Diuji suami gangguan bipolar

Diuji suami gangguan bipolar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menerima pasangan dengan segala kelebihan dan kekurangannya, adalah langkah pertama dalam menguruskan cabaran perkahwinan.

Hakikatnya, tiada manusia sempurna. Perkahwinan bukan mencari pasangan sempurna, tetapi saling melengkapi.

Menerima kelemahan pasangan membolehkan kita fokus kepada kebaikan mereka dan mencari jalan untuk mengatasi kekurangan bersama-sama.

Minggu ini, saya kongsikan kisah Zahera, (bukan nama sebenar) seorang isteri yang bersuamikan lelaki yang mempunyai gangguan bipolar.

Zahera yang saya temui baru-baru ini memberitahu bagaimana dia hampir menyerah apabila suaminya mengalami episod mania yang teruk.

Kecelaruan bipolar adalah penyakit mental yang dikaitkan dengan perubahan mood.

Namun, dia memilih untuk terus berjuang dan bersama -sama menghadapi setiap cabaran.

“Saya percaya penerimaan adalah langkah pertama kenapa kami masih bertahan sehingga ke hari ini.

“Dengan menerima pasangan seadanya, membuka ruang untuk kami berkasih sayang lebih ikhlas dan menjalin hubungan lebih erat. Saya percaya perubahan terbaik perlu bermula daripada diri sendiri,” ujarnya.

Katanya, walaupun suaminya mengalami gangguan bipolar tetapi dia juga seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab .

Pada pertemuan yang diatur lewat petang itu, Zahera tidak sendirian, sebaliknya turut ditemani, Emran.

Pada pertengahan Februari depan, genap 15 tahun pasangan itu melayari bahtera perkahwinan.

Menurut wanita berusia pertengahan 40-an itu, sepanjang tempoh pemulihan pelbagai cabaran perlu dihadapi.

Zahera bukan sahaja bertanggungjawab menyokong suami dan memantau pengambilan ubat secara teratur, tetapi lebih daripada itu.

Dia turut menghadiri sesi kaunseling bagi memastikan dirinya sendiri kuat.

“Saya pernah berasa diri benar-benar ingin ‘angkat kaki’ dan enggan bersama-sama suami.

“Namun apabila difikirkan semula tentang tanggungjawab sebagai isteri, saya bertahan.

Bahkan ketika itu saya memikirkan anak yang bakal lahir nanti memerlukan perhatian dan kasih sayang seorang bapa,” ujarnya.

Menyingkap kisah perkenalan, Zahera dan suami dijodohkan atas pilihan orang tua.

Di awal perkahwinan, Emran seorang lelaki yang periang, penyayang, bersemangat dan bercita-cita tinggi.

Namun, memasuki enam bulan usia perkahwinan, Zahera mula menyedari perubahan tingkah laku suami.

“Suami mula suka bercakap sendirian, suka membuat keputusan tanpa berbincang dan mengejutkan.

“Ini termasuk keputusannya untuk berhenti kerja secara tiba-tiba dengan alasan untuk menceburi bidang perniagaan,” cerita Zahera.

Kata Zahera, kadangkala suaminya menjadi terlalu bersemangat.

Bercakap tanpa henti, tidur hanya beberapa jam dan pada keesokan harinya suami akan terbaring.

Bukan sehari dua, bahkan berhari-hari, kurang semangat dan sering menangis tanpa sebab.

Sepanjang tempoh itu, Zahera rasa seperti berkah­win dengan dua individu berbeza.

“Saya benar-benar tertekan ketika itu. Awalnya saya tidak memahami apa yang berlaku. Saya cuba bertanya dan menasihati suami tetapi semuanya berakhir dengan pergaduhan,” imbasnya.

Nasib menyebelahi Zahera apabila salah seorang rakan rapatnya, June (bukan nama sebenar) menasihatinya agar membawa suami berjumpa pakar psikiatri.

Ketika diberitahu suami menghidap gangguan bipolar, Zahera benar-benar terkejut dan takut.

Namun, dalam masa sama, keputusan itu memberi sedikit kelegaan.

Akhirnya dia tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku kepada suami dan dia tahu bukan masa untuknya menyerah.

Sejak itu, Zahera mula cuba memahami lebih mendalam mengenai penyakit tersebut.

Bukan hanya melalui bahan bacaan, tetapi juga turut menyertai kumpulan sokongan yang mempunyai ahli keluarga menghidap penyakit sama.

Zahera mula belajar bahawa fasa kemurungan adalah sebahagian perjalanan gangguan bipolar dan bukan sifat sebenar suaminya.

Menurut wanita tabah ini lagi, bukan sesuatu yang mudah untuknya memujuk suami agar mendapat rawatan.

Emran awalnya enggan mengambil ubat kerana tidak mahu dianggap ’gila’.

Namun, Zahera tidak pernah berputus asa dan berjaya melembutkan hati suami untuk menerima rawatan.

Sepanjang tempoh itu, Zahera memastikan suami makan ubat mengikut jadual, menghadiri sesi kaunseling dan mengamalkan gaya hidup sihat.

“Alhamdulilah, dengan rawatan yang konsisten, keadaan suami semakin baik.

“Walaupun masih ada, ia tidak sekerap dan tidak seteruk seperti sebelum ini.

“Suami sudah boleh mengawal dirinya ketika dia sedar ada tanda-tanda awal serangan,” cerita Zahera.

Hari ini, dengan rawatan dan sokongan daripada seluruh ahli keluarga, suaminya kembali stabil.

Setelah bertahun-tahun melalui cabaran, hubungan Zahera dan suami menjadi lebih erat.

Dalam perbualannya juga, Zahera berkata, dia menganggap pengalaman itu sebagai ujian yang mematangkan diri dan hubungan mereka.

Kini, mereka sering berkongsi pengalaman dengan pasangan lain yang melalui situasi serupa.

“Bagi wanita yang bersuamikan atau mempunyai ahli keluarga yang menghidap gangguan bipolar, menyertai kumpulan seumpamanya menunjukkan anda tidak bersendirian,” ujarnya.

Emran yang banyak berdiam diri sepanjang perbualan itu sempat berkongsi perasaan, dia sangat-sangat berterima kasih kepada Zahera yang sentiasa ada dan bersabar dengannya.

“Saya nekad untuk berubah dengan menerima rawatan agar saya boleh menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

“Tanggungjawab saya bukan hanya sebagai suami, tetapi juga seorang bapa kepada tiga anak,” katanya.

Banyak pengajaran dari kisah Zahera bersuami lelaki menghidap gangguan mental.

Hanya dengan penerimaan, kesabaran dan sokongan berterusan daripada seorang isteri akan membina kepercayaan dan kasih sayang seorang suami.

Ketaatan kepada suami hukumnya wajib selama mana ia tidak menyuruh kepada perkara mungkar dan maksiat.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfir­man,’Perempuan-perempuan soleh adalah mereka yang taat (kepada Allah) dan menjaga diri ketika (suaminya) tidak ada kerana Allah telah menjaga (mereka)-( An Nisa ayat 34).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN