Usia 10 tahun sudah mula jual lukisan

Usia 10 tahun sudah mula jual lukisan

Minat melukis mendorong Nor Fatisha Saari membuka studio lukis di Ipoh, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMASA di tingkatan lima, wanita ini pernah diejek ‘menconteng’ dinding sekolah gara-gara penglibatannya dalam projek mural.

Namun, ejekan itu tidak melunturkan semangat Nor Fatisha Saari, 38, untuk mengindahkan persekitaran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampang di Ipoh, Perak seperti diarahkan guru.

Istimewanya, mural bertemakan pemandangan dasar laut itu masih kekal menghiasi dinding kantin hingga kini, walaupun setelah lebih dua dekad berlalu.

“Ketika itu saya adalah pengerusi Kelab Seni Lukis dan cikgu meminta saya menyiapkan projek mural.

“Keseluruhan lakaran dibuat seorang diri selepas habis waktu sekolah hingga ada pelajar yang mengejek saya ‘menconteng’ dinding tanpa mengetahui projek yang saya lakukan,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Selain kantin, dia turut ‘menconteng’ dinding kelasnya. Kreativiti Nor Fatisha membolehkan ruangan itu tampak seperti dipasang kertas dinding, walaupun ia sebenarnya adalah lukisan.

Hasil sentuhannya turut membolehkan kelasnya meraih pelbagai anugerah keceriaan di sekolah saban tahun.

Menceritakan minatnya pada seni, katanya, ia diwarisi daripada bapa, Saari Ali, 71, yang merupakan pelukis dan pembuat kraftangan.

Malah, sejak usianya lapan tahun lagi, anak kelima daripada tujuh beradik ini sudah didedahkan dengan pelbagai teknik dan gaya lukisan.

Katanya, bapa gemarkan karya bertemakan pemandangan laut dan hutan yang dilukis pada piring sebagai produk cenderamata.

“Mula-mula saya sekadar kacau ayah buat kerja dan bila dia nampak minat saya, ayah kemudian minta saya membantunya siapkan tempahan pelanggan dengan melukis pokok dan bentuk-bentuk mudah.

“Lama-kelamaan timbul rasa seronok dan macam-macam teknik saya dapat belajar daripada ayah yang merupakan guru pertama dalam bidang lukisan,” katanya.
Nor Fatisha menganggap dirinya bertuah kerana menjadi satu-satunya zuriat yang mewarisi bakat seni itu.

100 produk terjual

Berbekalkan bakat dimiliki, bapa memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk berkarya sendirian.

Lukisan pertamanya terjual ketika usianya seawal 10 tahun yang memaparkan pemandangan laut dan hutan di atas piring.

Selain itu, dia turut melukis pada cawan, kanvas, kayu, rantai kunci dan lain-lain.

Bahkan, Nor Fatisha dapat menguasai pelbagai medium warna termasuk warna poster, akrilik, cat minyak, pensel, krayon dan pensel warna.

“Masa awal-awal, saya pun buat silap dan ada bentuk-bentuk yang dilukis atau diwarna, tidak menjadi seperti dikehendaki.

“Tetapi kesilapan kecil itu boleh diatasi dengan cara ‘menindih’ warna kerana tiada istilah salah dalam seni asalkan kita pandai membetulkannya kembali,” katanya.

Dianggarkan, lebih 100 produk lukisan dan kraf miliknya terjual sejak usianya 10 tahun hingga tamat sekolah menengah.

Minat pada seni mendorongnya mengambil aliran itu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Rezeki berpihak kepadanya apabila dinobatkan sebagai pelajar seni terbaik sekolah dalam peperiksaan tersebut.

“Walaupun aliran seni sering didiskriminasi dan diperlekehkan segelintir masyarakat tetapi saya berbangga bergelar salah seorang daripada pelajarnya,” kata pemegang Diplomasi Animasi di Kolej Yayasan Melaka ini.

Buka studio lukis

Walaupun sedekad bergelar juruanimasi 2D tetapi tidak menghalang Nor Fatisha untuk meneruskan hobi melukisnya.

Rutin itu masih diteruskan hingga kini bagi mengisi masa terluang dan menjana pendapatan sampingan.

Pada 2018, ibu dua anak ini memberanikan diri membuka studio lukis di Pasar Besar Ipoh bagi mengajar pelajar sekolah rendah dan menengah melukis.

Kini, Suka Lukis Studio itu beroperasi di lokasi baharu di Stesen 18, di daerah sama.

Selain kelas melukis menggunakan pensel warna dan warna air, dia turut membuka kelas komik serta lukisan abstrak kepada para pelajarnya.

“Idea untuk membuka kelas ini didorong oleh pengalaman masa kecil saya ‘berguru’ dengan ayah hingga menjadikan saya mahir melukis.

“Saya mahu berkongsi ilmu-ilmu dengan pelajar sekali gus dapat memupuk minat generasi muda pada bidang seni.

“Pada mulanya saya buat kecil-kecilan di rumah dengan mengajar anak-anak di kawasan kejiranan sebelum nekad membuka studio untuk lebih keselesaan,” katanya.

Sehingga kini, pelajarnya sudah mencecah hampir 500 orang sepanjang tujuh tahun beroperasi.

Bagi memastikan tumpuan penuh dapat diberikan di dalam kelas, jumlah pelajar dihadkan kepada enam orang sahaja untuk setiap sesi.

Katanya, sambutan diterima amat memberangsangkan terutama di musim cuti sekolah.

Hal itu berkemungkinan dipengaruhi oleh sikap ibu bapa yang makin terbuka dan menyokong penuh anak-anak menguasai bidang seni.

Harapannya, agar dapat membuka cawangan studio itu di seluruh Malaysia di masa depan.

Gemar lukisan abstrak, makanan

Terbaharu, Nor Fatisha gemar menghasilkan lukisan realistik terutama yang membabitkan makanan.

Dalam masa sama, dia cenderung membuat karya-karya abstrak yang menjadi trend pilihan ramai kini.

Selain untuk koleksi peribadi, ia turut dijual kepada para pelanggan.

Katanya, wujud permintaan tinggi terhadap lukisan abstrak untuk dijadikan hiasan di kediaman.

“Tambahan pula, zaman sekarang, ramai yang berminat menghias rumah dengan lukisan bagi menyerikan lagi sesebuah ruangan.

“Dianggarkan lebih 50 karya abstrak sudah terjual dengan harga bermula RM500 ke atas bergantung kepada corak dan saiz,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×