Tambahan pula, ini merupakan kali pertamanya menerima tugasan yang agak mencabar.

Hal itu kerana, setiap rekaan perlu melalui beberapa peringkat kelulusan, dan harus bersedia untuk menerima perubahan di saat akhir.

Paling penting, perhiasan yang akan dipakai pasangan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah iaitu Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, itu akan turut menjadi perhatian tetamu diraja dan media.

Kata Madina, masa yang diberikan untuk menyiapkan segala perhiasan yang diminta hanyalah dalam tempoh dua bulan.

Dalam dunia perhiasan mewah, dua bulan adalah masa yang sangat singkat, terutama apabila melibatkan kerja tangan halus dan disesuaikan mengikut tubuh si pemakai.

Di sebalik tempoh singkat, namun Madina berjaya merealisasikan impian dan keinginan mempelai.

Keutamaannya adalah untuk memastikan reka bentuk hiasan eksklusif itu selari dengan tema majlis perkahwinan.

Seterusnya, beliau berharap sentuhan istimewa itu akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada detik bersejarah pasangan diraja tersebut.

“Kebanyakan yang melihat perhiasan Tengku Natasha, menyangka ia berjenama mahal dari luar negara.

“Sebagai anak Malaysia, saya berbangga dapat menghasilkan rekaan yang eksklusif dan ikonik” katanya kepada Seri.

Ujarnya, kepercayaan diberikan itu merupakan penghormatan besar dalam kerjayanya sebagai pereka perhiasan dan harus dibalas dengan komitmen sepenuhnya, bukan dengan sambil lewa.


Mahu anak teruskan legasi

Madina mahu legasi perniagaanya diteruskan anak-anak dan tidak terhenti begitu sahaja.

Besar harapannya agar anak sulung yang berusia 23 tahun mewarisi seni pembuatan barangan perhiasan.

Dalam masa sama, mempelajari kemahiran mencipta aksesori, satu seni halus yang kian dilupakan dan kurang dikuasai oleh anak tempatan.

“Di Malaysia, masih kurang bakat yang memiliki kepakaran dalam bidang ini.

“Oleh itu. ramai terpaksa mendapatkan khidmat pakar dari negara jiran untuk menghasilkan aksesori yang benar-benar berkualiti dan unik,” katanya.

Baginya, memupuk minat dan kemahiran anak-anak dalam bidang yang telah lama diterokai itu adalah satu bentuk pelaburan masa depan.

Bukan sahaja untuk perniagaan, tetapi juga dalam memelihara khazanah seni yang semakin terpinggir.

Sokongan Tun Rahah
Sementara itu, Madina amat menghargai sokongan dan bantuan srikandi negara, Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah dalam perniagaannya.

Katanya, Rahah merupakan pelanggan setia arwah bapanya yang juga peniaga perhiasan, sebelum beliau membuka perniagaan sendiri.

“Arwahlah yang banyak memperkenalkan jenama saya kepada kalangan kenamaan disebabkan kagum dengan sentuhan dan rekaan saya.

“Ini sekali gus, menjadikan jenaman Madina Jewel popular dan dikenali ramai.

Dalam dunia seni reka perhiasan, nama Madina semakin dikenali sebagai penerus warisan seni halus yang bukan sahaja memukau mata, malah menyentuh hati.

 

Tip pakai perhiasan
Berkongsi mengenai pemakaian barangan perhiasan yang betul, Madina berkata, kunci utama adalah kesederhanaan dan kesesuaian dengan pakaian yang dipakai.

Beliau menekankan pentingnya untuk memilih perhiasan yang tidak terlalu berlebihan, tetapi cukuplah sekadar untuk menonjolkan gaya.

Beliau berpendapat, setiap perhiasan harus melengkapi penampilan keseluruhan tanpa mengambil alih perhatian daripada pakaian utama.

Madina turut menekankan tentang pentingnya keselarasan warna dalam memilih perhiasan yang sesuai.

“Warna emas atau perak klasik adalah pilihan yang mudah dipadankan dengan hampir segala jenis pakaian.

“Namun, warna perhiasan yang lebih cerah atau bertatahkan batu permata haruslah dipilih dengan lebih teliti untuk memastikan ia menyatu dengan keseluruhan penampilan,” katanya.

Beliau yakin setiap individu mampu menggunakan barang perhiasan untuk menyerlahkan kecantikan dan keanggunan diri tanpa perlu berlebihan.

Katanya, ia bukan sekadar soal aksesori, tetapi cara untuk menonjolkan personaliti dan keunikan gaya setiap orang.

Terbaharu, wanita ini memperkenalkan koleksi terkininya iaitu Fiore Melissa Silver, dengan menampilkan gabungan elegan perak yang berkualiti tinggi dan batu permata terpilih.

Beliau yakin rekaan terbaru itu, menampilkan simbol kemewahan dan akan kekal relevan sama ada untuk pemakaian harian mahupun majlis khas, sesuai bagi si pemakainya yang masih muda.

Katanya, setiap item baru itu, sama ada gelang, rantai mahupun cincin, direka dengan ketelitian tinggi bagi memastikan setiap satu menyerlahkan keanggunan si pemakai.

Koleksi ini bukan sekadar perhiasan, tetapi lambang kehalusan seni dan rasa eksklusif yang sesuai untuk mereka yang menghargai kecantikan dalam perincian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×