“Tiada apa-apa yang menarik di Sibu ini. Ronda-ronda 15 minit, semua sudah habis,” ujar Emma, pemandu kereta e-hailing yang membawa kami dari Lapangan Terbang Sibu ke Hotel Kawan, tempat kami menginap di Jalan Chengal, Sibu.
Tidak mungkin tiada yang menarik langsung dengan bandar yang dikenali sebagai ‘tingkap’ ke pusat Sarawak ini? Biarpun tanpa bangunan pencakar langit lagi, kami pasti Sibu menyimpan keunikannya yang tersendiri.
Tujuan asal kami ke bandar ketiga terbesar di Sarawak ini adalah untuk ke Pesta Buku Sibu di Pustaka Negeri Sarawak dan selepas itu menghabiskan dua hari lagi untuk meneroka keunikan bandar ini.
Sebaik tiba di Hotel Kawan pukul 2.00 petang, kami teruja apabila terbaca poster kecil mengenai Sibu River Cruise Sungai Rejang di kaunter penyambut tetamu berharga RM14 seorang. Kami terus membuat tempahan pukul 6.30 petang secara atas talian.
Selepas mengambil kunci, kami ke bilik di tingkap enam. Bilik kami kecil saja untuk dua orang dengan katil bujang. Namun apa yang lebih penting, kami dapat tuala dan bilik yang bersih.
Cukup teruja apabila dapat melihat pemandangan Sungai Rejang dari tingkap bilik dan rumah-rumah penduduk beratap zink serta beberapa bangunan ikonik di Sibu.
Apa yang pelik, ada yang bela ayam di atas bangunan.
Sibu sememangnya terkenal sebagai pusat perdagangan dan hab pengangkutan kayu balak, getah dan kertas kerana ia terletak di antara Sungai Rejang iaitu sungai terpanjang di Malaysia dan Sungai Igan.
Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 petang ketika kami keluar untuk mencari makan tengah hari. Sebelum ini, Emma ada memberitahu beberapa tempat makan halal yang berdekatan hotel kami menginap.
Bagaimana pun, kami memilih ke Pesta Orang Kampung yang sedang berlangsung di Dataran Sibu berdepan Wisma Sanyan kerana ia adalah hari terakhir pesta itu berlangsung sejak 7 November lalu.
Tanpa membuang masa, kami terus ke Dataran yang terletak kira-kira 3.3 kilometer (km) dengan menaiki kereta e -hailing. Ketika kami tiba, sudah banyak gerai makanan yang dibuka dan aroma makanan enak menusuk ke hidung.
Gerai-gerai di situ menghidangkan aneka jenis makanan tradisional Sarawak seperti umai udang, obor-obor dan kaki ayam, sambal tahai, nasi lalapan, laksa Sarawak dan sebagainya.
Selain itu terdapat hidangan dari negeri lain seperti nasi katok Brunei, keropok lekor, nasi kandar, kambing bakar, rojak buah, cucur udang, goreng pisang dan banyak lagi.
Uniknya, setiap peniaga di pesta ini menggayakan pakaian tradisional Melayu seperti baju kurung Kedah, kain batik, kain pelekat dan tanjak.
Sambil membeli-belah dan menikmati makanan, pengunjung dihiburkan dengan lagu-lagu Melayu seperti lagu-lagu Tan Sri P. Ramlee. Di sebelah malam pula ada wayang pacak menayangkan filem Tiga Abdul.
Walaupun cuaca agak panas, kami menikmati makanan di bawah payung yang disediakan dengan berselera. Tidak dinafikan, semua hidangan enak dan menepati citarasa kami terutama kari kambing, gulai nangka, sambal tahai, umai dan kopi Belim yang bermakna kopi hitam dalam bahasa Melanau.
Menjelang jam 5.30 petang, kami bergerak ke jeti Pulau Babi Wharf, Jalan Khoo Peng Loong yang terletak kita-kira 1.5 km dari tapak pesta untuk menaiki kapal.
Setibanya di jeti, kami terpukau dengan pemandangan matahari terbenam. Terdapat beberapa kapal dan bot nelayan yang berlabuh di sepanjang sungai.
Beberapa penduduk tempatan sedang memancing di tebing sungai. Sinar jingga tersebar di kaki langit dari matahari yang semakin terbenam menghasilkan pemandangan indah.
Kira-kira jam 6.30 petang, sebuah bot yang sarat dengan penumpang menghampiri jeti dan menurunkan penumpang.
Kami segera turun ke jeti dan menaiki bot tanpa dinding itu. Di dalamnya bersusun meja dan kerusi pangkin kayu seperti sebuah kantin
Bot mula membelah Sungai Rejang yang tenang dengan diiringi irama lagu-lagu romantik yang membuai perasaan. Bayu dingin sepoi-sepoi bahasa menyentuh kulit.
Bot yang indah dihiasi lampu kelip-kelip terus menyusuri sungai yang sepi dan gelap.
