11 destinasi menarik dikunjungi sekitar Alor Setar

11 destinasi menarik dikunjungi sekitar Alor Setar

Terdapat pelbagai jenis barang dijual di Pekan Rabu daripada pakaian, cenderamata, aksesori, kelengkapan rumah sehingga makanan tradisional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR Setar unik, bukan semata-mata merupakan ibu negeri tertua di Malaysia namun bentuk muka bumi bandar raya yang merangkumi laut, gunung, sungai sehingga daratannya yang saujana memandang dari jelapang padi sehingga ke bangunan pencakar langit.

Lantas, tidak keterlaluan diandaikan bahawa daripada segi pelancongan, bandar raya ini menyajikan banyak lokasi menarik dan hebat termasuk daripada segi nilai sejarahnya.

Hasratkan apa jua, anda akan menemukan jawapan di Alor Setar untuk dinikmati dan sempena Tahun Melawat Kedah 2025, aura negeri jelapang padi ini lebih menyerlah.

1. MASJID ZAHIR dan MASJID AL BUKHARY

Masjid Zahir yang berusia 113 tahun merupakan masjid ikonik negeri ini dan tercatat sebagai salah satu masjid tertua di negara ini.
Bukan itu sahaja keindahan masjid ini masih terserlah dan menjadi bualan seantero dunia sehingga ia dimasukkan dalam senarai sebagai salah satu
daripada 10 masjid tercantik dunia di samping Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah Arab Saudi serta Masjid Al Aqsa di Palestin.
Keindahan seni bina masjid ini yang diadaptasi daripada Timur Tengah ilham Almarhum Tuanku Mahmud Sultan Ahmad Tajuddin yang juga adinda
kepada Sultan Kedah ke-26, Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah kerana baginda seorang yang dekat dengan alim ulama serta menginginkan
keindahan itu kekal diwarisi zaman berzaman.
Tidak ketinggalan, Masjid Al Bukhary yang memiliki keistimewaan terutama daripada segi reka bentuk menara masjid yang berdasarkan seni bina menara Masjid Nabawi di Madinah dengan ketinggian 47.92 dari paras tanah.
Ciri lain Masjid Albukhary, seni reka mimbarnya yang diperbuat daripada kayu jenis Burma Teak dan senibinanya diadaptasi daripada replika mimbar di Masjid Qiblatan Madinah dan mimbar Mamluk di Masjid Qaitbay Kaherah di Mesir.
Senibina kolam dan laluan air yang berbentuk geometri di dataran masjid ini diinspirasi daripada Makam Imam Albukhary di Samarkhan Uzbekistan yang diperindah dengan reka bentuk pintu gerbangnya daripada Asia Tengah zaman Timurid.

2. ISTANA SEPACHENDERA


Ingin melihat bukti cinta seorang lelaki kepada permaisurinya seperti Taj Mahal? Alor Setar Istana Sepachendera yang dikhabarkan dibina Sultan Kedah ke-25, Sultan Abdul Hamid Halim Shah, ketika era pentadbirannya pada 1882 hingga 1943.
Bangunan ini dibina oleh Sultan Abdul Hamid untuk isterinya, Che Sepachendera yang dikatakan berasal dari
Siam. Sultan Abdul Hamid dikatakan menggunakan sejumlah manisan lebah dan putih telur yang dicampur bersama bancuhan simen, dipercayai untuk menguatkan lagi struktur dinding bangunan istana.

3. RUMAH MERDEKA TUNKU ABDUL RAHMAN
Rumah ini terletak di tapak asal rumah bonda bekas Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang dimasyhurkan sebagai Bapa Kemerdekaan yang kemudian dihadiahkan kepada Tunku.
Rumah ini menyimpan banyak barang peribadi Tunku Abdul Rahman selain lokasi insiden bersejarah seperti rundingan awal untuk penamatan Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1963.

