Kembara sebulan di India kerana 3 Idiots

Kembara sebulan di India kerana 3 Idiots

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA menonton babak akhir filem Bollywood, 3 Idiots, pandangan wanita ini terpaku pada panorama luar biasa, Tasik Pangong Tso

Sejak itu, bayangan tasik air masin di kawasan pergunungan Ladakh, utara India, terus bermain di fikiran Rohaniah Jahron, 47, seolah-olah memanggilnya datang.

Tertawan dengan keunikan tasik yang berubah warna, dia akhirnya membuat keputusan besar untuk terbang ke sana pada 2017 bersama dua rakan baik.

Terletak di ketinggian melebihi 4,300 meter dari paras laut, tasik ini kadangkala berwarna biru jernih, hijau zamrud atau kelabu, mengikut perubahan cuaca dan langit.

“Saya tak sangka tasik ini benar-benar wujud seindah dalam filem. Peluang menyaksikannya di depan mata membuatkan saya rasa tenang dan damai,” kongsinya kepada Seri baru-baru ini.

Panorama memukau itu sekali gus mengubah persepsinya terhadap India, yang selama ini sering dikaitkan dengan kesesakan, pencemaran dan kekotoran.

Hakikatnya, negara itu menyimpan banyak permata tersembunyi, malah keindahan alam semula jadinya jauh melebihi cerita-cerita negatif yang sering dimomokkan.

Untuk ke Pangong Tso, Rohaniah memilih menunggang motosikal berbanding menyewa jeep kerana harganya yang rendah.

Namun cabarannya, motosikal yang disediakan bukan seperti kapcai di Malaysia, sebaliknya jenis manual dengan gear jungkit.

“Saya memang biasa bawa motosikal, tetapi bila tengok model yang disediakan, terus panik. 

“Gearnya lain, ada sistem jungkit ke atas dan ke bawah, namun demi berjimat, saya gagahkan juga.

“Nasib baik pemilik kedai beri peluang saya berlatih sampai dia yakin untuk sewakan,” ceritanya.

Hanya belanja RM2000

Rohaniah turut menjelajah beberapa lokasi lain sepanjang sebulan kembaranya di bumi India dengan berbekalkan wang tunai RM2,000 sahaja.

Pengembaraannya bermula di Delhi, kota metropolitan yang padat, namun kaya dengan sejarah. 

Dia kemudian ke Agra untuk menyaksikan Taj Mahal yang merupakan lambang cinta abadi pujaan dunia sebelum ke Kashmir dan Ladakh.

Destinasi terakhirnya adalah di Manali dan Amritsar

“Konsep kembara saya sangat bajet. Untuk jimat, saya makan roti nan dan chai hampir setiap hari. 

“Ia murah dan cukup mengenyangkan. Malah saya terikut-ikut budaya tempatan yang memang gemarkan kombinasi tu,” katanya.

Bagi wanita kelahiran Jengka, Pahang ini, setiap pengembaraan bukan sekadar menambah koleksi gambar, tetapi peluang mendalami budaya, sejarah dan kehidupan masyarakat setempat.

Cintanya terhadap India tidak terhenti di situ, selepas lawatan pertama pada 2017, dia kembali lagi pada 2023 dan 2024.

Kali ini dengan menjelajah selatan India pula, khususnya di Chennai dan Bangalore.

“India bukan sekadar destinasi pelancongan, tetapi sebuah pengalaman. 

“Di sebalik lokasi-lokasi yang dianggap kotor, masih banyak tempat indah lain, malah ada sungai jernih yang airnya boleh diminum terus,” ujarnya yang turut menulis buku travelogue bertajuk Backpack India 4 Idiots.

Lawat Gunung Berapi Sinabung 

Pengalaman paling epik dalam kembaranya ialah menyaksikan Gunung Berapi Sinabung di Kabupaten Karo, Sumatera Utara, Indonesia pada 2014.

Detik tersebut menjadi titik tolak terbesar dalam hidup Rohaniah kerana buat pertama kalinya dia mengembara secara solo.

Keputusan berani diinspirasikan daripada filem The Secret Life of Walter Mitty, lakonan Ben Stiller.

Dalam filem itu, watak Walter berubah daripada seorang lelaki biasa kepada pengembara luar biasa demi menjejaki jurugambar legenda. 

Salah satu babak ikonik apabila Walter berlari menyelamatkan diri ketika gunung berapi Eyjafjallajökull meletus di Iceland.

“Saya begitu terinspirasi selepas menonton filem tersebut dan kebetulan saya terbaca tentang letusan Gunung Sinabung. 

“Tanpa berfikir panjang, saya nekad ke sana demi merasai pengalaman sama seperti Walter Mitty,” ceritanya.

Perjalanan itu bukan sahaja membuka mata Rohaniah, tetapi menjadi simbol transformasi hidupnya dari zon selesa ke satu dunia penuh cabaran dan kemungkinan baharu.

Kereta api ‘bergoncang’ di Myanmar

Setahun kemudian, semangat kembara solonya terus menyala apabila dia memilih Myanmar sebagai destinasi seterusnya.

Selama seminggu, dia menjelajah Yangon, Bagan dan Tasik Inle dengan menaiki pelbagai pengangkutan awam.

Antaranya, kereta api kelas ketiga, walaupun ia pilihan bajet tetapi memberi pengalaman tidak ternilai.

“Kenangan paling lucu dan tidak dapat dilupakan ialah ketika menaiki kereta api dari Yangon ke Bagan. 

“Tren itu bergoncang sangat kuat sehingga kami rasa seperti ‘melambung’ dari tempat duduk!” katanya sambil ketawa.

Namun bukan semua urusan Rohaniah berjalan lancar dan dia pernah melalui insiden cemas apabila wang kertas miliknya tidak diterima gara-gara menggunakan rekaan lama. 

Ketika itu, satu-satunya tunai yang tinggal hanyalah AS$10 dan percubaannya mengeluarkan wang dari ATM juga gagal.

“Saya tiada pilihan lain selain menjual magnet peti ais yang saya bawa sebagai cenderamata kepada seorang pengembara dari United Kingdom (UK). 

“Nasib baik dia sudi membelinya dan dengan wang itu saya dapat beli tiket pulang ke Yangon,” katanya mengimbau pengalaman itu.

Jejak drakula di Romania

Setelah menjejakkan kaki ke banyak tempat menarik di Asia, kembara solo Rohaniah diteruskan ke Eropah timur termasuk Bulgaria, Romania, Moldova dan Transnistria. 

Kembara pada 2022 itu mengambil masa selama 39 hari dan membawanya meneroka warna-warni budaya, kisah mitos dan keindahan dunia yang jarang disentuh pelancong arus perdana.

Menurutnya, kesemua negara yang dilawati itu memiliki satu persamaan — keaslian yang masih terpelihara dan kurang dijejaki pelancong.

Di Romania, tarikan utama yang dinanti-nantikan Rohaniah ialah Istana Bran, yang sering dikaitkan dengan legenda ikonik drakula. 

Terletak megah di puncak bukit dalam daerah Transylvania, istana bersejarah ini menyimpan kisah tentang Vlad the Impaler

Vlad merupakan tokoh sejarah yang dikatakan menjadi inspirasi kepada watak drakula ciptaan Bram Stoker.

Bukan itu sahaja, perunding hartanah dan takaful ini turut menjejakkan kaki ke Transnistria, sebuah wilayah terpencil yang tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara, namun menyimpan keunikan tersendiri. 

Terletak di sempadan timur Moldova dan bersempadan dengan Ukraine, wilayah itu menawarkan pengalaman seakan kembali ke era Soviet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×