Diuji anak sakit, suami pula curang

Diuji anak sakit, suami pula curang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hidup berumahtangga tidak selalu indah.

Pasti ada ujian, sama ada cabaran kewangan, masalah kesihatan atau kehilangan orang tersayang.

Perkahwinan yang bahagia, bukan tiada masalah, tetapi adanya suami isteri yang saling berusaha untuk menghargai, memahami dan menyayangi antara satu sama lain.

Bagaimanapun, untuk merealisasikan bukan hanya melalui kata-kata sahaja, tetapi juga perbuatan.

Minggu ini, saya kongsikan kisah Dahlia (bukan nama sebenar), seorang isteri yang pernah melalui fasa gelap dalam hidupnya apabila kehilangan anak-anak dan dikhianati suami.

Namun, menurut wanita berusia pertengahan 30-an yang saya temui baru-baru ini, di saat orang lain menyangka dia akan hilang arah, dia memilih untuk berdamai dengan takdir .

“Saya diceraikan selepas dua bulan anak-anak kami meninggal dunia. Bekas suami memberi alasan hatinya sudah tiada untuk saya dan dia sudah menemui cinta sejati,’’ katanya.

Menurut Dahlia, bukan dia tidak cuba mempertahankan rumah tangga mereka.

Namun, hari demi hari dia sedar lelaki itu makin menjauh.

Kebenaran paling menyakitkan, di saat dia berjuang untuk anak-anak, rupa-rupanya suami dalam diam curang.

Dahlia berkata, dia tidak pernah meminta pengorbanannya dibalas. Dia hanya ingin penghargaan, perhatian dan kasih sayang.

Sebagai seorang ibu, kehilangan dua orang anak hanya selang sebulan itu benar-benar menyedihkan.

Begitupun, wanita kelahiran Kuala Terengganu ini belajar menerima takdir .

“Saya cukup terkesan dengan kehilangan kedua-duanya, namun saya reda melepaskan. Tidak ada gunanya saya terus menangis dan meratapi kerana yang pasti mereka tidak akan kembali,” ujarnya bernada sedih.

Mengimbas kisah kedua-dua anak kesayangannya, Iwan dan Maliq (bukan nama sebenar) merupakan pasangan kembar berusia lima tahun.

Keduanya disahkan menghidap radang paru-paru atau pneumonia pada pertengahan Mei 2017.

KORBANKAN KERJAYA

Kata Dahlia, dia akur dengan permintaan suaminya, Razak (bukan nama sebenar), ketika itu agar berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada anak-anak.

Sejak itu, Dahlia melepaskan impian, meninggalkan kerjaya dan meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

Sepanjang tempoh itu, Dahlia memastikan segala keperluan Iwan dan Maliq dipenuhi.

Ini termasuk segala urusan membawa mereka mendapat rawatan di hospital.

Sementara suami sibuk dengan pekerjaan dan hanya sekali-sekala dapat menemaninya ke hospital.

Namun, takdir menentukan kedua-dua mereka meninggal dunia setahun selepas itu.

Menyambung cerita, kata Dahlia, ujiannya bertimpa lagi.

Di saat dia masih bersedih dengan pemergian kedua anak kembarnya itu, dia dikejutkan pula dengan pengakuan suami untuk berkahwin lagi.

Ini memberi tamparan hebat kepadanya yang selama ini meletakkan sepenuh kepercayaan kepada lelaki itu.

Kata Dahlia, pengakuan suaminya itu amat mengejutkan.

“Saya benar-benar tidak sangka selama ini telah ditipu hidup-hidup oleh suami sendiri.

“Dalam sibuk saya menjaga kedua-dua anak yang sakit di rumah dan berulang alik ke hospital, suami dalam diam bermain kayu tiga.

“Rupa-rupanya, wanita yang diperkenalkan sebagai rakan sepejabat dan sering melawat anak-anak di hospital adalah kekasih suami. Bahkan, wanita itu juga turut hadir semasa pengebumian anak-anak kami,” ujarnya.

Kata Dahlia, dia benar-benar tidak dapat menerima apa yang dilakukan suami terhadapnya.

Segala pengorbanannya selama ini hanya dipandang sebelah mata.

“Saya muhasabah diri. Mungkin saya terlalu sibuk menjadi ibu terbaik untuk anak-anak yang sedang sakit sehingga terlupa menjadi isteri kepada suami.

“Tetapi, adakah itu alasan untuknya berlaku curang. Sedangkan dia sendiri tahu saya yang menguruskan sendirian anak-anak di rumah dan di hospital.

“Suami ketika itu sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada pekerjaannya sebagai seorang pegawai di salah sebuah syarikat perbankan,” katanya.

Sambung Dahlia, walaupun hatinya remuk, dia memilih untuk membenarkan suami berkahwin lagi dengan harapan lelaki itu berlaku adil dan tidak mengabaikannya.

Namun, harapannya tidak kesampaian apabila suami mula melebihkan isteri keduanya sejak disahkan hamil.

“Saya bersabar dan cuba bersangka baik. Tetapi, pada penghujung tahun 2019, tiada angin, tiada ribut, suami melafazkan cerai talak satu kepada saya.

“Suami memberi alasan dia sudah tiada hati dengan saya’’ ceritanya.

Dahlia cuba mempertahankan perkahwinan mereka, namun lelaki itu tetap dengan pendirian.

Kata wanita tabah itu lagi, ketika dalam kesedihan, ahli keluarga dan kawan -kawan sentiasa ada memberi sokongan dan kata-kata semangat.

“Saya mula berhenti untuk terus menyalahkan diri sendiri dan menganggap ujian yang saya lalui bukanlah satu penderitaan, tetapi proses yang membentuk kekuatan dalam diri.

“Jika saya mampu melalui ujian kehilangan anak, saya yakin cukup kuat untuk kehilangan lelaki yang dicintai,” katanya.

Sejak diceraikan, Dahlia bangkit dan cuba mencipta kebahagiaan sendiri tanpa bergantung harap kepada lelaki bergelar suami.

Hikmah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi peluang kepada Dahlia memulakan perniagaan membuat kuih-muih tradisional dan menjualnya kepada penduduk setempat.

Dia memulakan perniagaan dari rumah ketika pandemik pada tahun 2020 atas dasar mahu mencari pendapatan sendiri dan meneruskan kehidupan selepas bergelar ibu tunggal.

Berkat kesabarannya, dia kini sudah mampu membuka kedai sendiri dan memilih untuk terus fokus kepada perniagaannya.

Kisah yang dikongsi minggu ini membuktikan, Dahlia bukanlah wanita yang biasa-biasa .

Dia pernah diuji dengan kehilangan anak-anak dan suami, namun dia memilih untuk reda dan bersabar.

Sifat sabar dan tidak berputus asa dalam menghadapi ujian ini dijelaskan dalam al -Quran yang bermaksud, “Hai orang-orang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar,”-(Al Baqarah 153).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×