4. RUMAH MAKAN PERCUMA


Satu-satunya premis yang menyediakan makanan percuma kepada orang ramai di Kedah malah di negara ini.
Setiap hari lebih 600 pengunjung membanjiri Rumah Makan Percuma untuk menikmati makan tengah hari. Rumah Makan Percuma dimiliki oleh Bismi Empire Sdn. Bhd. yang diasaskan olehJaffri Ahmad yang juga merupakan anak jati Simpang Empat Alor Setar ini.

5. PANTAI LEMAN KUALA KEDAH
Walaupun merupakan pantai berlumpur namun lokasi ini kegemaran ramai untuk menikmati makanan laut yang enak sambil melayan matahari terbenam yang keindahannya tidak pernah mengecewakan.
Pantai Leman yang lebih indah sejak kebelakangan ini sempena TMK 2025 itu turut menjadi lokasi orang ramai santai bersama keluarga dan bergambar.

6. GUNUNG KERIANG


Gunung yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar raya ini pilihan mereka yang ingin menikmati keindahan alam dan kaki hiking. Gunung Keriang yang setinggi 217.92 meter dari paras laut itu merupakan bukit batu kapur purba yang berasal ratusan juta tahun. Gua di Gunung Keriang ini juga kaya dengan batu kristal yang banyak dijual di kaki gunungnya. Kunjungi gunung ini ketika musim padi menguning, jadi menyajikan pemandangan yang sangat indah.

7. JAMBATAN BESI KERETA API LAMA KAMPUNG KILAT
Jambatan ini juga menjadi saksi Alor Setar sebagai bandar bersejarah. Jambatan berusia 110 tahun ini wujud ketika pertempuran Perang Dunia Kedua dan pengakhiran pertempuran Jitra yang berakhir apabila tentera British berundur setelah kalah teruk.
Selain struktur jambatan yang masih kukuh, ia juga menarik dengan keunikan seni bina era kolonial. Jambatan ini menjadi pilihan untuk orang ramai bergambar termasuk pengantin baharu kerana keunikannya itu.

8. PEKAN RABU
Apa ertinya ke Alor Setar jika tidak ke Kompleks Pekan Rabu. Pekan Rabu tersergam indah dek kerana transformasi dan terbaharu
pada 2014 apabila kerajaan membina sepenuhnya bangunan baharu yang dikenali sebagai Kompleks Pekan Rabu di tengah bandar raya Alor Setar dengan kos RM55.5 juta.
Kompleks tersebut siap sepenuhnya pada 2018 yang mempunyai 350 premis di empat tingkat bangunan itu dengan ciri-ciri lebih moden dan selesa. Terdapat pelbagai jenis barang dijual di sini daripada pakaian, cenderamata, aksesori, kelengkapan rumah sehingga makanan tradisional.

9. KEDAH DIGITAL LIBRARY
Perpustakaan sepenuhnya digital ini dibuka pada Januari 2022 di Taman Jubli Perak yang berjaya membawa norma baharu kepada penduduk negeri ini.
Bukan sekadar dikelilingi dengan pohon yang menghijau, Kedah Digital Library itu menawarkan lebih sejuta bahan bacaan dalam bentuk e-book.

10. KAFE SANTAI D’SUNGAI DERGA


Kafe ini merupakan lokasi healing terbaharu di Alor Setar selain tempat orang ramai menjamu selera pelbagai jenis masakan daripada Thailand sehingga ke Barat. Lebih menarik, terletak bersebelahan dengan Sungai Derga, kafe ini turut menyediakan dua bot untuk mereka yang ingin menjamu selera sambil melayari sungai tersebut.
Pelayaran akan mengambil masa lebih sejam sambil menikmati keindahan alam terutama sawah yang sepanjang sungai tersebut.
Kafe ini menjadi pilihan bagi pengunjung bandar raya di samping puluhan kafe hipster yang menawan ramai terutama anak muda ketika ini.

11. KOPITIAM UKIR MALL
Kopitiam ini adalah yang menarik dan menjadi pilihan ramai terutama untuk bersarapan hingga ke makan tengah hari. Pelbagai jenis gerai dengan menu cita rasa kampung sehingga ke barat dan Thailand.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×