Pertama kali melihat kediaman ini, mata hanya tertancap pada dekorasi di bahagian tangga.
Tangga yang dihias indah dengan mozek ala Sepanyol menjadi tarikan utama kediaman milik Penasihat Undang-Undang Kanan, Diyana Azahar ini.
Dekorasi tangga inspirasi Sepanyol itu menjadi pilihan kerana beliau gemarkan seni binanya yang penuh dengan estetika.
Istimewanya, hiasan dalaman ini turut menggabungkan gaya rumah ladang Amerika bagi meneutralkan sentuhan Sepanyol yang sinonim dengan warna-warna terang.

“Hiasan dalaman ini adalah kombinasi gaya Sepanyol dan rumah ladang Amerika yang mengetengahkan konsep indoor-outdoor di samping penyelenggaraan yang mudah.
“Saya memang suka seni bina Sepanyol, namun, bagi meneutralkan warnanya yang agak terang dan menonjol, kami memilih untuk mencampurkan elemen rumah ladang yang banyak menggunakan tona tanah.
“Reka bentuk rumah ini dan hiasan dalaman memang kami buat sendiri. Pembinaan rumah ini mengambil masa selama setahun setengah walaupun terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kami berada di Abu Dhabi ketika itu. Jadinya, proses pembinaan rumah ini dipantau dari jauh,” katanya kepada Seri.
Keseluruhan ruang tampil nyaman walaupun rekaan pada tangga agak sarat kerana keseluruhan sudut dilatari dengan rona-rona lembut.
Rumah banglo seluas 5,000 kaki persegi ini juga penuh dengan ciri-ciri estetika pada setiap perabot dan aksesori dari ruang tamu hinggalah ke bahagian dapur.
Pemilihan sofa rona lembut, kerusi meja makan ala rotan dan material kayu menyatu dengan sempurna dan memercikkan gaya elegan tersendiri.
Elemen yang menarik di kediaman ini selain tangga adalah pintu besi, faux fireplace dan dapur yang ditatarias dengan konsep rumah ladang.
“Konsep ini bersesuaian dengan cara hidup kami yang suka ketenangan dan ada ruang untuk tetamu.
“Pemilihan material tahan lama untuk jangka masa panjang, contohnya aluminium bagi kabinet dapur, lantai mozek corak kayu sesuai dengan konsep penyelenggaraan yang mudah tanpa mengetepikan nilai estetik yang diinginkan,” katanya.











