Don, si bijak yang nakal

Don, si bijak yang nakal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kucing Bengal terkenal dengan bulunya yang menyerupai corak harimau bintang, sekali gus menjadikannya antara yang paling unik dan memikat.

Antara corak menarik yang menghiasi tubuh si manja ini ialah spotted, pancake, rosette, sparkle dan marble. Setiap satunya memberikan sentuhan istimewa yang membezakannya dengan kucing lain.

Bengal atau nama saintifiknya Felis Catus B Prionailurus Bengalensis, adalah kacukan kucing domestik dan kucing batu, atau lebih dikenali sebagai Asian Leopard Cat.

Kini, kucing Bengal semakin menjadi pilihan utama dalam kalangan pencinta kucing.

Emma Ismail merupakan antara pemilik haiwan itu di negara ini.

Katanya, si manja yang digelar Don itu mula dipelihara sejak Mei 2022 di samping turut mempunyai 23 ekor kucing lain.

Sepanjang menjaga Don, kehidupannya bukan sahaja dipenuhi dengan gelak tawa, tetapi juga kejutan-kejutan yang menghiburkan.

Katanya, kucing Bengal yang sinonim dengan sifat aktif dan nakal itu sering berlari, melompat dan menimbulkan kekecohan di rumah.

“Selain nakal, Don juga bijak. Kepintarannya membuatkan saya selalu terkejut dengan kelakuannya yang tak dijangka.

“Di rumah, Don pandai membuka pintu almari dan kabinet sehingga saya terpaksa memasang kunci kanak-kanak untuk menghalangnya daripada memasuki kedua-dua pintu tersebut,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Menurut Emma, kenakalan Don turut ditiru kucing-kucingnya yang lain.

Antara tabiat buruk Don ialah kencing merata jika tidak diberi perhatian

Katanya, ia sebagai salah satu cara haiwan itu membalas dendam atau protes.

“Kalau saya kutip kucing baharu atau tak bawa keluar jalan-jalan, Don menunjukkan protesnya dengan kencing merata,” katanya.

Di sebalik kenakalan itu, katanya, Don merupakan kucing yang baik dan menyenangkan.

Ujarnya, situasi itu mungkin berlaku kerana haiwan itu memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

KEPERLUAN KUCING BENGAL
Emma amat menitikberatkan penjagaan kucing Bengal dengan memastikan semua keperluannya dipenuhi.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan haiwan itu kekal sihat dan aktif.

Sarannya, mana-mana pemilik kucing Bengal perlu menyediakan ruangan yang luas dan pancuran air untuk lebih keselesaan.

“Kucing ini tidak sesuai diletakkan di dalam sangkar kerana sifatnya yang sangat aktif dan gemar bermain.

“Selain itu, pemilik juga perlu menyediakan pelbagai mainan seperti rumah pokok dan treadmil untuk mengekalkan kesejahteraan mental dan fizikal kucing Bengal,” katanya.

Dalam pada itu, Emma berkata, kucing Bengal adalah haiwan yang sangat mementingkan kebersihan.

Justeru, katanya, pemilik perlu rajin dan kerap membersihkan kotak najis kerana haiwan ini tidak suka jika ia kotor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×