TIRAI 2025 bakal menjelma dan antara topik yang hangat diperkatakan tentulah tentang fesyen Aidilfitri.
Apatah lagi, tempoh sambutan perayaan itu hanya berbaki tiga bulan lagi, iaitu pada 31 Mac depan.
Di tahun-tahun sebelum ini, rona hitam, jingga gelap (burnt orange) dan merah bata (brick red) pernah diangkat sebagai tema.
Namun, untuk lebaran tahun depan, palet warna pastel yang lembut dan segar dijangka menjadi pilihan ramai
Menariknya, trend raya kali ini bukan sekadar tentang warna, tetapi banyak lagi elemen lain yang bakal mencuri perhatian ramai.
Ia termasuk penggunaan fabrik bercorak terutama berbunga yang akan menonjol pada 2025.

Pereka fesyen dan pengasas bersama jenama Thalia, Muhd. Firdaus Ahmad Kamal berkata, gabungan rona pastel dan corak bunga sekali gus menyuntik aura feminin buat kaum hawa.
“Tetapi jangan pula tersalah pilih corak, kerana bunga-bungaan besar pada individu bertubuh kecil boleh membuatkan si pemakainya kelihatan overwhelming
“Bahkan, corak terlalu sarat menjadikan gaya nampak serabut, terutama apabila dipadankan dengan warna terang,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Dalam pada itu, katanya, tidak semua individu boleh menyerlah apabila memakai busana raya rona pastel.
Justeru, seseorang perlu bijak memilih warna yang sesuai dengan tona kulit masing-masing agar tidak nampak kusam.
“Contohnya, baju pastel memang cantik untuk individu berkulit cerah, tetapi mungkin kurang menarik untuk kebanyakan lelaki.
“Bagi yang berkulit sawo matang, gantikan rona pastel dengan warna-warna earthy (semula jadi) seperti mocha mousse, hijau zaitun atau terracotta,” katanya.
Hal itu kerana, warna mocha mousse merupakan warna neutral yang cukup versatil dan memberikan aura menenangkan.
Apatah lagi, rona gabungan lembut koko dan kopi itu turut diumumkan sebagai warna 2025, baru-baru ini.
“Paling penting, elakkan warna yang terlalu pucat atau terang seperti neon atau putih tulen, kerana ia boleh membuat kulit nampak kusam dan tidak bermaya,” katanya.

Kebaya, kurung moden masih trending
Sementara itu, mengulas mengenai rekaan, Muhd. Firdaus berkata, gaya klasik dengan sentuhan moden dijangka masih mendominasi trend Aidilfitri 2025.
Ujarnya, kebaya kekal sebagai pilihan utama, diikuti kebarung dan kurung moden dengan inspirasi potongan Riau-Pahang.
“Siluet yang flowy dan mesra bentuk tubuh wanita Asia Tenggara bakal menjadi tumpuan, kerana ia menawarkan keselesaan dan pesona elegan pada si pemakai,” katanya.
Dari segi perincian pula, jelasnya, kebanyakan pereka kini mula memberi perhatian kepada penggunaan trimming lace.
Ia memberikan sentuhan feminin yang moden di samping menambah detail pada busana tanpa nampak sarat.
Dalam pada itu, beliau berkata, koleksi Aidilfitri 2025 jenama Thalia iaitu Nyonya Dayah bakal dilancarkan pada Februari depan.
Sebanyak 10 rekaan sedia dipakai (RTW) ditampilkan hasil kerjasama eksklusif dengan personaliti terkenal, Dayah Bakar
Katanya, koleksi itu menggabungkan elemen minimalis, tradisional dan budaya Baba Nyonya yang diolah bagi mencerminkan gaya moden dan sopan wanita Muslim.
“Kami kekalkan siluet klasik Baba Nyonya, di samping memberi sentuhan moden untuk memastikan rekaan ini sesuai dengan gaya hidup semasa.
“Palet warna pastel dan neutral menjadi pilihan utama bagi menonjolkan kelembutan dan keanggunan wanita,” katanya.
Infografik
Tips pilih warna tudung dengan busana pastel
-Bagi hijab berwarna neutral seperti beige, ivory atau putih gading lazimnya menjadi pilihan selamat untuk dipadankan dengan busana pastel.
-Jika mahukan kelainan dan gaya berani, pilih warna tudung gelap seperti taupe untuk busana dusty pink Manakala lavender (baju lilac) atau hijau zaitun (baju sage green).
-Bagi busana bercorak, padankan hijab dengan warna minor pada corak baju. Langkah ini membantu menjadikan penampilan lebih harmoni dan effortless.
Caption
-Busana Gurindam Raya keluaran jenama Haurabelle sempena Aidilfitri 2025
-Koleksi ini menampilkan warna-warna pastel dan corak bunga.
-Koleksi Nostalgia Raya 2025 keluaran Wanzar yang menampilkan warna oren, merah jambu dan biru.
-Motif bunga kecil dan reben pada baju kurung kedah.
-Baju Melayu dalam rona coklat mocha mousse.
-Warna mocha mousse merupakan warna 2025.










