Hujung minggu begini pasti bingung hendak masak apa untuk dinikmati bersama keluarga. Jangan risau, jom cuba resipi Udang Malaikari yang mudah dan sedap perkongsian Qayyum Halid.
Hidangan pedas berempah ini pasti mencuri perhatian di meja makan.
Bahan-bahan
Udang digoreng dengan kunyit dan garam
1 biji bawang merah kisar
1 biji tomato kisar
2 inci halia kisar
Rempah empat sekawan dan daun salam
3 tangkai cili kering
2 tangkai daun kari
1 sudu minyak sapi
1/2 sudu serbuk kunyit
1/2 sudu serbuk cili
1/2 sudu serbuk jintan manis
1/2 sudu serbuk ketumbar
1/2 sudu garam masala
1/4 cawan santan
Sedikit air
Garam
Cara penyediaan
Goreng udang yang telah dilumuri dengan kunyit dan garam hingga keemasan dan garing. Setelah itu, angkat dan ketepikan seketika.
Kisar 1 biji bawang besar merah, 1 biji tomato, dan kira-kira 2 inci halia. Tambahkan sedikit air dan kisar hingga halus seperti biasa.
Tumiskan rempah empat sekawan bersama daun salam, kemudian masukkan tiga tangkai cili kering dan dua tangkai daun kari. Untuk tambah keenakan (pilihan), masukkan satu sudu minyak sapi.
Tumis sehingga naik bau dan pecah minyak.
Kemudian, masukkan sedikit serbuk cili, serbuk jintan manis dan serbuk ketumbar untuk menambah rasa dan haruman pada masakan.
Masukkan pula bahan yang paling penting, iaitu serbuk garam masala. Kacau sebentar untuk meresap rasa, sebelum tambah 1/4 cawan santan. Tambahkan sedikit air dan teruskan memasak sehingga semuanya mesra dan beraroma.
Masukkan udang yang telah digoreng tadi ke dalam periuk. Kacau perlahan supaya udang meresap dalam kuah dan memberikan rasa yang lebih sedap.-UTUSAN










