Sugar glider, haiwan bermata besar, bertubuh kecil namun bersifat lincah, kini mula menjadi tarikan para pencinta haiwan eksotik, untuk dijadikan haiwan peliharaan.
Antara yang turut terpikat dengan kecomelan haiwan itu ialah Nur Sharifah Zahari, 20.
Kali pertama dia melihat sugar glider ketika berkunjung ke rumah kawan yang memelihara haiwan berkenaan.
Ekoran sering menceritakan minatnya pada haiwan itu kepada keluarga, bapanya kemudian menghadiahkan sugar glider sempena hari lahirnya pada 2020, lantas diberi nama Bobi.
Spesis haiwan ini yang boleh didapati di hutan negara seperti Indonesia, kepulauan Papua New Guinea dan Australian, mempunyai keunikan di mana boleh terbang dan hanya aktif di waktu malam.
Di sebalik kecomelan haiwan tersebut, proses penjagaannya memerlukan dedikasi dan komitmen tinggi.
“Pada awalnya, saya berdepan cabaran untuk memahami diet yang seimbang dan keperluan lain Bobi kerana ia berbeza dengan haiwan peliharaan biasa,” katanya kepada Seri.
Sehubungan itu, Nur Sharifah turut melakukan kajian dan bertanya kepada komuniti pemilik bagi mendapatkan tip penjagaan yang betul.

“Diet sugar glider ialah buah-buahan segar, protein dan suplemen kalsium, namun harus berhati-hati dengan makanan yang diberikan agar tidak rosak, kerana perut haiwan ini sangat sensitif,” katanya.
Selain itu, aspek kesihatan juga menjadi keutamaan kerana sugar glider mudah terdedah kepada penyakit jika tidak dijaga dengan betul.
“Adalah amat penting untuk memahami bahasa tubuh haiwan ini. Jika mereka kurang aktif atau kehilangan selera makan, itu mungkin petanda mereka sakit,” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya, sugar glider merupakan haiwan yang sangat bersosial terutama dengan pemiliknya.
Katanya, Bobi bertambah ceria dan selesa, jika dia sentiasa di rumah .
“Selepas bermain, selalunya, Bobi tidur di dalam poket saya,” katanya.
Bagi mengetahui sama ada Bobi dalam keadaan yang selesa dan selamat, ia sering mengeluarkan bunyi kecil lalu menjilat jari sebagai tanda kasih sayang pada sesiapa saja yang memegangnya.
Walaupun personaliti Bobi kurang untuk mengeluarkan suara, ia, menunjukkan kepercayaannya dengan sentiasa terbang dan melekat di bahu saya sepanjang hari.
Genap lima tahun, memelihara Bobi, Nur Sharifah tidak menyesal dengan keputusannya, malah mendapat pujian kerana berjaya menjaga haiwan tersebut dalam tempoh agak lama.
Baginya, Bobi bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi sebahagian daripada keluarga yang menambahkan keceriaan hidup mereka.
Bukan itu sahaja. Bobi juga menjadi penawar masalah anxiety atau kebimbangan yang dihadapi ketika mula menginjak remaja yang membuatkan dirinya kurang bersosial dengan orang lain.
“Bobi membawa kegembiraan dan menemani saya setiap hari. Saya berharap lebih ramai orang memahami keperluan sebenar sugar glider sebelum memutuskan untuk memeliharanya,” katanya.
Ujar Nur Sharifah, dengan penjagaan yang betul, sugar glider boleh menjadi sahabat setia untuk jangka masa panjang. – UTUSAN










