PETALING JAYA: Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris, terkilan apabila ramai komposer muda lebih gemar menghasilkan material lagu tradisional menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Ujar Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani yang kini sedang mencari material untuk karya terbaharu menegaskan, sentuhan manusia menjadi elemen penting untuk memastikan sesuatu lagu itu mempunyai roh.
”Bukan apa, saya ini sedang mencari lagu dari komposer baharu tapi mereka suka guna AI.
“Bukan tidak boleh, kalau sekadar untuk mencari idea kreatif itu okay. Tetapi sebagai manusia, kita perlu menambah nilai kepada idea tersebut supaya ia memiliki ‘human feel’ (sentuhan manusia).
“Itu yang paling penting dan itulah yang saya maksudkan,” katanya ketika memberi komen balas seorang peminatpeminat.
Dalam pada itu, penyanyi Dikir Puteri ini percaya industri muzik tanah air sebenarnya tidak ketandusan bakat besar, ramai yang boleh melakukan gubahan lagu dan susunan muzik irama Malaysia dengan baik.
“Kita ada ramai komposer dan arranger (penggubah) yang hebat di Malaysia ini.
“Cuma kita kena rajin mencari. Janganlah terlalu selesa dengan bantuan teknologi sehingga meminggirkan kepakaran manusia yang sedia ada,” katanya. -UTUSAN