Pagoda Tua Pek Kong setinggi tujuh tingkat juga meriah disimbahi sinaran lampu.

Sarapan di Central Market Sibu
Central Market Sibu terletak di Jalan Channel di tengah bandar Sibu masih sibuk dengan pengunjung tempatan ketika kami tiba kira-kira jam 8.00 pagi untuk bersarapan.
Pasar ini dikatakan pasar terbesar di Sarawak yang menempatkan gerai-gerai sayur, buah-buahan tempatan seperti kasai atau kristal dan dabai serta makanan tradisional penduduk tempatan pula di tingkat bawah.
Terdapat juga beberapa gerai yang menjual kek lapis beraneka perisa dan warna seperti Kek lapis Cadbury Cheese, kek lapis bendera Sarawak, kek lapis Fatzura dan banyak lagi. Harga bermula daripada RM10 hingga RM35.
Kami ke tingkat dua yang menempatkan gerai-gerai makanan. Di sini terdapat tiga gerai makanan halal di sebelah tepi hujung menghadap ke jalan. Kami menikmati mi kolok ayam dan mi kampua daging yang di hidang dengan sup dan cili kicap, berharga RM5 hingga RM6 sepinggan.
Sarawak sememangnya terkenal dengan pelbagai hasil kraftangan daripada sumber alam yang indah dan unik.
Sibu Heritage Handicraft yang terletak bersebelahan Sarawak Tourism Board di Jalan Central, asalnya dibina sejak tahun 1960 dan diubahsuai pada tahun 2010 di bawah Jawatankuasa Warisan Budaya Pusat Sivik Sibu.
Ia menawarkan pelbagai hasil seni kraf Sarawak. Antaranya, tikar Sarawak, beg tangan hasil anyaman mengkuang atau plastik, baju-T, aksesori daripada manik yang sesuai dijadikan cenderamata untuk dibawa pulang.
Kompleks Sibu Heritage Centre juga menempatkan muzium yang mempamerkan kehidupan dan budaya etnik menerusi lebih 1000 koleksi artifak sejak zaman penjajahan Jepun dan pentadbiran Brooke.
Pameran termasuk permulaan kedatangan pendatang Cina dari pelbagai kumpulan dialek dan juga suku kaum terawal.
Turut dipamerkan rumah panjang Iban yang dihiasi tengkorak tulen yang digantung, mencerminkan pahlawan etnik itu. Terdapat juga peralatan nelayan dan pelaut Melanau dan tanda-tanda awal budaya Melayu.
Muzium ini dibuka pada hari Selasa hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Pengunjung boleh masuk secara percuma..
Masjid Al Qadim
Beberapa kali melintas di hadapan Masjid Al Qadim di Jalan Kg. Nyabor yang berciri seni bina rumah masyarakat Melayu Nusantara dan sarat dengan ukiran kayu menarik hati kami untuk singgah solat jamak Zuhur dan Asar di situ.
Masjid ini dikatakan sudah berusia 188 tahun dan tertua di Sarawak, dibina ulama yang dikenali sebagai Tuan Haji Salam Minangkabau berasal dari Sumatera, Indonesia.
Struktur asalnya diperbuat daripada kayu berlian (Borneo Ironwood), termasuk di bahagian atap. Keaslian strukturnya masih dipelihara tetapi ditambah dengan sentuhan seni ukiran pada ayat al Quran dinding, pintu, tingkap dan sekeliling atapnya.
Usai solat, kami ke Subor Mulyo Kopitiam, hidangan dari Indonesia yang terletak di belakang Wisma Sanyan dan menikmati nasi goreng pucuk ubi dengan ayam goreng.
Sebelum pulang ke hotel kami sempat singgah ke Sungai Rejang Esplanade yang menempatkan tugu Angsa atau Swan berlatarkan matahari terbenam. Di sini juga terdapat penduduk tempatan yang memancing. Makam Pahlawan dan Taman Jubli Bukit AUP
Hari terakhir di Sibu, kami ke Makam Pahlawan, Rosli Dhoby selepas bersarapan di D’ Dapur Ani di Kampung Datu.
Kami meneruskan perjalanan ke Taman Jubli Bukit Aup yang terletak 10 km dari bandar Sibu. Taman ini pernah menjadi pemenang Pertandingan Landskap Kebangsaan Taman Awam pada tahun 1998.
Pengunjung boleh memberi makan ikan di pintu masuk taman di mana terdapat pelantar papan yang besar menghadap ke arah bukit.
Berkeluasan 24 ekar, taman berbukit ini cukup menarik bagi mereka yang gemar mendaki untuk mengeluarkan peluh.
Anda boleh menghabiskan masa menikmati angin yang bertiup di kawasan ini yang menempatkan kolam Naga Bari yang dipenuhi teratai kecil.
Udara yang bersih serta keindahan landskap boleh menarik perhatian pelancong untuk mengunjungi bandar Sibu.










