Kebajikan tanpa henti Raya Erom

Kebajikan tanpa henti Raya Erom

Hasil seni Raya Erom yang dipatenkan menjadi corak tudung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘HARI ini kita tolong orang, esok orang tolong kita’. Pesanan arwah bapa sentiasa menjadi pegangan Datuk Raya Erom, 62, dalam melaksanakan kerja-kerja amal sehingga sekarang.

Benarlah kata orang, perlakuan ibu bapa adalah cerminan peribadi anak. Sifat pemurah bapa dalam membantu orang-orang susah di sekeliling membuatkan bapanya cukup disenangi ramai orang.

Sejak dari kecil, beliau melihat bapa membantu orang susah sehingga ada yang dibawa pulang ke rumah dan tinggal bersama keluarga mereka.

“Dulu, rumah kami ada pelbagai bangsa termasuk India, Cina, Brunei dan Filipina. Semasa berusia tiga tahun, saya ingat mereka adalah ahli keluarga tetapi lama-kelamaan saya mula faham orang-orang itu adalah yang dibantu bapa.

“Saya turut berjanji dengan bapa untuk mengikut jejak langkahnya membantu orang-orang di sekeliling,” katanya ketika ditemui Seri di kediamannya di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak ini mula bergiat dalam kerja-kerja kebajikan sejak 1996 semasa menjadi isteri Ketua Menteri Sabah.

Bermula dengan mengusahakan sebuah asrama yang mampu memuatkan 20 penghuni sehingga membuka sebuah kompleks kebajikan yang menempatkan 200 orang.

Malah, tujuh tahun lalu, Raya membuka Sekolah Agama Suria bagi membolehkan anak-anak kurang berkemampuan dan keciciran dalam pelajaran meneruskan persekolahan.

Kini, sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) yang terletak di Kampung Tajau, Tuaran itu menempatkan seramai 180 orang pelajar.

Peranannya sebagai isteri Ketua Menteri ketika itu membuka matanya untuk melihat kekurangan yang dihadapi di hospital-hospital luar bandar, penjara dan pelbagai institusi kerajaan lain.

“Masa itu saya banyak melawat hospital serta rumah-rumah kebajikan yang kekurangan peralatan dan membantu menyampaikan sumbangan daripada kerajaan.

“Justeru, saya ambil keputusan menubuhkan rumah kebajikan sendiri dengan membuka asrama di Sekolah Kebangsaan (SK) Telipok sehingga menubuhkan Yayasan Kebajikan Suria pada Mei 1996,” katanya.

Pengasas Yayasan Kebajikan Suria itu turut menerima Anugerah Wira Dermawan Asia daripada majalah Forbes pada 2009.

Katanya, di awal penubuhan Kompleks Kebajikan Suria, ia hanya menempatkan anak yatim piatu, namun atas permintaan ramai, kemasukan dibuka kepada anak mangsa perceraian dan golongan asnaf.

Selepas tamat penggal pemerintahan suaminya, Datuk Seri Salleh Tun Said sebagai Ketua Menteri, beliau masih bergiat aktif dalam meneruskan kerja-kerja amal.

Yayasan itu ditubuhkan bukan kerana suaminya tetapi, bagi memartabatkan budaya membantu orang yang sudah sebati sejak kecil.

“Prinsip hidup saya, tuhan memberikan kita rezeki untuk dikongsi bersama bukan hanya untuk diri sendiri,” katanya.

DIUJI KESIHATAN

Sejak kecil, Raya menghidap penyakit asma kronik hingga doktor meramalkan jangka hayatnya tidak lama.

Biarpun penyakit itu ‘hilang’ ketika usianya 12 tahun namun, kesihatannya teruji lagi apabila mengalami bengkak kaki akibat masalah buah pinggang, sebelum memasuki universiti.

“Ketika itu, saya tinggal dengan kakak dan menurutnya paru-paru saya cuma tinggal saiz sarang burung sahaja, hanya menunggu ajal tiba.

“Saya berserah sepenuhnya pada tuhan jika nyawa diambil tetapi, saya tidak berputus asa dan mencuba pelbagai petua termasuk minum air barli serta ‘menggantung’ kaki.

“Dalam tempoh dua jam, bengkak berkurangan, ia satu keajaiban sebab doktor meramalkan hayat saya tidak panjang, malah saya sendiri menjangkakan diri ini pergi buat selamanya pada pukul 11 malam,” katanya.

Dua kejadian yang berlaku dalam hidupnya semasa berusia 12 dan 19 tahun itu menguatkan lagi kepercayaannya terhadap tuhan dan Islam.

PELUK ISLAM

Dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu membuatkan wanita yang dilahirkan sebagai Kristian ini berusaha mengenali Islam sejak di sekolah rendah.

Antaranya termasuk curi-curi dengar kelas agama di sekolah dan belajar sejarah Islam, malah ketika di tingkatan dua, wanita ini mampu menghafal surah al-Fatihah.

Tidak cukup dengan itu, Raya diam-diam meletak namanya dalam senarai pelajar yang bersahur di bulan Ramadan.

Namun, nasib tidak menyebelahinya kerana perkara itu dilaporkan kepada pihak sekolah sambil menyifatkan tindakannya itu sebagai mempersendakan Islam.

Perjalanannya untuk mengenali Islam agak mencabar, tetapi Raya nekad berhijrah sebagai saudara baharu semasa ingin berkahwin dengan suaminya.

MANGSA BULI DI TEMPAT KERJA

Selepas menamatkan pengajian dalam bidang teater di Universiti Pacific Southern, California Amerika Syarikat, Raya berkhidmat sebagai jurulatih drama di bawah Kementerian Kebudayaan.

Beliau mengakui menjadi mangsa buli kakitangan lelaki apabila kasut dan tong sampah diletakkan di atas mejanya, bahkan dirinya langsung tidak dihormati dalam kalangan pelajar teater yang berusia 50-an.

“Apabila budaya buli semakin teruk dan saya tidak mahu terdedah kepada penderaan menta, maka saya memutuskan untuk berhenti,” katanya yang bertemu jodoh selepas enam bulan bekerja.

Namun, Raya masih menerima undangan ceramah kepada pelajar seni hingga turut mewujudkan Pusat Seni Suria.

Pusat itu digunakan untuk mengajar muzik tradisional, silat dan melukis.

Bagaimanapun, katanya, selepas pandemik Covid-19, Pusat Seni Suria ditutup dan dijadikan sebagai Galeri Allahyarham Tun Said Keruak.

Selain seni teater, Raya turut berbakat dalam bidang lukisan dengan lebih 2,000 karya dalam simpanan peribadinya di samping ada yang dijual.

“Saya tiada asas dalam seni lukis dan hanya melukis apa yang dilihat di sekeliling ketika berkunjung ke luar negara atau semasa berada di sini.

“Sekarang saya cuba teroka seni baharu dengan menghasilkan karya daripada bahan-bahan terpakai seperti kulit jagung, siput mahupun pisang,” katanya.

Istimewanya, Raya bakal mengeluarkan koleksi tudung bawal yang dihasilkan melalui corak lukisannya.

November tahun lalu, beliau turut melancarkan buku catatan perjalanannya sepanjang berkecimpung selama 30 tahun dalam bidang kebajikan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×