AMALAN pemakanan sunnah bukan sahaja baik untuk tubuh badan, malah dapat menjadikan kulit seseorang lebih cantik.
Perkara itu diakui oleh kakak kepada ratu rock negara, Jojie atau nama sebenarnya Rozita Aminuddin.
Buktinya, di usia menginjak 60 tahun, wanita ini masih tetap jelita, bertenaga dan ceria setiap masa.
Katanya, rahsia awet muda dan bertenaganya selama ini adalah menerusi amalan pemakanan sunnah sejak kecil.
“Ayah saya berketurunan Arab, jadi kami sekeluarga sudah biasa makan kurma, safron dan habbatus sauda setiap hari.
“Makanan-makanan sunnah ini banyak khasiatnya kepada kesihatan dan kecantikan kita jika dijadikan amalan rutin dalam kehidupan.
“Kesannya saya dapat lihat apabila kawan-kawan seusia sudah ramai yang sakit, tetapi alhamdulillah kesihatan saya masih baik tanpa sebarang penyakit,” katanya ketika pelancaran Semanis baru-baru ini.

Jojie terpanggil untuk mengeluarkan produk minuman kesihatan dan kecantikan berasaskan makanan sunnah itu bagi menggalakkan masyarakat menjaga kesihatan serta kecantikan.
Katanya, ia mengandungi campuran vitamin C dengan ekstrak blueberi, yis torula, kulat putih, habatus sauda dan halia.
“Disebabkan ramai yang bertanya rahsia awet muda, maka saya hasilkan ramuan khas ini berdasarkan makanan-makanan sunnah yang menjadi kegemaran selama ini,” katanya yang memiliki berat 52 kilogram.
Ujarnya lagi, Ella merupakan individu pertama yang mencuba Semanis dan masih meneruskan pengambilannya hingga kini.










