Hospital bukan rumah tumpangan warga emas

Hospital bukan rumah tumpangan warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua tiga hari lepas, saya acapkal ‘terserempak’ dengan hantaran media sosial petugas kesihatan.

Mereka mendakwa setiap kali tibanya musim cuti atau perayaan, ramai warga emas yang dihantar oleh anak-anak untuk dimasukkan ke hospital.

Ia seperti sudah menjadi satu trend saban tahun. Apabila waris dihubungi untuk mengambil ibu bapa yang sudah dibenarkan pulang, ada pula yang memberi alasan sedang bercuti dan berjanji akan jemput kemudian.

Jika benarlah dakwaan yang sedang membanjiri media sosial ketika ini, memang tidak patut.

Sudahlah sistem kesihatan negara ketika ini sudah hampir ‘nazak’, dibebani pula dengan perkara-perkara yang tidak patut.

Akhbar Utusan Malaysia beberapa hari ini tidak henti melaporkan betapa sistem kesihatan negara sedang bergelut dengan tenaga
pekerja.

Ada pesakit yang terpaksa menunggu untuk menerima rawatan di hospital selama 15 jam. Semuanya kerana pesakit makin bertambah tetapi doktor dan jururawat berkurang.

“Kenapa diterima masuk ke wad kalau warga emas itu tidak sakit?” Mungkin ada yang bertanya sedemikian.

Sudah namanya warga emas pastilah ada sakit di sana sini dan jika dihantar ke hospital pasti diterima untuk menjalani rawatan.

Cumanya, janganlah gunakan kemasukan ke wad sebagai tiket untuk lepas tangan sementara waktu.

Kasihan kepada ibu bapa terpaksa duduk di wad bersama ramai pesakit lain semata-mata kerana anak ingin berseronok tanpa gangguan.

Tindakan ini juga merisikokan kesihatan mereka.

Banyak rumah penjagaan warga emas yang menawarkan penjagaan secara harian, mingguan atau bulanan yang boleh dipertimbangkan.

Kalau ingin bercakap soal kos, bercuti juga memerlukan kos. Pasti sudah ada kira-kira sebelum bercuti, jadi tidak salah untuk masukkan juga kos penjagaan ibu bapa semasa ketiadaan anak-anak.

Jika ada adik-beradik, bincanglah penggiliran penjagaan dengan baik jika perlu meninggalkan ibu bapa sebentar. Kos pun lebih jimat.

Paling penting, jangan jadikan hospital sebagai rumah tumpangan untuk ibu bapa yang uzur.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×