BESUT: Bermula sekadar mengisi masa lapang pada waktu petang, seorang pemuda dari Kampung Tembila di sini menjadikan kerja-kerja mencuci dan mengecat kubur sebagai sumber pendapatan sampingan, selain menganggapnya sebagai amal jariah dengan membantu waris menjaga pusara ahli keluarga mereka.
Muhamad Zuhri Mat Juhan, 35, berkata, idea itu tercetus selepas dicadangkan oleh rakannya sebelum memulakan kerja berkenaan pada April tahun lalu.
Penyelia kebersihan kontrak itu berkata, sebelum ini dia pernah menghentikan sementara perkhidmatan itu kerana kekangan peribadi, sebelum kembali aktif awal bulan ini.
“Biasanya pada waktu petang saya tiada aktiviti lain, jadi saya fikir lebih baik mengisi masa lapang dengan kerja yang boleh membantu orang lain. Saya anggap kerja ini mudah dan pada masa yang sama merupakan satu amal jariah kerana membantu waris membersihkan kubur ahli keluarga mereka.
“Alhamdulillah, walaupun baru beroperasi semula, saya menerima tempahan yang memberangsangkan dalam tempoh singkat,” katanya ketika ditemui.
Muhamad Zuhri berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada waris yang tinggal di luar Terengganu termasuk di Kuala Lumpur dan Johor, yang sukar pulang untuk membersihkan kubur keluarga masing-masing.
Katanya, pelanggan hanya perlu memberikan lokasi kubur, nama yang tertera pada batu nisan atau gambar kubur bagi memudahkannya mencari sebelum kerja-kerja pembersihan dilakukan.
“Cabaran paling besar adalah mencari kubur waris kerana dalam satu kawasan perkuburan terdapat terlalu banyak kubur, terutama kubur lama yang tulisan pada batu nisannya sudah pudar selepas berpuluh-puluh tahun.
“Saya menggunakan mesin semburan air bertekanan tinggi untuk membuang lumut pada bahagian belindan kubur sebelum mengecatnya semula mengikut permintaan pelanggan,” katanya. – UTUSAN










